2

827 42 1
                                    



"KENAPA JAY?" Soal Ariz yang perasan dengan keadaan Jay yang macam mahu termuntah. Muka remaja itu merah padam dan matanya berair. Jay menggelengkan kepala.


"Okey, aku sambung cerita. Setiap tahun mesti ada student perempuan yang gantung diri dalam kelas-kelas dekat blok tu. Sampai sekarang jadi misteri sebab apa dia orang gantung diri beramai-ramai dekat situ." Ariz mengangkat-angkat kening. Dia tahu Jay berlagak tidak berminat tetapi hatinya penuh dengan pertanyaan.


Jay hanya merenung meja. Dia sudah berhenti makan nasi yang dibelinya. Bau busuk itu masih berlegar-legar di sekelilingnya dan hanya dia yang boleh menciumnya.


"Oh ye, dulu sekolah ni all girls school tapi lepas kejadian bunuh diri beramai-ramai 5 tahun lepas, sekarang sekolah ni jadi all boys school." Ariz menyambung ceritanya. Matanya tepat merenung ke arah rakan barunya.


"Kejadian 5 tahun lepas ialah kes yang terburuk kat negara ni. 20 orang student perempuan mati tergantung dalam kelas yang sama." Dia menambah.


Jay tergamam. 20 orang pelajar perempuan mati bunuh diri pada waktu yang sama dan di lokasi yang sama? Jadi apa yang dia sedang hidu sekarang ialah bau busuk dari 20 mayat? Tekaknya semakin loya. Nasi yang berbaki di dalam pinggan tidak lagi menarik seleranya.


"Kau nak ikut kita orang buat rakaman kat sana tak?"


Jay mengangkat muka. Muka Ariz dipandang buat beberapa saat.


"Aku tak berminat." Dia menjawab malas.


"Aku tau kau berminat. Selalunya student baru pindah sini akan berminat dengan blok tu." Ariz tersenyum nakal. Dia benar-benar mahu memujuk Jay supaya menyertainya.


Aktiviti merakam entiti-entiti yang digelar makhluk halus itu dilakukan dengan dua lagi rakannya yang merupakan pelajar kelas sebelah. Lagipun dia lihat Jay seorang yang agak misteri dan sangat sesuai dengan aktiviti seperti ini.


Sekali lagi muka Ariz dipandang. Dia tidak perlu menyertai aktiviti seperti itu kerana dia sendiri sudah puas melihat makhluk halus. Setiap hari pada bila-bila masa dan sekarang pun dia sedang didekati makhluk-makhluk itu.


Bunyi tali berayun kuat membuatnya mendongak ke atas. Ada seorang pelajar perempuan sedang tergantung di antaranya dan Ariz. Lidahnya terjulur keluar dan mulutnya dipenuhi darah. Berayun ke kiri dan kanan di hadapan mereka berdua. Malangnya hanya dia seorang yang mampu melihatnya.


"Kau tengok apa?" Ariz turut mendongak ke atas.


"Takde apa." Jay bangkit dari kerusi dan mahu beredar namun ditegah Ariz.


"Rilekslah Jay. Aku tau kau berminat dan aku tau kau boleh nampak apa orang lain tak nampak."


Jay berhenti melangkah serta-merta. Bagaimana Ariz tahu? Dia menoleh dan merenung Ariz lama-lama. Remaja lelaki itu hanya tersenyum ke arahnya.

SIXTH SENSEWhere stories live. Discover now