Mungkin aku kena terus berdoa. Mungkin doa aku masih belum cukup dan sebab itulah Allah masih belum perkenankan doaku. Tapi aku tak pernah putus asa, aku yakin suatu hari nanti dengan izin Allah, ingatanku akan kembali pulih. Kalau bukan sepenuhnya, paling tidak pun separuh.

Malang betul aku rasa hari ni! Penat aku bangun awal, berdandan cantik. Mulut pun dah lenguh membebel bermacam bahasa apabila menghadap kesesakan lalu lintas. Cun aje Baby Taurus masuk kotak parking, boleh pula pensyarah aku bergurau senda dalam WhatsApp grup dengan mengatakan kelas dia batal hari ini dan dia lupa nak bagi tahu.

Separuh kelas bersorak. Maksudnya boleh sambung tidur sebab memang cuma ada kelas tu aje hari ni. Yang duduk kolej kediaman bolehlah menari cia cia. Yang duduk jauh macam aku ni rasa nak menari kuda kepang! Tak tahu ke kalau naik kereta, orang pakai petrol namanya, bukan jus oren. Dahla minyak selalu naik. Hai... Sabar aje la!

Nak tak nak, patah balik! Dalam kereta kepala sibuk mengatur rancangan. Apa aku nak buat hari ni? Kat rumah confirm sepi. Ayah dah tentu tengah bersiap nak pergi kerja. Entah-entah dah pergi kerja dah. Tinggal di rumah sendirian sumpah bosan.

Aku dah tahu destinasiku selepas ini. I's Café. Dah lama tak pergi. Sibuk punya pasal, aku dah jarang jejak kaki ke situ. Niat asal nak terus ke sana. Tapi aku lupa yang set alat melukisku tertinggal di rumah. Memang kebiasaannya itulah aktivitiku bila berada di kafe itu.

Sewaktu aku tiba di depan pintu pagar besar rumahku, kereta ayah masih berada di bawah garaj. Maksudnya ayah belum pergi kerja. Jam di dashboard kereta dijeling sekali. Keningku berkerut sedikit. Dah lambat. Kenapa ayah belum pergi kerja? Atau cuti? Atau masuk lambat sikit?

Tanpa menghiraukan persoalanku yang sepi tak berjawab itu, aku keluar dari kereta. Aku masuk ke dalam rumah. Langkah terus diatur ke bilik tidurku. Buku lukisan yang selalu menjadi penemanku di kala bosan terletak cantik di atas katil. Lantas aku capai dan memasukkannya ke dalam beg sandangku.

Setelah memastikan tiada apa yang tertinggal, aku terus melangkah keluar. Niat untuk terus keluar dibatalkan sebaik sahaja aku teringatkan ayah. Risau. Macam mana kalau ayah sebenarnya sakit?

Aku melangkah ke bilik tidur ayahku yang terletak berdepan dengan bilik tidurku. Tombol dipulas. Kosong. Katil kemas tersusun. Maksudnya ayah dah keluar. Tapi ayah kat mana? Kalau ayah tak ada dalam bilik, maksudnya cuma satu. Mungkin ayah di dalam bilik kerjanya.

Aku terus turun tangga. Bilik kerja ayah terletak di tingkat bawah. Agak tersorok sedikit. Aku pun tak tahulah kenapa ayah pilih bilik tu untuk jadi bilik kerjanya. Mungkin mahukan privasi.

Pintu bilik diketuk sekali. Kalau ayah di dalam bilik kerja, memang kebiasaannya aku akan ketuk pintu dulu sebelum redah masuk. Aku tahu ayah tak kesah kalau aku redah masuk sekali pun. Tapi aku cuma hormat kalau ayah sedang siapkan kerjanya. Aku ketuk pun sekadar untuk memberitahu tentang kehadiranku.

Seperti biasa, selepas ketuk sekali, daun pintu itu terus ditolak.

"Ayah," panggilku. Kepala menjenguk dahulu.

Dua susuk tubuh pegun mendengar teguranku. Alamak, ayah tak sendirian! Sekilas aku cuma melihat ada lelaki lain yang sedang duduk di atas kerusi, berdepan dengan ayah. Agak jauh dari pandanganku. Susuknya membelakangiku. Baru sahaja nak panjang leher melihat gerangan kawan ayah, ayah dah berdiri di depanku. Terus hilang susuk lelaki itu.

"Rissa, bila balik? Bukan pagi-pagi lagi dah pergi ke kelas ke?" soal ayah.

Aku senyum sekejap. Wajah tua ayah dipandang. Terus lupa tentang lelaki itu.

"Kelas tiba-tiba cancel. Lecturer ada hal. Penat Rissa siap awal-awal."

Aku mengeluh.

"Habis, ni nak pergi mana?"

DHEO'SWhere stories live. Discover now