Kau Yang Aku Panggil Kenangan

137 5 0
                                    



I

Cukuplah dengan sesi terapi yang akhirnya membugarkan amarah kita tiga bulan yang dulu. Ketika itu aku cuma ralat. Adakah menjadi salah jika aku persoalkan kesetiaanmu terhadap hubungan kita? Enam tahun. Bukan tempoh masa yang singkat. Apakah aku tidak cukup lagi buatmu? Dan kerana egois, sesi terapi itu berakhir dengan cabulnya. Aku ditinggalkan sendiri dengan harapan yang sudah musnah.

Ironinya setelah ingatan tidak menyelesakan itu berlalu, giliran kau pula bertemu ahli terapi. Siap dijemput datang ke rumah lagi. Kau rancangkan kepada ahli terapi itu supaya aku ikut serta. Aku hanya diam bila ahli terapi itu mahu memulakan perbualan. Kau katakan yang aku seorang yang pemalu. Ah! Kau memang suka memandai-mandai. Kau pun tahu, bukan? Putih kataku janganlah kau sesekali menghitamkannya. Mendung di luar sedikit sebanyak menyebalkan perasaan ku ini.

Nyatanya, ahli terapi itu lebih bijak. Dia pandai memujuk untuk turut serta dalam sesi itu. Dia umpanku dengan hadiah pemberianmu. Gelang tangan kulit dengan kemasan perak berkancing siap berukir kepala naga sewaktu kita berbulan madu di Pulau Langkawi. Aku pernah menggelarnya tangkal kencing malam. Aku ingat lagi wajah kau yang cemberut menahan rajuk lalu kau cubit pinggangku. Kau kata mulutku jahat. Kuat menyakat. Busuk. Macam longkang. Aku sengih sahaja sebelum aku rangkulmu dari belakang dengan erat. Kemudian, aku berpura-pura ingin menggigit cuping telingamu. Tersipu-sipu penjual gelang itu melihat telatah kita.

Tapi itu dulu. Bertahun dulu. Sewaktu perasaan cinta kita sedang hangat. Kini kita hanya duduk bertentangan. Hanya dipisahkan dengan meja kopi dan ahli terapi berambut hitam berkilat ikal beralun separas bahu yang duduk bersilang kaki. Senyumannya cantik persis pelakon iklan. Matanya bundar, bersinar cemerlang. Ketika dia menyibak rambutnya ke belakang, ada haruman Christian Dior menerpa pernafasan. Aku pandang kau dalam-dalam. Tidak terpikatkah kau pada si jelita ini?

Ahli terapi itu memulakan tugas. Dia mencoret sesuatu ke dalam bukunya, sambil membelek gelang tangan itu lama-lama. Kenangan, katanya. Matanya kemudian tertumpu pada perkataan 'mon cherie' yang ditulis pada permukaan gelang. Senyumannya mekar mendedahkan baris giginya yang seputih mutiara. Cinta, katanya. Sekuat mana pun gelombang yang datang membadai, kalau dua hati sudah menjadi satu, manakan mungkin meruntuh tembok yang kukuh terbina. Yang celik boleh buta. Yang bijak menjadi dungu. Semua kerana cinta. Kau balas kata-kata si cantik itu dengan tersenyum malu. Ketika ahli terapi itu mengatakan gelang itu adalah hadiah pemberianmu kepadaku ketika berbulan madu di Langkawi, wajahmu terpempan. Kau menikus sesaat. Mungkin terpegun dengan ingatanku yang masih kuat.

"I bagi sempena birthday dia," bisikmu. Aku angguk kemudian senyum terkenang-kenang. Imbasan ketika kita berdiri menikmati matahari terbenam sambil kau melafazkan kata-kata cinta, tidak akan sesekali aku lupa. Setelah itu, pandangan kita bertaut. Kau senyum manis. Kacak sekali. Baris gigimu tersusun cantik, memutih ketika disimbah mentari senja. Garis rahangmu menyerlah apatah lagi bulu-bulu halus membentuk cambang yang dikemaskan, menyerlah kelelakianmu dipandangan mataku.

