Encik Duri?

Kalau awak ros, saya durinya...

Auch! Aku pegang kepalaku. Suara siapa yang melekat dalam kepalaku ini?

Erat-erat aku pejam mata. Cuba redakan sakit kepala yang tiba-tiba menyengat.

"Encik Duri," sebutku. Ulang dan ulang lagi dalam kepala. Cuba membayangkan insan yang berselindung di balik sebaris nama itu. Siapa dia? Kenapa dia datang ketika aku sedang lena?

Yang pasti dia kenal siapa aku. Dan aku dapat rasakan dia adalah orang penting dalam hidupku. Kawan aku? Atau kekasih? Atau tunang? Argh... Kenapa tiada langsung memoriku tentang siapa dia ni?

Pantang otak mula bekerja keras, sakitnya bagai mahu meletup kepala ni. Sekali lagi jari mengurut kepala. Relaks, Nurissa. Relaks. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba untuk tenangkan diri sendiri. Beberapa kali doktor berpesan supaya aku jangan tertekan kalau aku tak nak rumitkan lagi keadaan. Kalau aku nak baik, jangan paksa diri.

Ros di tangan dibawa ke hidung lagi. Hidu bau lagi sekali. Fikiran kembali tenang. Aku yakin bunga ros adalah bunga kesukaanku. Bunga dari Encik Duri. Suatu hari nanti, pasti aku akan tahu siapa dia.

Aku menguap. Tiba-tiba rasa penat. Tubuh kembali dijatuhkan ke atas katil secara mengiring. Bunga itu digenggam erat ke dada sebelum tutup mata. Tanpa sedar, bibir sempat mengorak senyuman. Gembira entah kenapa.

A pretty rose definitely blows a good spirit. Tiba-tiba terngiang-ngiang ayat itu dalam kepala. Aku setuju.

Lenaku setelah itu diulit mimpi indah. Sangat indah. Terbayang seulas senyuman yang terukir bersama satu lesung pipit di pipi kanannya. Lawa. Hati rasa senang bila melihat senyum gembiranya itu. Aku rasa aku mahu selalu menjadi penyebab untuk dia tersenyum. Malangnya, wajah pemilik senyuman indah itu samar-samar.

"Wait for me, mia bella..."

Suara sama juga yang berkata. Juga samar-samar. Tapi selalu kudengar.

Sering tertanya-tanya. Siapakah dia?

BAB 1 

"Mia bella..." Kedua-dua kelopak mata terus terbuka.

Gelap. Itu yang aku nampak. Sunyi. Itu yang aku dengar. Nafasku berombak lembut. Sepertinya sudah biasa melalui semua ini.

Mengeluh. Tangan meraba-raba dalam kegelapan. Mencari telefon pintarku yang selalu diletak di sebelahku. Dah pukul berapa sekarang ni? Tepat firasatku. Tiga pagi.

Aku mengubah posisi tidur. Dari elok memeluk patung anak singa, aku menelentang. Merenung siling. Kalau tadi gelap-gelita, kini mataku mula sesuaikan dengan keadaan itu. Kelip-kelip mataku pandang kipas pegun yang menghiasi siling itu.

Tiga tahun. Tiga tahun sudah pun berlalu selepas aku bangkit dari koma. Dan boleh dikatakan hampir setiap hari aku akan tersedar tepat jam tiga pagi. Tiap-tiap kali itu jugalah perkataan mia bella itu penyebab aku tersedar. Mimpi bagaikan diulang tayang. Suara garau tapi lembut itu terngiang-ngiang. Malangnya, tak pernah sekali pun pemilik suara itu muncul.

Aku yakin mimpi bukan sekadar mimpi. Seratus peratus aku yakin mimpi itu punya ikatan dengan kehidupanku yang dulu. Tapi agak sedih juga. Tiga tahun berlalu, tapi satu memori pun aku tak dapat ingat. Aku masih sama seperti ketika aku bangun dulu. Kawan-kawan lama yang menegurku pun aku tak dapat cam. Hanya simpati yang dihulurkan apabila aku menerangkan kepada mereka.

Aku mengeluh lagi. Gebar tebal ditolak dari tubuh. Nak sambung tidur pun, mata dah segar. Mungkin Allah sedarkan aku supaya aku boleh solat sunat tahajud. Tanpa membuang masa, terus aku berlalu ke bilik air. Ingin mengambil wuduk.

DHEO'SWhere stories live. Discover now