Pagi itu usai menunai kewajipan pagi, aku berteleku sebentar menunggu matahari terbit. Di kawasan kejiranan ini, suasana tatkala melihat matahari terbit boleh dikatakan suatu yang cukup indah seperti yang biasa aku lihat di muka lembar- muka lembar kalendar. Cuma di sini, ia secara langsung. Pemandangan yang jelas seperti ditepi pantai tatkala melihat matahari terbenam. Yang menambahkan lebihnya, cahaya matahari di sini akan dibias oleh pohon-pohon kelapa yang masih kekal berdiri dan berbuah dengan baik walaupun aku menelah umur mereka lebih tua dariku.
Di luar, hujan renyai-renyai masih menyimbah bumi dari malam semalam sambil menyuarkan bauan yang aku senangi selepas bauan rumput yang baru dipotong dan bauan petrol. Bauan yang tidak mampu diceritakan bagaimana tapi cukup untuk menenangkan hati orang seperti aku.
Aku menahan kantuk. Sebenarnya, aku hanya menikmati tidur malamku pagi tadi, lebih kurang 2 jam. Menyiapkan kerja-kerja untuk dibentangkan di kelas jam sembilan pagi nanti.
Aku bangun menuju ke tingkap, melihat pulang mungkin-mungkin hujan akan reda. Kemungkinan itu ada kerana ketika aku lihat di hulu, langit seperti cerah tanda tidak hujan.
Aku mandi dan bersiap, memakai pakaian paling bagus pernah aku pakai sepanjang semester kali ini. Ini hari perbentangan, mestilah pakai yang bagus-bagus, monologku. Paling bagus bagiku ialah berkemeja lengkap bertali-leher dan berkasut kulit. Cukup bagus.
Aku menuruni tangga ke tingkat bawah untuk ke dapur. Rumah masih gelap, aku mendengus dalam iri. Mungkin rakan-rakanku yang lain tidak mempunya kelas pagi ini. Mungkin hanya aku seorang.
Aku ke dapur, membancuh secawan kopi pekat bersama satu suku cawan susu pekat. Orang kelantan dan kemanisan, entah bila boleh dipisahkan. Aku juga menyiapkan beberapa keping roti bakar bersama mentega dan gula. Itu sudah cukup untuk sarapan hari ini. Sebetulnya, aku malas untuk menghidupkan dapur gas dan memasak apa pun pagi ini. Blues.
Aku meletakkan cawan dan piring berisi sarapan ku di lantai dan menarik sebuah beg kecik bersama satu bekas master potato kecil yang dipenuhi puntung-puntung rokok. Pintu rumah juga aku kuak sedikit, membenarkan aroma dan dingin hujan menerjah ke ruang tamu.
Jam 8.30 aku selesai bersarapan namun hujan masih belum memberi isyarat bahawa langit akan berhenti mencurahkan nikmatnya ke bumi. Tak apa, mungkin kejap lagi. Aku menggetus, sekadar menyedapkan hati.
Setelah 20 minit, hujan mulai perlahan. Aku keluar rumah dan menghalakan tangan ku ke hadapan, mencuba air hujan. Apakah masih lebat atau pun sudah reda. Membuat perkiraan. Aku berkeputusan untuk meredah sahaja hujan ini untuk ke kelas. Kerana aku fikir, hujan serenyai ini tidak akan membasah-kuyupkan aku.
Tiba-tiba suatu sambaran cahaya yang maha terang menerjah pohon kelapa yang tidak jauh berdiri dari rumahku. Tidak semena-mena dentuman yang dahsyat bergema dan secara refleks aku menarik tangan dan bergegas kembali ke dalam rumah. Aku yang masih terkejut mencuba untuk bertenang dan tidak panik. Tatkala itu juga hujan sekali lagi menyimbah seperti di atas sana ada kes kecurian meter air yang menyebabkan kebocoran tidak terkawal ini.
Aku masuk ke dalam rumah, membuka kembali kemeja dan tali leher. Menyarung kain pelikat dan membakar sebatang rokok daun. Aku berkonslusi bahawa mungkin kali ini bukan peluang untuk aku membentang kerjaku. Mungkin lain kali, sambil aku merenung hujan bersama aroma rokok daun.
Basyir Latif
Dalam hujan Desa Anggerik
ESTÁS LEYENDO
Mung-kin
De TodoMungkin yang terjadi pada hari ini merupakan tanda bahawa tidak semua yang kita kira, akan jadi benar dan nyata.
