Sarah menggelengkan kepala. "Emak telah programkan Fly untuk memasak nasi, roti, kek, pizza atau makanan seumpamanya. Akan tetapi, lauk-pauk perlu dimasak sendiri kerana ujar emak, masakan sendiri lebih baik."

"Jadi, masaklah sendiri. Sampai bila kamu hendak bergantung kepada Fly? Jika tidak tahu resepinya, tanya sahaja kepada Fly. Emak telah masukkan ribuan resepi ke direktori Fly sebagai rujukan. Kamu sebut apa sahaja resepi, masakan kampung, masakan cina, barat, fusion dan sebagainya, semua ada." Luqman Hakim mengangkat kening.

"Tambahan pula, emak telah kelaskan resepi mengikut tahap kesukaran. Kamu cari sahaja menu-menu ringkas sebagai permulaan. Sebagai permulaan, kamu mungkin boleh pelajari kaedah menggoreng telur supaya tidak hangus!"

Luqman Hakim ketawa kecil melihat Sarah mencebikkan mulut tanda protes. Kemudian dia megeluarkan sebuah alat menyerupai sekeping kad nipis yang diperbuat daripada bahan jernih seperti kaca. Alat itu bersaiz kecil, ringan dan boleh dipegang dengan mudah. Sebuah punat kecil di sisi alat tersebut ditekan. Kemudian, keseluruhan permukaan lutsinar itu bertukar menjadi sebuah skrin yang berfungsi dengan beberapa butang virtual dipaparkan. Maklumat berupa nama dan foto Luqman Hakim dipaparkan. Luqman Hakim tidak perlu memasukkan kata laluan bagi membolehkan alat kecil itu berfungsi, kerana ia mempunyai fungsi pengecaman wajah dan suara untuk membukanya.

"Kakak tidak suka I-Ran model lutsinar ini. Ianya sukar untuk digunakan!" rungut Syafii sambil merujuk kepada alat di tangan Luqman. "Adakah kamu tidak bimbang, apa yang kamu lakukan akan diketahui oleh orang lain?"

Luqman Hakim membelek-belek I-Ran miliknya dan menjawab, "Tidaklah kak. Walaupun ia kelihatan lutsinar, orang tidak dapat membaca apa yang tertulis jika melihat dari arah belakang. Meskipun I-Ran ini kecil dan nipis, tetapi I-Ran sebenarnya merupakan sebuah alat yang berkuasa. Saya boleh melakukan banyak perkara melalui I-Ran saya sahaja. Misalnya, saya boleh mencapai sistem Fly, menggelintar pangkalan data tanpa perlu ke mana-mana."

Luqman Hakim menoleh ke arah Sarah dan membuat memek muka mengejek. "Sarah juga biasa lakukan hal sedemikian. Malah menyalahgunakan kemudahan yang ada sehingga emak terpaksa memasang peranti keselamatan yang mampu menghentikan Fly apabila disalahgunakan."

Sarah sibuk dengan I-Ran sendiri, berpura-pura tidak mendengar.

"Oh, emak juga ada simpan video demonstrasi memasak telur khusus untuk Sarah! Emak simpan dalam direktori 'Keluarga' dan di bawah sub direktori 'Resepi Asas'. Klik 'Video' untuk paparan demonstrasi memasak atau 'Teks' untuk resepi berbentuk tulisan. Ada juga menu 'Narasi' untuk resepi itu dibacakan." Luqman Hakim tersenyum mengejek, "Sebenarnya, jika kamu benar-benar ingin belajar, banyak sumber ilmu yang ada. Tidak perlulah menjadi semahir Kak Fifi. Cukup sekadar menguasai pengetahuan asas."

Sarah menjuihkan bibir mengejek Luqman Hakim.

"Sehingga kini, abang masih terasa aneh. Bagaimana kamu boleh menggoreng telur sehingga hangus? Berdasarkan tahap kesukaran yang ditetapkan oleh emak, ia adalah tahap yang paling amatur!"

"Usah diungkit kisah lalu. Tambahan pula waktu itu saya kecil lagi."

"Oh, ada juga permainan memasak? Jika Sarah masih belum berani, Sarah boleh bermain secara realiti maya. Tidak perlu bimbang dapur terbakar ataupun melecur terkena api."

"Abang, berapa lama ayah kenal dengan pakcik Saiful?" Sarah menukar topik perbualan.

"Hmm... barangkali sebelum Kak Fifi lahir?" Luqman Hakim menggaru-garu dagu memandang Syafii, meminta sokongan.

"Ayah kamu dan abah kakak bertemu semasa mereka bujang lagi," Jelas Syafii. "Mereka sudah lama berkawan baik dan serasi sehingga menunaikan haji pun hendak bersama-sama. Kali ini mereka pergi bersama dengan datuk dan nenek serta makcik kamu berdua, meninggalkan kakak untuk menjaga kamu." Syafii pula berpura-pura merajuk.

Virus L-2Where stories live. Discover now