Lelaki itu tersenyum. Hanya mengangguk sekali, mengiyakan.

"Kalau macam tu saya dah tak ada apa-apa urusan dengan awak. So, excuse me." Pantas Dhir mahu melepaskan diri. Sekelip mata dia memusingkan badan 180 darjah, mahu atur langkah meninggalkan Jirey.

Tapi belum pun sempat dia gerakkan kaki, kata-kata Jirey menghalangnya. Menjadikan langkahnya membeku serta-merta. "Awak tak rasa ke awak ada tercicir barang di tapak parkir dua hari lepas?"

Degup jantung yang baru nak normal semula terus jadi abnormal. Sesuatu pada ayat lelaki itu membuatkan naluri Dhir kembali rasa tak tenang. Tangan pun dah sekelip mata terasa sejuk, tanda-tanda seketul Izzani Hadhira sedang gementar.

Lantas dia kembali pusingkan badan berhadapan dengan Jirey. Tanpa suara, kening dijongket tinggi.

Jirey terus tayang senyum senget. Tangan kanan diangkat, separas dengan pandangan mata Dhir. Dan kemudian ditayang sesuatu yang sengaja disangkutkan di jarinya.

Pendrive berbentuk zirafah.

Mata gadis itu spontan membulat. Lebih besar berbanding reaksi terkejutnya tadi. Pandangan mata bertemu dengan mata Jirey sebelum kembali pada zirafah mini itu.

Reaksinya membuatkan senyuman Jirey semakin lebar, naik level evil. Itulah dia! Reaksi yang Jirey jangkakan daripada gadis ini. Semakin menguatkan lagi hipotesis yang dah dibuat selepas seharian menyelongkar isi pendrive ini kelmarin.

"Benda ni tertinggal kat tapak parkir dua hari lepas." Sengaja Jirey buat selamba. Digoyang-goyang zirafah mini di tangan. "Awak punya, kan?"

Lelaki ini sengaja mengujinya, Dhir tahu. Dan dia serius tak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkan kepada lelaki ini. Sama ada dia harus kekalkan ketenangannya atau merampas terus pendrive itu dari tangan Jirey.

Dan bagaikan dapat membaca apa yang difikirkan oleh Dhir, Jirey sudah bertindak lebih awal dengan menggenggam kemas-kemas zirafah mini di tangan.

"Kan? Cik Distract?"

Dhir rasa mahu pengsan. Kalau melihat pendrive tadi, dia masih mampu pejamkan mata dan buat tak tahu. Namun apabila mendengar nama itu meniti di bibir Jirey, dia serius rasa mahu lari sembunyikan diri sendiri.

Jirey dah tahu! Lelaki ini tahu kandungan dalam zirafah mini itu. Yang paling penting dan membuatkan Dhir rasa sukar nak bernafas adalah kenyataan bahawa lelaki ini tahu bahawa dia ialah 'Distract' yang disebutnya tadi.

Distract adalah rahsia terbesar Dhir! Tak ada seorang pun dalam dunia ini yang tahu tentang itu. Tidak! Sekalipun mak, ayah dan abang-abang serta adiknya.

Dan sekarang, Jirey jadi orang pertama yang dapat tahu tentang rahsia itu?

"Now we do have something to talk about, don't we?"

Soalan provokasi Jirey tak dibalas pun oleh Dhir. Gadis itu hanya kekal tak berganjak, tanpa sebarang kata.

"Awak nak apa daripada saya?"

Kalau lihat senyuman di bibir Jirey, boleh agak lelaki ini punya matlamat mahu memporak-perandakan hidup Dhir.

"Rilekslah. Bagi saya perkenalkan diri dulu. Lagipun awak masih tak kenal siapa saya, kan?" Hujung ayat, Jirey sekali lagi tayang senyum senget.

"Saya Syed Huzairey Syed Norman. Generally known as Syed Jirey or SJ. Kawan-kawan rapat panggil saya Jirey. J-I-R-E-Y, pronounce as Ji-Ray. Macam sebutan 'Re' dalam Do Re Mi."

Amboi, kemain dia buat sesi perkenalkan diri sendiri. Pakej sekali dengan cara eja nama pulak tu. Padahal tak ada sesiapa minta dia perkenalkan diri pun!

Fiksyen (Sudah Terbit)Where stories live. Discover now