Kepala Mastura tersandar pada stereng. Dia dilarang pergi ke balai polis dan semua persoalan yang bermain di benaknya belum berjawab. Apa yang patut dia buat selain menangis?

"Kenapa, Mas? Kau okey tak ni?"

Jebat mengusap rambut Mastura. Dia risau melihat keadaan Mastura yang begitu emosi. Selalunya Mastura tidak begitu. Bertengkar selama mana pun isterinya takkan stres.

"Tanya lagi... Memanglah tak okey," jawab Mastura dengan esakan masih bersisa.

"Aku minta maaf Mas kalau aku buat kau stres..."

Mastura angkat muka. Mata dan hidungnya kemerahan. Jebat menyeka air mata di pipi Mastura tapi ditepis perlahan.

"Abang, apa maknanya perkahwinan kalau antara kita ada rahsia... Mas tak nak perkahwinan yang penuh dengan rasa curiga. Abang nak Mas percayakan abang tapi apa yang Mas nampak, abang asyik mengelak daripada berterus terang. Mas curiga yang abang tak jujur. Mas tak pernah bersangka buruk kat abang tapi keadaan kita sekarang ni buat Mas rasa syak yang abang ada buat sesuatu di luar pengetahuan Mas."

"Mas... Kan aku dah cakap, aku tak tahu kenapa orang tu nak bunuh aku. Tapi hal ni memang berkaitan dengan kisah silam aku sebelum aku kenal kau. Sebenarnya aku... Aku... Aduh Mas, aku tak tahu nak mulakan dari mana..."

Belum sempat Jebat habis bercakap, Mastura sudah memasukkan gear dan kereta dipandu semula.

Jebat kaget seketika. Bila aku nak cerita, dia pula yang tak nak dengar!

"Mas, kau jangan macam ni... Aku nak ceritalah ni. Boleh tak kau berhenti semula kat tepi jalan biar aku yang drive? Aku janji aku akan ceritakan semuanya!"

Jebat sedikit terjerit. Mastura memandu melebihi had laju di kawasan bandar, silap-silap boleh kena saman.

Tiba-tiba Mastura masuk ke satu lorong dan brek mengejut di hadapan sebuah mini market. Tanpa mempedulikan Jebat, Mastura mengambil beg tangan dan membuka pintu kereta. Dia terus keluar meninggalkan Jebat terpinga-pinga di dalam kereta.

"Wei, Mas! Kau nak ke mana pula tu?" jerit Jebat yang separuh badannya keluar melalui tingkap kereta.

Dah kenapa pula dia keluar tiba-tiba macam ni? Jebat mati akal dibuatnya.

"Mas!!! Aku panggil kau ni!"

"Tak nak ikut, duduk aja dalam kereta tu. Mas lapar! Mas nak beli makanan."

Jebat tepuk dahi. Lapar pula? Tadi beria-ia menangis. Sekarang dah lapar pula? Apa kenalah dia ni... Macam bipolar pun ada!

"Lain kali kau boleh tak jangan buat saspens mcm ni?" Jebat membebel. Dia keluar dari kereta dan mengekori Mastura masuk ke dalam mini market.

"Kau buat apa ni, Mas? Sampai ambil troli ni... Kau nak borong satu market ni ke? Kita ni dalam perjalanan nak ke tempat yang jauh Mas oi... Mana sempat nak shopping."

"Kalau Mas nak borong satu market, Mas tak ambil satu troli aja... Dua tiga troli Mas ambil!"

Jebat garu kepala. Matanya ralik memandang Mastura mengambil pelbagai jenis barang di dalam mini market itu.

Tak sampai lima minit, troli itu sudah separuh penuh. Ini tak boleh jadi... Dia main pakai angkut aja semua yang dia nampak! Kalau macam ni, tauke balak pun bankrup!

Apabila Jebat mengambil beberapa barang yang dirasakan tidak perlu dan diletakkan semula di rak, Mastura memukul lengannya.

"Siapa suruh abang letak balik?"

"Banyak sangat makanan ringan... Tak elok untuk kesihatan."

"Biarlah... Abang bukan pedulikan Mas pun. Tak payah nak ambil berat sangatlah pasal kesihatan Mas."

JEBAT (Diadaptasi Dari Filem)Where stories live. Discover now