Bab 1

879 20 3
                                    

Claire

Seorang lelaki merintih di dapur, menyekat aku daripada mencapai iDiariku yang berkelip-kelip dengan cahaya ungu di atas kaunter marmar. Tangan kirinya digenggam. Jelas dia sedang menggerenyet kesakitan. Ada titisan darah dari telunjuknya, dan di sekelilingnya penuh dengan serpihan teko.

"Apa dah jadi ni?" tanyaku.

"Teko terjatuh," jawabnya. Herotan mulutnya jelas menunjukkan dia dalam kesakitan.

"Biar saya tengok," aku berkata, sambil mengatur langkahku dengan hati-hati untuk mengelak serpihan tembikar. Ketika aku menghampirinya, kilauan cincin emas di tangan kirinya mengingatkan aku apa yang aku ketahui sekian lama tentang suamiku. Nama: Mark Henry Evans. Umur: 42. Pekerjaan: Penulis novel yang bercita-cita menjadi Ahli Parlimen South Cambridgeshire. Kami berkahwin di gereja kecil Kolej Trinity pada 12:30 tengah hari pada 30 September 1995, dengan dihadiri sembilan orang tetamu. Ibu bapa Mark enggan datang. Janjiku pada paderi Walters aku akan katakan kepada diriku pada setiap pagi yang aku cintakan Mark. Kos upacara £678.29. Hubungan kelamin terakhir kami lebih dua tahun yang lalu, pada jam 22:34 pada 11 Januari 2013. Mark perlu enam setengah minit saja untuk selesaikannya.

Aku masih tidak pasti jika beberapa fakta yang aku simpan tentang suamiku ini sepatutnya membuat aku berasa bersalah, sedih – atau marah.

"Saya cuba tangkap teko tu, tapi melantun pada mesin basuh pinggan pula," kata Mark.

Aku perhatikan luka di telunjuknya hampir satu inci panjangnya. Aku renung wajah Mark. Aku lihat kedutan di dahinya, kerutan di hujung matanya, dan simpulan bibirnya. Aku teringat bagaimana dia asyik berkalih badannya di katil malam tadi, seolah-olah dihantui sesuatu di dalam mimpi.

"Nampak teruk," kataku. "Nanti saya ambilkan plaster."

Aku bergegas meninggalkan Mark dan naik ke tingkat atas. Fakta: First-aid kit disimpan di dalam kabinet bersebelahan cermin bilik air. Aku berhenti seketika di hadapan bayangku di cermin. Mata yang merenung balik kepadaku sekarang amat berlainan berbanding mata yang penuh kesedihan yang kulihat semalam. Wajahku pula, walaupun punya pupil yang lebih cerah, namun berpipi sembap, dan kulit di sekitar mata kelihatan bengkak.

Aku menangis hingga ketiduran semalam. Malah, sebahagian besar masa siang pun, aku hanya terperap di bilik.

Bingung aku memikirkan sebabnya. Puas aku renung bayangku yang kelihatan bengkak itu, mengharapkan jawapan yang aku cari muncul. Namun sebab di sebalik kesengsaraanku semalam masih tidak dapat aku cengkam, bagai sayap kupu-kupu yang terbang jauh. Cuma yang aku ingat, aku mengasingkan diri, menangis berterusan dan enggan menjamah apa-apa. Aku mengerutkan muka dengan rasa putus asa; wajah di cermin turut berkerut. Kesedihan yang aku rasa semalam sudah pasti disebabkan sesuatu yang berlaku dua hari sebelumnya. Tetapi apa?

Aku tak ingat apa yang terjadi kelmarin. Memang mustahil bagiku. Kerana aku cuma boleh ingat apa yang terjadi semalam.

Ah, suamiku sedang menungguku, aku mengingatkan diri sambil mengeluh. Lantas kucapai first-aid kit itu dan turun ke bawah. Mark duduk di meja sambil merawat jarinya yang luka. Bibirnya menipis menahan kesakitan.

"Mari saya tengok," kataku sambil membuka kit.

Mark menggerenyet ketika aku mengesat darahnya dengan putik kapas. Ternyata lukanya lebih dalam daripada yang aku sangka.

"Lebih baik buang kumannya dulu." Aku keluarkan botol kecil berisi antiseptik, lalu aku cabut penutup gabusnya.

"Tak perlulah."

"Takkan nak biarkan hingga dijangkiti kuman."

"Lukanya sikit saja."

Tanpa mengendahkan Mark, aku terus calitkan antiseptik ke bahagian yang luka (Mark menggerenyet lagi). Kemudian jarinya aku balut dengan plaster. Mark membuka mulut seolah-olah hendak berkata sesuatu tetapi akhirnya dia hanya berdiam dan mengerutkan dahinya.

(preview) SEMALAM - sebuah novel Felicia YapWhere stories live. Discover now