Bab 1.1

291 14 1
                                    


"Aku doakan kau takkan masuk syurga..".

Sebaik sahaja teriakan itu bergema di telinganya, dengan pandangan terhadap wajah manusia yang berdiri termengah-mengah di hadapannya mulai hilang, Amrullah Khairi tersedar dari tidurnya. Dadanya tidak berombak seperti mana yang biasanya berlaku pada orang-orang yang baru sahaja tersedar dari mimpi.

Dia tahu itu bukan mimpi tapi cebisan memori. Dia pandang sekeliling dalam kegelapan bilik tersebut, memerhati ahli bilik yang lainnya masih berdengkur dalam lena masing-masing. Enam orang semuanya ahli bilik tersebut termasuk dirinya. Malam kedua di asrama itu, sekolah baru.

Amrullah Khairi menjeling jam tangan yang memang menjadi tabiat untuk tidak ditanggalkan hatta waktu tidur sekali pun. Pukul 3.30 pagi...

Huh... Dia hela nafas berat, berkerut sendiri. Dia mengesotkan badannya untuk bersandar di dinding. Matanya dipejam, sengaja membiarkan bayangan memori pahit tadi bermain seketika, mendatangkan perasaan yang bercampur baur dalam hatinya.

"Aku doakan kau takkan masuk syurga..".

Tika berlaku peristiwa yang menyebabkan dia patah sebelah lengan dan kaki sehingga belum pulih sepenuhnya lagi hari ini, dia meluahkan ayat itu dengan penuh amarah. Hari demi hari, tiap kali teringatkan peristiwa tersebut, amarah itu menghilang, berganti dengan penyesalan.

Dia tahu kenapa dia bermimpikan memori. Kerana dia rindukan sekolah lama... kawan-kawan lama.. suasana lama.. dirinya yang lama..

..dan hari ini merupakan hari ketiga dia terperangkap dalam 'penjara' ini. Sekolah agama. Amrullah Khairi menyeringai sendiri, memikirkan siapa dirinya dan apa yang dia mampu lakukan, dia tahu dia takkan bertahan lama di sekolah ini.

***

Dalam kesejukan pagi yang menjadi-jadi dek kulitnya dibasahi air wudhu', Qa'id berpeluk tubuh berjalan menuju ke pintu hadapan dorm. Baru sahaja ingin menapak keluar, telinganya menangkap bunyi kipas yang masih berputar datangnya dari bilik hadapan dorm tersebut.

Serasanya, dia merupakan orang terakhir yang keluar, itu pun kerana dia berpatah balik ke dorm untuk mendapatkan Quran kecil bersarung dan berzip warna hitam kesayangannya. Sepayah-payah sebilangan manusia yang memang liat nak bangun Subuh pun rasanya semua Exco asrama sudah berjaya kejutkan tadi.

'Takkanlah ada yang tercicir...?' Detik hatinya.

Tanpa menanti lama, dia memutarkan badan menuju ke arah bilik tersebut dan menyelak langsir, lantas kelihatanlah satu susuk tubuh manusia yang masih berbalut selimut. Qa'id menapak mendekati katil tersebut sebelum perlahan-lahan tangannya menyentuh bahu manusia tersebut.

"Amrullah Khairi, bangun subuh,".

Tiada respon.

"Khairi, dah azan dah pun. Kejap lagi iqamat pula,".

Masih lagi tiada respon. Bukan sudah mati yang pasti kerana tubuhnya naik turun dek pernafasan.

"Khairi...".

"Blah la..." Akhirnya Amrullah Khairi bersuara tanpa langsung mengangkat muka. Entah tahu atau tidak gerangan yang mengejutkannya itu.

Qa'id hela nafas. Dia tidak mengalah semudah itu.

***

"Awwhh.. mengantuk sial," Kedengaran suara Moq atau nama sebenarnya Muaz Muqri yang baru sahaja memunculkan dirinya dari pintu dorm sebelah. Amrullah Khairi sekadar tersengih memerhatikannya, disusuli Ammar As'ari yang turut keluar dari dorm yang sama dengan kolar tegak dan tali leher yang tidak dipakai dengan betul.

Anugerah Teragung Dari TuhanWhere stories live. Discover now