Catatan Kembara #4 Apabila Barat Berbudaya Timur

27 0 0
                                    

Beberapa hari lalu, homestay aku dikunjungi oleh enam orang tetamu orang putih. Lepas keluar, dia kirim teks ucap terima kasih. Daripada teks dan emoticon, aku boleh terjemah dia bersungguh-sungguh. Puas hati sangat agaknya.

"It was lovely. I will give a good review for your hospitality."

Senang hati aku. Lovely katanya. Kembang rasa. Mana tidaknya. Orang putih ni kalau benda baik, dia puji betul, kalau tak kena, dia kompelin pun betul juga. Seakan pencapaian peribadi aku rasa apabila dapat puaskan orang putih. Siapa sangka, orang Malaysia selebet macam aku memenuhi cita rasa orang di sini. Bangga woi.

Sekembali ke homestay, aku tengok ada stiker dilekat pada kaki kerusi. 'Broken chair' tertulis. Alamak! Kerusi tu memang dah goyang-goyang sedikit sebelum ni, tapi kali ni ditegur tetamu. Kalau boleh aku mahu tetamu gembira, tiada kompelin.

Baru sebentar tadi dia hantar teks seperti gembira, tapi sekarang dia kompelin pula. Jadi teks 'lovely' yang dihantar itu apa?

Buat pertama kali aku rasa agak keliru dengan sikap orang putih. Homestay aku yang lovely, atau aku yang lovely? Eh!

Serius aku tidak marah. Pandai dia tegur berlapik. Berkias menegur dan cakap elok-elok. Bagus sebenarnya apabila ditegur, jadi aku boleh perbaiki. Tapi cara dia tegur rasa comel sangat. Tidak marah secara direct, berbahasa basi lagi. Ambil stiker, lukis comel dan tulis cantik-cantik, dan lekat. Hati aku tidak sakit.

Aku tertarik dengan budaya menegur cara berhemah. Selalu kita ditegur dengan nada marah-marah, sedangkan boleh sahaja tegur baik-baik. Dan yang ditegur pun, tidak melenting. Baik yang menegur, atau menerima teguran.

Aku teringat insiden dalam Facebook. Apabila seorang buat salah, memang teruk kita bantai ramai-ramai. Ramai menggelakkan, melepas geram. Kadang aku geleng kepala, ada komen bernada setaraf macam Tuhan menjatuh hukuman.

Pun begitu, aku bersyukur. Kesilapan dan aib aku tertutup rapat. Maruah aku dijaga kemas. Tidak dimarah-marah oleh tetamu, tetapi dapat peringatan cara lembut. Dan aku insaf, setiap kali kita menegur kesalahan orang, ada perasaan orang yang kita lukakan. Ada jiwa yang kita gugahkan. Cuba kita letak diri kita dalam keadaan begitu.

Orang cuma mahu tengok yang elok sahaja, tapi orang lupa bahawa yang elok itu hanya untuk Maha Pencipta. Kita yang di bawah ini banyak benar cacat celanya.

Sayang Allah kepada aku.

(TEASER) Lost in Sekutland - Irwan DahnilWhere stories live. Discover now