BAB 1

36.5K 238 6
                                    

BULAT mata Hanan setelah mendengar cadangan uminya.

"Kahwin dengan Nawal? Gila ke apa?" bentak Hanan dengan suara tinggi.

Wan Masitah mencerlung anak lelaki tunggalnya. Inilah kali pertama anaknya itu membentak. Terkejut? Memang dia terkejut.

"Tergamak Hanan jerkah umi." Wan Masitah bersuara lirih setelah beberapa saat memandang anaknya tanpa berkedip.

Hanan mendecit. Bukan niatnya mahu bersikap kurang ajar, tetapi kali ini umi benar-benar mencabar kesabarannya.

"Sampai bila nak menduda? Hanan dah dua tahun bercerai. Dengar cerita Hani pun dah nak kahwin lain."

Perit apa yang didengarinya. Hanan menggeleng lemah.

"Mana umi tahu dia nak kahwin? Hanan baru jumpa dia dua hari lepas. Tak ada pulak dia kata nak kahwin. Kalau ya pun dia nak kahwin, Hananlah pengantin lelaki tu."

Wan Masitah mendecit. Kali ini giliran telinga dan hatinya pula terasa perit. Sungguh, dia akan membantah dengan apa cara sekalipun. Janji perempuan itu tidak menjadi menantunya buat kali kedua.

"Umi tak setuju."

"Bukan ke tadi umi kata nak tengok Hanan kahwin semula? Konon kesiankan Hanan?"

"Sebab kesianlah umi tak mahu Hanan kahwin dengan dia. Cukuplah umi dan arwah ayah jadi saksi. Sedih hati kami tengok keadaan Hanan semasa jadi suami dia dulu. Tiap hari bertengkar. Hanan nak lalui lagi pengalaman macam tu?"

"Kami akan cuba belajar daripada kesilapan dahulu. Dah ada anak ni, masing-masing lebih bertanggungjawab. Takkanlah hari-hari nak bergaduh depan Qalish."

Wan Masitah mencebik. "Umi dah boleh nampak kalau Hanan kahwin sekali lagi dengan dia. Lagilah Hanan makan hati. Dulu nak kena jaga hati mak saja. Ni, nak kena jaga hati anak pula."

"Umi tak kesian ke kat Qalish? Dia tu cucu umi."

"Siapa yang tak sayang cucu? Tak kesian cucu? Tapi, umi lebih kesian kat Hanan. Umi kenal anak umi. Umi tahu Hanan takkan bahagia."

Hanan menggeleng. "Hanan hanya akan bahagia dengan Hani. Hanan tetap sayangkan Hani. Umi tahu kan, Hanan tengah pujuk Hani?"

"Umi tak kira. Umi dah sembang dengan Kak Gayah. Nawal pun dah setuju."

Hanan membuntangkan matanya. Dah kenapa umi berbincang dengan mereka berdua tanpa menanya pendapatnya dahulu?

Wan Masitah tunduk. Dia tidak berani melawan pandangan tajam Hanan. Memang Rogayah bersungguh-sungguh mahu menjodohkan cucunya dengan Hanan. Namun, cerita yang Nawal juga bersetuju dengan perkahwinan ini adalah dusta. Rogayah juga belum memanjangkan hajatnya itu kepada cucunya, Nawal.

"Umi tahu, kan? Hanan meluat sangat dengan cucu Mak Cik Gayah tu. Macam jantan. Gemuk dan berlemoih. Kami dah 10 kali kahwin kut sebelum ni," ujar Hanan.

Dia masih ingat lagi setiap kali main kahwin-kahwin, Nawal akan memilihnya sebagai pasangan. Tapi, tak adalah sampai 10 kali. Saja dia menambah cerita. Meluat sungguh. Ketika itu, dia berharap dapat memilih Ida sebagai isterinya. Tapi, Nawal tu cengil sangat. Ida menurut saja. Hanan pula, dia memang takut dengan Nawal.

Wan Masitah tersenyum kambing. Dia ada idea untuk memujuk Hanan. Nawal lebih cantik daripada Hani.

"Siapa kata berlemoih? Gemuk? Raya baru ni dia balik sini dengan mak dia. Lawa saja umi tengok. Macam Che Ta yang hang kata lawa sangat tu. Dia belajar tinggi, keluar universiti. Kalau keluar universiti tu, maknanya dia budak pandailah, kan?"

Mungkin ada benarnya kata umi. Dia juga sudah lebih 10 tahun tidak bertemu dengan Nawal. Ah! Tak kisahlah kalau Nawal secantik Rozita Che Wan sekalipun. Hatinya tetap kepada bekas isterinya.

SETELAH TERLAFAZNYA AKADWhere stories live. Discover now