Gastrik

9 0 0
                                    


Nara semakin tidak senang duduk di dalam kelas pada hari ini. Perutnya berbunyi kerana lapar. Pada hari ini dia tidak sempat untuk bersarapan pagi kerana terlewat bangun. Sistem pengangkutan yang sentiasa tepat pada waktunya tidak memungkinkan dirinya boleh lewat keluar dari rumah mengejar tram. Mengikut kebiasaan, Nara membawa bekal yang disediakan sendiri di rumah untuk bersarapan. Namun pada pagi ini beliau telah tersedar dari tidur agak lewat kerana berjaga menyiapkan tugasan kuliahnya sepanjang malam. Hasrat untuk tidur hanya 30 minit telah terlajak menjadi 60 minit. Pedih perutnya kian terasa. Nara risau jika gastrik pula yang menyerangnya.

"Kenapa lambat sangat habis kelas ni hari ni?" Bisik Nara dalam hati. Kelas yang sama panjang waktunya itu terasa lama lantaran ketidaksabarannya untuk keluar dan mencari makanan untuk mengalas perut. Teori relativiti. Mungkin itulah yang dirasai oleh Nara ketika itu.

Sebelum kelas hampir tamat, Prof Albert berpesan untuk para pelajarnya melihat beberapa jurnal yang terkini di dalam pangkalan data antarabangsa. Nara hanya sempat menghidupkan fungsi perakam suara dari tab yang dipegangnya untuk merekod senarai jurnal yang disebut oleh pensyarahnya itu. Terasa tidak dapat hendak memegang pen dalam keadaan dirinya yang sakit sebegitu. Tangannya terketar-ketar menahan sakit dalam perut. Sebaik sahaja Prof Albert meninggalkan kelas, Nara berlari pantas meninggalkan dewan kuliah untuk menuju ke kafeteria. Segera dicapainya sandwich untuk vegetarian dan air kosong. Minuman berasaskan susu tidak sesuai diambil ketika sedang gastrik. Nara memasukkan sandwich ke dalam mulut dan kemudiannya mengunyahnya perlahan-lahan.

Sejurus kemudian, Catherine menghampirinya, lalu duduk di kerusi berhadapan.

"Hai, lajunya keluar dari kelas tadi," sapa Catherine dalam bahasa Perancisnya yang begitu fasih.

"Ya, saya sangat lapar kerana tidak sempat bersarapan pagi tadi," ujar Nara, masih cuba menahan pedih perutnya meski makanan itu sudah masuk ke dalam perutnya.

"Oh, bukankah tidak lama lagi kamu akan perlu berpuasa? Bagaimana kamu berpuasa jika kamu ada gastrik?" Soal Catherine dengan rasa ingin tahu.

"Berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam, dan bagi kami ia tidak sukar kerana kami boleh bersahur dulu dengan mengambil makanan sebelum matahari terbit. Makanan yang dimakan itu dapat menahan diri kami dari lapar sepanjang hari sehingga masuk waktu berbuka. Selain itu, jika sakit, kami dibolehkan berbuka puasa," terang Nara panjang lebar dengan bahasa Perancis yang masih cuba dikuasainya dengan baik. Diharapkan Catherine dapat memahami maksudnya dengan baik.

"Oh, menarik begitu. Saya masih boleh mengajak kamu menemani saya ke utarakah pada waktu kamu berpuasa nanti? Saya ada tugasan di sana."

"Oh, sudah tentu. Berpuasa tidak menghalang kami untuk bekerja. Kami masih melakukan aktiviti yang sama seperti di dalam bulan selain bulan Ramadhan," ulas Nara bagi menjawab soalan rakan sekuliahnya itu.

"Baiklah. Saya ada lawatan sosial ke penjara. Kamu bersetujukah untuk menemani saya?"

"Sudah tentu. Sudah lama saya menanti kamu mengajak saya ke sana. Saya amat ingin melihat bagaimana sistem dalam pengurusan banduan di negara ini," kata Nara dalam keadaan teruja.

Catherine merupakan rakan sekuliahnya yang membuat penyelidikan berkenaan dengan pengurusan penjara. Modul pendidikan banduan di negara ini agak berbeza dari negara lain, dan kadar pengulangan jenayah amat rendah. Itu yang menarik hati Nara untuk mengetahui bagaimana mereka sebegitu efisien dalam menangani masalah seperti itu. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 14, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Semekar IrisWhere stories live. Discover now