1. Sempadan Hidup Yang Berliku
Pada waktu petang yang dingin, angin mula menghembus perlahan, matahari sayup-sayup memancarkan sinar teriknya ke permukaan laut. Langit perlahan-lahan menutup tirainya dengan perarakan awan menandakan hujan bakal melimpah di kawasan persisiran Pantai Teluk Kemang. Namun begitu, keadaan tidak menghalang orang ramai untuk bergembira bersama keluarga dan yang tersayang di sekitarnya. Di sebalik wajah Teluk Kemang yang tersenyum indah ini, aku pula hanya duduk termangu di bawah pokok dek kerana tertekan dengan kehidupan yang cukup mencabar.
Perlahan-lahan air mata ku mengalir, membasahi kain seluar aku. Sukar untuk aku menanggung apa yang aku lalui pada saat ini. Aku hanya mampu menekup muka dengan paha, mengharapkan setiap luka dalam hati ini dapat sembuh biarpun aku tahu ianya mustahil. Tidak mampu ku menahan pedih dan perit ini.
"Aku tak suka lah ada anak perempuan macam kamu! Aku suruh lain kamu buat lain! Kenapa bengap sangat kau ni?"
Bertambah deras air mata ku apabila aku mengenang kembali kata-kata tersebut. Manakan tidak, kata-kata kasar itu keluar dari mulut ibu kandung ku sendiri. Siapa yang mampu menanggung pedih apabila orang yang melahirkan kita menghamburkan kata-kata sedemikian rupa kepada anak kandungnya sendiri. Apatah lagi dia membahasakan dirinya dengan perkataan aku apabila bercakap dengan ku.
Benar, aku bukanlah anak yang baik. Ada kalanya aku terlalu ego dan memberontak tapi tidak bermakna aku suka dengan sikap sedemikian rupa. Dari kecil lagi ibu memandang rendah pada ku hanya kerana dua kakak aku lebih pandai dan cantik dari aku. Keadaan menjadi lebih teruk apabila pelajaran aku merosot.
“Kakak-kakak kamu boleh dapat A dalam semua subjek, tapi kenapa kamu bengap sangat hah? Sakit mata aku tengok keputusan ujian kau ni!”
Ibarat pepatah bapak borek anak rintik, dua orang kakak aku juga sering melenting aku apabila aku tidak sengaja walaupun mereka tahu itu hanya kesilapan yang kecil. Pernah sekali kakak aku menampar aku hanya kerana aku masuk bilik kakak tanpa pengetahuannya. Ibu hanya memandang mereka lebih mulia dari aku memandangkan aku hanya anak bongsu yang sering corot dalam mata pelajaran dan tiada rupa seperti dua kakak aku. Pada pandangan ibu mungkin aku hanyalah anak tiri yang disisihkan...
Aku mendongak ke langit yang kini semakin sayup, seolah-olah langit memahami apa yang aku pendam di hati ini. Tiupan angin yang damai membuatkan daun lusuh jatuh berguguran dari pokok. Biarpun hati perit menanggung derita, ketenangan mula terbina sedikit demi sedikit dengan suasana petang yang permai ini. Namun, hati ini mula kembali tergoyah apabila kenangan-kenangan pahit mula menguasai minda aku.
Apabila aku mula menutup kelopak mata ku, secara tiba-tiba terlintas bayangan pukulan tangan ibu ke arah muka ku, membuatkan aku membuka kembali mata aku seperti tidak percaya dengan kejadian seperti itu. Aku mula menunduk semula ke pangkuan paha ku dengan mengerutkan dahi memikirkan setiap perilaku ibu.
“Padan muka kau. Jangan ingat aku dan Fidah rasa simpati dengan kau. Memang layak kau macam ni. Dah lah corot dalam ujian, hodoh pula tu”
Terimbau kata-kata kakak sulung aku, Iffah. Begitu sekali layanan dua orang kakak aku terhadap adik bongsu ini. Sungguh aku tidak faham, apakah ibu langsung tidak boleh menerima kekurangan aku? Bukankah aku anak kandungnya, sama seperti Fidah dan Iffah?
Angin bayu di pantai Teluk Kemang semakin kuat membadai. Pokok-pokok mula mengikut rentak alam tatkala langit mula menjadi gelap dilitupi awan menandakan langit bakal mencurahkan air hujannya. Suara orang ramai di persisiran pantai sayup kedengaran dari tempat aku keseorangan diri. Namun, aku masih utuh di sini duduk termangu di bawah pokok. Air mata ku terus mengalir jatuh ke pipi tanpa henti apabila mengimbau kembali saat-saat perit itu. Sekiranya ayah masih hidup, sudah tentu dia tidak akan membiarkan ibu memukul aku.
Dialah yang menjadi tempat mengadu apabila ibu mula memarahi aku. Dialah menjadi tempat aku menangis sepuas-puasnya. Dialah ayah yang benar-benar aku perlukan tatkala aku jatuh. Biarpun ayah sering sibuk dengan urusan perniagaan, dia masih mampu meluangkan masa untuk keluarganya, terutama terhadap aku.
