Memang jelas, surau yang berdindingkan kaca menampakkan lampu chandelier utama yang bergemerlapan di samping penataan lampu dinding membuatkan keseluruhan surau itu sangat bersifat mengundang sesiapa yang melihatnya. Bahagian bumbung surau yang kelihatan melengkung dari jauh menampakkan seolah-olah ruang dalamnya luas seperti masjid. Dinding cermin surau itu diselang-selikan dengan pelekat cermin dekorasi di bahagian bawahnya sangat cantik dan rekabentuk dalaman surau yang mudah dengan rona hijau dan putih membuatkan sejuk mata memandang. Dan di bahagian tengah luar surau terdapat laluan berlantai yang berpagar dan almari kasut diperbuat daripada kayu.

"So, malam ni abah nak ajak Ika makan malam dalam taman." Suara Tan Sri Megat Hasyim mengejutkan Puteri yang sedang meneroka dengan pandangan matanya.

"Da-dalam taman?" Nada suara Puteri jelas terkejut. Dia yang tercegat dan teruja di tengah-tengah ruang legar dan simpang-siur manusia itu tersentak dengan perkataan abah. Makan malam dalam taman? Itu mengingatkan dia kepada peristiwa petang tadi dan...

"Ahh... rezeki kita rupanya malam ini, dapat jumpa pemilik tempat yang hebat ini," suara abah putus di situ. Tan Sri Megat Hasyim sedang terdongak memandang ke arah tangga membuatkan Puteri ikut memandang ke arah yang sama.

Dan nafasnya berhenti sebaik sahaja dia melihat siapa yang sedang berdiri segak di atas tangga, yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan seseorang!

"The lord of the house, Muhammad Nuqman! Abah ingat dia mungkin balik ziarah ibunya tapi dia di sini." Tan Sri Megat Hasyim tersenyum lebar memandang Puteri yang terkaku memandang suaminya.

Saat itu, Nuqman sedang bergegas turun ke aras bawah untuk menyambut Dr. Mustaffa yang datang sebaik sahaja mendengar berita kepulangannya. Di pertengahan tangga, dia terserempak dengan Amir Hamzah yang mahu ke bilik mesyuarat. Sangkanya mereka akan bertemu dalam video conference sekali lagi. Jadi memang dia terkejut sangat apabila bertemu Nuqman di situ. Sebaik saja Amir berlalu untuk ke bilik mesyuarat, Nuqman ternampak seorang gadis tercegat berdiri di tengah-tengah ruang legar The Turban dan sedang memandang ke arahnya. Dan gadis jelita yang memakai abaya hijau zamrud dan bertudung ayu berwarna senada itu adalah... isterinya!

Puteri Zulaikha!

Bagaikan mimpi melihat Puteri di situ. Puteri yang mengisi ruang hati dan mindanya sejak petang tadi, yang membuatkan dia tidak keruan kerana meninggalkannya dalam persoalan. Dan kejelitaan Puteri Zulaikha menyerlah sungguh malam itu, tambah pula bila disimbahi cahaya chandelier yang tergantung di tengah ruang. Abaya yang dipilih Nuqman ketika mereka membeli-belah di Grand Bazaar, Istanbul, menyerlahkan keangunannya.

Langkah Nuqman yang menuruni anak tangga satu demi satu dengan begitu perlahan amat mendebarkan jantungnya. Nafas mula dapat dihirup kembali setelah terhenti beberapa ketika. Dibaluti thawb atau jubah dan berserban serba putih serlah, ketampanan Nuqman menyerlah. Karismanya tersendiri. Gerak gayanya santun berbudi. Melihatkan jernih wajahnya, luhur senyumannya, marah dan curiga yang bersarang di hati Puteri terbang berserpihan. Betapa saat itu, dia ingin berlari ke pangkuan lelaki itu. Ya, lelaki itu miliknya! Suaminya!

"Assalamualaikum!"

Nuqman tersentak lalu berpaling ke arah suara yang memberi salam. Dr. Ashraf yang baru tiba bersama isterinya Dr. Maisarah, tersenyum lebar melihat Nuqman. Mereka bersalaman dan berpelukan, kemudian saling bertanya khabar. Namun pandangan Nuqman bagai ditarik besi berani, mencari kelibat Puteri. Atau apakah dia sebenarnya terbayang-bayangkan...

"Assalamualaikum," Tan Sri Megat Hasyim menegur penuh mesra. Dr. Ashraf yang sememangnya mengenali Tan Sri Megat Hasyim pantas menjawab dan turut bersalam dan berpelukan. Puteri jadi kaget melihat suasana begitu, bagaikan orang Arab lagak mereka. Dia yang masih terpaku berdiri merasa sangat terasing dan serba-salah. Kenapalah dia berada di sini malam ini! Abaaah!

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now