"Okay, sorry! Sorry okay. You hantar jelah I balik. Boleh kan?" suara Moza lentur semula. Tak guna dia berkeras sekarang kerana akan menjarakkan hubungan mereka, walhal bukan itu yang diinginkan.

Tali pinggang keledar Moza dipasang semula. Pintu pun dia kunci. Cukup untuk hari ini dia berusaha tapi dia tak akan berhenti sampailah hati Thaqiff Akhtar dapat ditawan! Bila hati jejaka itu sudah menjadi hak mutlaknya, segala kebahagiaan pun bakal menjadi miliknya.

"KAK RAI, apa ni! Malulah orang tengok," cekak rambut yang terletak di atas kepalanya, Tariz tepis.
Raisha mengekek ketawa. Lucu dia melihat wajah maskulin adiknya itu bertukar menjadi ayu pula bila mengenakan cekak rambut Micky Mouse.

"Ala... comellah ni. Ni hadiah dari akak sebab adik akak dapat pangkat sarjan sekarang!" sorak Raisha di tengah-tengah taman. Siap bertepuk tangan lagi.

Tariz yang melihatnya pun hairan. Yalah, yang dinaikkan pangkat tu dia, tapi Raisha pula yang gembira tak terkata. Bukan sekadar sorak, siap pipi Tariz pun dia cium.

"Kak Rai!" jerit Tariz. Pipinya dikesat. Matanya menjeling tajam ke arah Raisha yang tampak seronok menyakatnya. Ni tempat awam, banyak mata yang memandang.

"Apa? Ala... akak cium adik lelaki kesayangan akak aje. Kenapa? Salah ke? Tak, kan..."

Dia yang tanya dia juga yang jawab semula. Tariz geleng kepala. Dah sawan agaknya kakak aku ni, getus hatinya lantas dia menyandarkan tubuhnya di kerusi kayu yang menghadap ke arah landskap bunga.

"Salah tu taklah, tapi malu! Riz bukannya budak kecil lagi," omelnya antara dengar tak dengar saja bila hidungnya pula ditarik Raisha.

"Sakitlah kak. Dahlah." Menyesal dia ikut ke taman hari ini. Kalau sesiapa nampak apa yang jadi tadi, jatuh maruahnya! Nak pula kalau yang nampak tu rakan sekerja ataupun rakannya yang lain. Boleh jadi bahan untuk setahun!

"Ala... lalalala... comelnya adik akak ni kalau marah," cuit Raisha lagi dan kali ini pipi Tariz pula dipukul-pukul.

"Tangan Kak Rai ni boleh diam tak, malulah orang tengok," dengus Tariz.

Perkataan malu entah berapa kali sudah disebut tapi Raisha, tak juga makan saman. Hari ini kerjanya asyik menyakat saja. Tak pun ketawa mengilai. Apalah yang lucu sangat.

"Pengantin baru memang macam ni eh? Terlebih bahagia!"

Raisha juih bibir. "Sindir akak ke tu?"

"Tak, tanya je sebab Kak Rai nampak macam baru makan ubat penenang sebotol."

"Ha! Ya ke?"

Kedushssh!

Satu pukulan mengena di belakang Tariz. Lepas tu, Raisha boleh pula gelak lagi! Tariz bingung melihatnya tapi tengok Raisha begitu, tak dapat dinafikan dia juga rasa bahagia.

"Adik..."

"Erm?"

"Nak tahu bahagia tak bahagia, adik cubalah kahwin."

Membongkok kegelian Tariz bila perutnya tiba-tiba Raisha cucuk dengan jari-jarinya. Tengok mimik muka Raisha yang tengah menyengih semacam, rasa menyesal tanya soalan tadi.

"Kalau adik nak, akak boleh kenalkan dengan kawan akak ataupun dengan pelajar akak? Nak tak?"

Hurm... penyakit dia datang lagi. Padan muka kau Tariz! Tanyalah lagi...
tempelak Tariz pada diri sendiri kemudian dia berdiri. Bersedia untuk larikan diri.

Dia bukan tak tahu bagaimana fiil kakaknya ini. Tadi tu baru mukadimah saja, nanti berderet soalan yang buat dia sakit otak hendak menjawab. Sementara ada peluang, memang patut dia lari selamatkan diri tapi kakinya lambat sesaat pula nak melangkah. Cepat saja tangan Raisha menarik baju Tariz dari belakang.

Topeng Si Pemuja HatiWhere stories live. Discover now