"Oleh itu tak ada apa yang perlu dibimbangkan." Ukrit menjeling wajah ayahnya yang masih penuh tanda tanya.

"Kebimbangan yang tidak pada tempatnya hanya satu kerja yang sia-sia. Membuang tenaga," balas Kean dengan tenang.

Ukrit angguk setuju. Mungkin segalanya hanya permainan hati. Bimbang tidak bertempat. Dia terlupa, di hadapannya itu bukan sebarang pahlawan. Pahlawan kepercayaan raja. Kebanggaan dirinya.

"Kita adalah apa yang kita fikirkan. Maka ayah memilih untuk memikirkan kemenangan."

Dengan yakin, Kean menolak kebimbangan Ukrit. Dengan segala persiapan yang telah dilakukan, dia yakin angkatan perang mereka akan pulang dengan kejayaan yang besar. Tambahan pula Takrut Agung sudah berada di tangan Raja Nara. Malah menurut sami di raja takrut itu sudah siap dipuja dan digunakan. Dia percaya tiada angkatan perang yang mampu menewaskan mereka.

"Tetapi wajah ayah seolah-olah menceritakan yang lain." Entah kenapa Ukrit masih berdegil. Wajah ayahnya tidak setenang selalu.

"Kerana yang membataskan kejayaan bukanlah sempadan. Fikiran kita sendiri yang selalu mematikan angan-angan." Kean membalas. .

Dia masih memikirkan sesuatu. Sesuatu yang sentiasa menghantui fikirannya setelah pulang dari Nong Buai. Malah kadang-kadang dia bagaikan terdengar-dengar bisikan suara yang memanggilnya. Semakin hari dia semakin diselubungi rasa kesal.

Dia tidak sepatutnya teragak-agak membuat keputusan. Malah sepatutnya Takrut Agung itu dibawa lari sewaktu masih berada di tangannya. Kini kerana kebodohan itu, dia terpaksa menempuh jalan yang lebih rumit.

"Maksud ayah?"

"Tunggu ayah pulang. Kita akan bercerita panjang." Kean menjawab sebelum melangkah pergi. Dia belum bersedia untuk menelanjangkan kebodohan diri sendiri.

Permintaan itu membuatkan tanda tanya Ukrit semakin membesar. Bagaimanapun, dia tetap mengharapkan ayahnya akan pulang dengan selamat. Dia akan menunggu.

*****

SEMINGGU selepas itu pasukan yang diketuai oleh Kean tiba di sempadan Bago. Belum sempat melepaskan lelah, pasukan mereka diserang pasukan lawan. Pertempuran terus tercetus tanpa lama bertangguh.

Kean dan pasukannya terpaksa bertahan. Setelah berjalan jauh dan melepasi beberapa kubu pertahanan lawan, tenaga yang tersisa semakin berkurang. Sedangkan pada waktu itu pasukan lawan antara barisan yang terhandal.

"Orang kita sudah keletihan. Peperangan ini berat sebelah," kata Pranon, salah seorang pembantu Kean.

"Letih bukan pilihan. Andai nyawa kehabisan, kita kalah bersama maruah di tangan. Kita lawan."

Kean tetap nekad. Namun semangat sahaja tidak cukup untuk mengatasi kelebihan pihak lawan. Sehingga satu detik ahli pasukan hanya tinggal hampir separuh bilangan. Dalam keadaan letih dan lesu, pihak lawan menambah kekuatan. Mereka terkepung dari segenap penjuru hutan. Dalam kekalutan itu, tiba-tiba langit berubah gelap gelita seolah-olah waktu bertukar siang ke malam dalam sekelip mata.

Masing-masing lantas mendongak.

Hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya di segenap inci medan perang. Disulami tujahan petir yang menyambar setiap batang tubuh tentera pihak lawan. Satu demi satu tumbang dalam sekelip mata. Tubuh mereka berasap dan rentung serta-merta.

Kean bersama pasukannya pula terkaku dalam kebasahan dan gigil ketakutan. Mata hampir buta dan telinga jadi tuli. Hanya setelah hujan reda, mereka dapat menggerakkan tubuh badan.

Lantas dalam kebingungan yang belum reda mereka berjalan-jalan tanpa arah. Sesekali terjatuh apabila terlanggar mayat-mayat yang bergelimpangan di atas tanah.

TAKRUT -Tangkal Pemisah Dua NegaraWhere stories live. Discover now