Kau mengucup alis keningku. 'Love you' tuturmu sambil mendakapku erat. Aku merebahkan sisi kepala ke dadamu yang pejal. Bau nikotin yang sudah sebati dengan peluh dan sisa haruman Bvlgari Aqua tercium nyaman di pangkal hidungku. Lama juga kita berdiri di situ sambil ditemani desiran ombak yang memukul pantai. Kau ceritakan impianmu yang sudah lama tersimpan. Kau ingin berhijrah ke London. Ingin memulakan hidup baru. Dan semestinya, kau ingin membawaku bersamamu. Ya. Aku masih pegang janji itu hingga kini. Malah, ketika ahli terapi itu menceritakan kembali impianmu, aku lihat pelupuk matamu sudah berkaca. Mati-mati aku ingatkan kau sudah lupa. Kau tertawa sambil menyelindungkan kesedihanmu kepadaku. Ah! Kau memang pelakon yang teruk

Kemudian, ahli terapi itu mengambil alas cawan yang sudah luntur warna putihnya. Kali ini, giliran aku pula tersengih. Corentanmu yang cakar ayam, bersambung-sambung, separuhnya sudah kembang kerana tertitis dengan air kopi masih dapat kubaca dengan lancar.

The course of true love never did run smooth

Midsummer Night Dream, Act I, Scene I. Ayat itu seperti cinta kita, katamu. Tidak mudah untuk ditempuh dan diteruskan. Kau pernah membawaku ke rumah orang tuamu, tiga tahun dulu. Emakmu sudah perasan pada mulanya. Kau berdolak dalih saat hendak dijodohkan dengan gadis sekampung. Emakmu kecewa dengan keputusanmu. Malah, aku juga memujukmu supaya terima sahaja cadangan emakmu. Tapi kau degil. Mana mungkin dipaksa rasa cinta, katamu. Malah esoknya kau nekad untuk berterus terang pada emakmu. Dan dengan rasa terkilan dan patah hati, emakmu menghalau kita berdua. Selagi hidup, jangan cuba-cuba jejak rumah ini lagi, marahnya.

Kau menangis di pangkuanku. Mengapa perlu perkahwinan itu sedangkan sepenuh hatimu tidak rela? Kau bersoal jawab pula denganku selepas itu. Emak mungkin bahagia, tetapi bagaimana dengan hati orang yang menanggung? Kau salahkan dirimu lagi kerana kerana jalan ceritamu tidak seperti orang lain. Aku memujukmu sepanjang pemanduan ke ibu kota. Aku katakan yang emakmu masih sayangkanmu. Berbeza denganku. Ibu bapaku sudah tiada. Emakmu hanya tidak mahu kau terus hanyut dalam jalan ceritamu yang bersimpang siur. Kau tetap kata jalan ceritamu sudah ditentukan dan kau sebagai penulisnya harus menentukan takdirmu sendiri. Ah! Kau sememangnya degil!

"Awak ok?" tanya ahli terapi itu sambil memandangmu. Kau angguk sambil tidak boleh tidak lagi berselindung di balik kedukaan. Aku tersenyum memandangmu. Mungkin sudah tiba masanya untuk kau bangkit dan melupakan kenangan lalu yang menyakitkan. Carilah ketenangan. Cinta kita sudah tinggal sejarah. Antara kau dan aku sekarang telah pun dipisahkan dengan satu garisan halus yang dinamakan Takdir.

Aku dah lama maafkan kau, Amri.


II


"Encik Amri OK?"

"OK je. Cuma sedih sikit."

"Takpelah. Benda dah lepas kan? Biasalah tu teringat bila rindu."

"Saya just nak selesaikan unfinised busniess dengan dia. Bila dah confess camni, rasa lega pulak."

"Good to know"

"Cik Hana?"

"Ye, saya?"

"Malam ni free? Saya nak belanja makan."

"Aha! I don't mix business with pleasure, Encik Amri."

"No..no..Not that. Just nak belanja makan. Random chat. Borak as a new friend?"

"Okey. Kalau camtu, saya tunggu kat ofis? Encik Amri simpan lagi busniess card saya, kan?"

"Oh ya. Ada!"

"Saya balik dulu"

"Jumpa malam ni!"

Amri membuka dompetnya kemudian mengeluarkan sekeping kad perniagaan kuning pudar lalu membacanya perlahan.

Hana Lee Hanim

Clairvoyance / Peramal / Ahli Psikik

No 2, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur


Ingatannya kepada Sahril, kekasihnya gelapnya yang sudah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya sudah mula dikikis perlahan-lahan. Cahaya mentari yang menyinar di balik awan mendung, menyimbah wajahnya yang beransur tenang.


TAMAT

Kau Yang Aku Panggil KenanganWhere stories live. Discover now