Hembusan angin meniup melontar debu dan dedaunan, menjadikan perasaan aku berasa hiba. Suara tangisan budak kecil sayup-sayup kedengaran menarik perhatian aku. Aku mengangkat kepala aku dan melihat budak kecil yang menangis itu dipujuk oleh ibunya. Hati aku sungguh tercalar dan cemburu melihat kasih sayang ibu itu terhadap anaknya. Namun, saat itulah aku terkenangkan ibu merotan aku kerana mendapat tempat tercorot dalam kelas...
“Ibu rotan adik lagi ke hari ni?”Tanya ayah dengan suara lembutnya.
“Aah.. Sakit sangat ayah..”Balas aku teresak-esak yang pada waktu itu berumur 12 tahun sambil menggosok-gosok kesan rotan dari ibu.
“Nanti ayah bawa adik jalan-jalan pergi Zoo. Ok?”
“Ok..” Sahut aku dengan nada perlahan.
“Itulah awak. Awak tahu dia selalu dapat markah corot dalam kelas. Macam mana dia nak pandai kalau awak selalu manjakan dia? Lagipun, bila Iffah dan Fidah dapat markah terbaik, awak cuma puji mereka. Takkan tiada hadiah untuk mereka?”
Ibu mengerutkan dahi sambil menyiang ikan kembung yang nak digoreng. Waktu itu penyangkut baju yang selalu ibu guna untuk merotan aku ada di sisinya.
“Awak ni. Janganlah bandingkan dia dengan mereka tu. Takkan awak nak asyik rotan dia bila dia asyik silap sahaja? Tak pernah saya tengok awak rotan Iffah dan Fidah”
“Memanglah sebab mereka tak buat salah, dah tentu saya tak rotan. Masing-masing dah berumur 18 dan 19 tahun. Lagipun masa kecil mereka taklah seperti adik ni asyik bermasalah aje. Yang bongsu kenalah belajar dari yang tua”
Ayah tidak membalas. Dia hanya merenung mata aku sambil mengukir senyuman. Tangannya mengusap-usap tangan dan kaki aku yang merah akibat dirotan oleh ibu.
“Jangan menangis, adik. Ayah kan ada ni. Senyumlah. Ya?”
Kata-kata semangat ayah itulah paling aku sebak apabila aku mengenang kembali. Tiada lagi kata-kata sedemikian dari ayah. Sungguh, kerinduan aku terhadap ayah semakin membuak-buak. Waktu ini, hanya pokok yang aku bersandar menjadi teman perkongsian aku, seolah-olah teduhan pokok ini memujuk aku jangan bersedih dan tiupan angin yang sepoi bahasa bagai membisikkan semangat pada ku.
Setiap kali ayah pulang ke rumah, tidak pernah sekali tangannya kosong dari membawa hadiah atau makanan untuk kami. Namun hingga saat ini, ibu dan kakak tidak pernah tahu yang ayah kerap bawa hadiah khas untuk aku secara senyap-senyap. Setiap hadiah darinya aku simpan hingga sekarang. Mungkin kerana kasih sayang ayah terhadap anak-anaknya antara sebab mengapa perniagaannya berkembang maju. Ayah memiliki dua gedung baju harian dan satu kilang kain kapan. Mewahnya keluarga aku bukan kerana harta, tapi kerana mewahnya kasih sayang dari ayah aku.
Namun setelah ayah dijemput Ilahi ketika aku 16 tahun, keadaan tidak seperti dulu, bahkan menjadikan kehidupan aku lebih sukar untuk hidup dalam keluarga ini. Ibu mula mengambil alih perniagaan ayah manakala dua orang kakak aku banyak membantu dalam perniagaan sebelum mereka mula bekerja sebagai doktor dan jurutera. Aku?
Tamat sekolah, ibu melarang aku sambung belajar hanya kerana tiada orang sediakan keperluan mereka memandangkan ibu dan dua orang kakak aku sibuk dengan rutin harian masing-masing. Tidak aku sangka bahawa anak bongsu ini menjadi orang suruhan mereka. Akulah tukang cuci, tukang masak, tukang mengemas, tukang beli barang, tukang basuh baju.
Sungguh.. Walau macam mana sekalipun, tidak pernah timbul rasa benci terhadap ibu. Ada kalanya hati ini ingin sangat membenci, tapi entah mengapa perasaan sedemikian tak pernah timbul. Apa yang aku nak, paling kurang pun, aku teringin sekali mendengar ibu membahasakan dirinya ibu kepada ku. Itu sudah cukup memadai untuk aku ubat sedikit sebanyak luka di hati. Namun, tiga tahun berlalu setelah kematian ayah, tiada satu perkataan yang baik pun pernah keluar dari mulutnya kepada ku...
**********************************************
YOU ARE READING
Tangisan Di Bawah Pokok
Teen FictionMenceritakan tentang kehidupan seorang "Cinderella" yang hidup bersama ibu dan dua orang kakaknya. Namun, kesudahan ada kalanya tidak seperti yang dijangka...
