BAB 2

13.6K 256 2
                                    

MATA Ziyad mencerlung tajam. Dahlah dia ada mesyuarat lepas ni. Habis uniform putih dia kotor. Dengan kesan darah pula tu!

"Kau kotorkan baju aku." Wajahnya merah. Nak menjerit, dia tahan hati memandangkan dia ada di tengah-tengah hospital.

Mata gadis itu ditatap tajam.

"Dasar sampah masyarakat! One day... You'll pay for this!"

Langkah kaki diayun laju. Nak tak nak dia kena balik ke rumah semula ganti pakaian. Takkan nak masuk mesyuarat yang dipengerusikan oleh panglima selekeh macam ni? Siapa yang ajar?

Terhenti, kepala Ziyad sekali lagi menoleh dengan pandangan yang lebih tajam. Menghantar rasa geram yang teramat sangat melalui pandangan bila kata-kata tak berdaya si dia luahkan.

"Teratai Nur?"

"Ya?" Teratai Nur tersentak. Wajah lelaki yang dia kenali sebagai Ziyad itu meninggalkan ruangan memori. Lupa yang Puan Hanah masih ada di sisi.

"Termenung lagi?"

Tak menjawab, Teratai Nur hanya tersenyum simpul. Jujurnya dia pun tak tahu kenapa kenangan itu suka sangat menjengah dalam kepala. Nak-nak tentang semua perkara yang menyakitkan. Rasa nak aje dia hantuk kepala dekat dinding. Biar hilang segala yang pahit. Cukuplah hanya tinggal yang manis. Biarpun yang manis itu tak sampai sehasta.

Laju Teratai Nur menafikan. Biarpun jelas canggung penafian dia bila Puan Hanah semakin lebarkan senyuman. Dia terpaksa ledakkan tawa.

"Dalam kepala saya ni, puan... Banyak sangat benda bukan-bukan datang. Sekarang makin kerap pula semua benda tu singgah. Macam saya ni tak ada kenangan indah pun untuk dikenang. Sebab tu, kepahitan yang jadi galang-ganti. Sedih, kan?"

"Atai ingat apa sebenarnya ni? Patutnya benda tu semua Atai dah boleh buang jauh-jauh. Jangan ingat lagi. Ingat yang elok-elok aje," pinta Puan Hanah.

Teratai Nur senyum sinis. Pada diri sendiri yang pastinya. Apalah keindahan yang dia nak ingat sedangkan hampir seluruh memorinya diisi dengan keperitan. Daripada kenangan bersama ibu, ayah, masyarakat dan lebih-lebih lagi diri sendiri yang cipta kenangan ngeri itu.

"Sekarang ni, jenuh juga saya panggil semua yang indah-indah. Bukan saya tak cuba, puan... Tapi penghinaan manusia itu jugalah yang menyahut saya." Dikerling Puan Hanah. Setitis air mata dia jatuh ke pipi. Laju dia sapu.

Saat ini, dia nak pahatkan menjadi memori terindah dia. Dia dah janji untuk cipta semua yang indah-indah saja di depan hari setelah bertahun dia bergelumang dalam kegelapan.

Puan Hanah gariskan senyuman. Teratai Nur masih trauma dan tak pelik pun. Semua pelatihnya macam ni bila tiba masa untuk keluar. Yang ada keluar tertanya-tanya, mahukah keluarga menerima? Yang sebatang kara pun menyoal... Bolehkah berdepan dengan masyarakat? Tapi, itu perkara biasa.

"Kadang-kadang cemuhan orang tu akan jadikan kita kuat, Atai." Tangannya melilit bahu si dia. Kemas, ketat dan erat. Diusap mesra. Rasa tubuh kurus gadis ini menggigil. Betapa Teratai Nur masih takut menghadapi dunia luar.

"Sebab manusia ni, memang sentiasa dahagakan pujian. Tak akan pernah cukup biarpun dipuji berjuta kali tapi kita akan rasa diri ini begitu hina bila hanya sekali kita dikeji. Sebab itu memang sikap manusia. Yang buruk itulah yang kita akan ingat tapi, itu semua bukan keburukan juga. Ada baiknya. Kerana dengan itu, kita sedar kita ni siapa. Kita ni tak gah langsung. Tak hebat. Jadi, jangan jalan mendabik dada dan mendongak wajah. Biar kita terus tunduk moga tak tersadung kali kedua," tambah Puan Hanah agar Teratai Nur tak terus merasakan apa yang dah terjadi itu, keburukan semata.

Boleh jadi, cacian itu hadir menjadi penguat semangat. Kerana, pujian itu melalaikan dan kutukanlah yang akan menyedarkan.

"Dan pertemuan ini adalah kehendak Tuhan. Kalau kata bertemu pun, yang lalu tetap lalu. Atai adalah orang yang baru sekarang. Yang bagai dilahirkan semula. Biarlah apa orang nak cakap... Janji Allah tahu siapa kita. Anggap sajalah kata-kata dan penghinaan dia tu sebagai penawar untuk seorang yang bernama Teratai Nur bangkit semula."

Biarpun Teratai Nur tak berbicara jelas tentang keresahan hati, tapi dia sebagai pengasuh pada gadis ini... Dia boleh baca. Dia pasti anak asuhannya teringatkan seseorang. Sudah tentu seseorang yang memberi kesan yang mendalam.

Teratai Nur koyak senyum. Resah yang sejak tadi mengepak dalam dada sedang hilang. Berbicara dengan Puan Hanah, mana pernah dia jemu. Memang tak pernah. Jika yang lainnya begitu negatif dengan diri sendiri, Puan Hanah sentiasa optimistik.

Ada masa, hati yang rapuh itu masih kekal rapuh. Semangat yang katanya dah kuat, goyah juga. Teratai Nur letak telapak tangan kanan pada bahagian dada sebelah kiri. Degupan itu masih seperti biasa. Jantung itu masih kuat dan sihat. Dan, inilah nikmat utama yang patut dia syukuri setiap masa.

Nikmat hidup, masih diberi kesempatan bernafas.

Allah... Tenang dia sebut nama agung itu. Dan sudah pastinya juga nikmat iman.

TAKDIR UNTUK AKUWhere stories live. Discover now