BAB 2

25.5K 182 1
                                    


Diperhatikan si anak yang tersenyum tak sudah itu. Entah apalah yang dia fikirkan. "Umi rasa, umi masak guna resipi biasa aje tapi kenapa umi tengok Keel macam angau semacam aje?" tegur Hajah Hamidah.

"Hah, angau?" Hilang terus bayang wajah Afia.

"Yalah... Dari tadi duk tersengih tak sudah macam orang angau!"

Wakeel ketawa. Tengok tu, macam manalah nak sembunyikan masalah besar andai dari senyuman pun, umi sudah boleh mentafsir segalanya? Dia akan bebankan hati umi. Dia akan susahkan hati umi.

Walaupun dia ni boleh dispesifikasikan sebagai pendosa tegar, tapi bab umi dia paling sensitif. Tak boleh tengok umi nangis. Tak boleh tengok umi susah hati. Hati umi, adalah keutamaannya.

"Mana adalah. Along tak balik ke? Sunyi rumah ni kalau tak ada budak-budak." Terus Wakeel lari topik.

"Along kamu tu sibuk, jarang balik ke sini. Yalah, dia pun dah ada keluarga sendiri. Cakap pasal sunyi kan, umi ni teringin nak menantu perempuan. Boleh tolong umi masak kat dapur. Teman berborak. Tapi nak harapkan angah, lagilah terkubur harapan umi. Umi risau betul dengan penyakit tak nak kahwin dia tu." Hajah Hamidah bentangkan impian kecilnya. Kini, hari-harinya hanya ditemani Mak Piah. Pembantu rumah yang sudah dianggap seperti ahli keluarganya.

Wakeel ketawa sahaja. Kata-kata umi bagai hendak memudahkan kerjanya sahaja.

"Hah... Kalau angah tu lambat sangat, apa kata kalau Keel yang tunaikan permintaan umi tu?" Kening dinaik turun.

"Hish, kamu tu kerja pun belum ada hati nak kahwin."

"La, lepas kahwin kerjalah. Bukan ke perkahwinan tu membuka rezeki? Lagipun orang cakap, tak boleh tunggu kaya baru boleh kahwin. Kalau nak kaya, berkahwinlah!"

Hajah Hamidah menggeleng. Paling tak percaya dengan anak bongsunya itu. "Kalau bab kahwin, cepat aje kait dengan agama, kan? Umi ajak pergi ceramah kat masjid tu bukan main liat lagi."

Terus tersedak Wakeel dibuatnya. Tak pasal kena sedas!

"Alah, nanti dah kahwin mesti reti jadi imam sempurna dalam hati makmum." Dari segi penampilan Afia, gaya wanita solehah tu dah ada. Silap hari bulan, Afia yang bimbing dia.

Kali ini Hajah Hamidah makin mencebik. Riak tak yakin terus dilayang.

"Hmmm... Sebenarnya, umi ni tak nak hilang Keel, kan? Yalah, Keel kan boyfriend yang best..." Dari kecik lagi, dia suka gelarkan dirinya sebagai boyfriend umi semenjak arwah abi meninggalkan mereka. Dia nak jadi pelindung dalam hati umi. Dia nak jadi hero umi.

"Keel tahu tak apa definisi boyfriend yang baik? Boyfriend yang baik, kenalah teman girlfriend dia pergi masjid, pergi dengar ceramah, pergi kelas mengaji ke. Baru boleh masuk syurga sama-sama." Tak ada sekelumit pun niat Hajah Hamidah untuk memerli anaknya.

Tapi sikit sebanyak, ada kesal yang menghuni dalam hati apabila melepaskan si anak melanjutkan pelajaran di luar negara. Dia lihat, makin lama Wakeel makin liat untuk ke masjid. Solatnya juga perlu disuruh dan diingatkan.

Kali ini terus tersedak Wakeel dibuatnya. Okey, baik dia makan diam-diam sebelum dia mati tercekik dikerjakan ayat umi yang menjerut itu.

Tapi dalam diam, misi penting itu perlu juga dilaksanakan! Pasti!

Hari ini matanya tak lepas memandang skrin telefon. Tak aman kerjanya. Sekejap-sekejap, dia lirikkan mata ke skrin telefon yang gelap. Untuk menyedapkan hati, skrin telefonnya disentuh. Manalah tahu telefon pintarnya tiba-tiba tak berfungsi. Telefonnya itu kembali diletakkan ke meja apabila telah memastikan telefonnya masih berfungsi seperti biasa.

TIADA ARAH JODOH KITAWhere stories live. Discover now