Tetapi hari ini dia tidak pasti hati siapa yang akan koyak-rabak dan hancur-lumat. Yang pasti, Nuqman bukan lelaki yang mendewakan wanita. Jiwanya lain dari yang lain. Dan jiwa itu pastinya tidak akan mampu dihancur-lumatkan kerana dia jenis yang pasrah dan redha dan akan terus bergantung dengan Tuhannya.

Dan aku? Apakah aku akan rasa puas dan gembira? Mampukah aku menari selepas aku melukakannya? Sedangkan saat ini, aku dah gelisah separuh nyawa walaupun baru hendak berpisah! Persoalannya petang tadi sudah cukup menyentak diri. 'Don't you want me to be a hero?' Aku tiba-tiba tidak sanggup kehilangannya!

Baju tidur yang dibeli Nuqman harum selepas didobi. Baju itu diraih ke dada, dipeluk erat seolah-olah mahu mengubati rasa pedih dan sedih di dalam. Bagaimana hidup aku nanti setelah meninggalkan Istanbul... dan Nuqman?

Bagasinya sudah siap diletakkan di pintu. Puteri memandang sekeliling. Meja makan, sofa di ruang tamu dan balkoni itu merakamkan memori indah bersama Nuqman. Terutama di balkoni. Saat pertama kali dia benar-benar disentuh Nuqman. Seluruh tubuhnya terasa hangat dengan hanya mengingati saat itu.

Puteri menapak perlahan ke balkoni. Matahari semakin berlabuh. Cahayanya jingga kemerahan membias dalam riak gelombang Selat Bosphorus. Angin masih dingin cuma tidak sedingin waktu awal dia menjejakkan kaki ke Istanbul hanya beberapa hari yang lalu. Di sini dia menari. Dan di sini... dia jatuh dalam pelukan Nuqman. Like home.... Ya, bersama Nuqman selalu membuat dia terasa seperti sangat selesa. Walaupun saat bersamanya juga dia selalu teruji, hatinya mudah tersentuh dan jiwanya mudah bergetar. Tapi semua itulah yang membuatkan Puteri rasa kehilangan bila tidak lagi bersamanya seperti saat ini, dia hanya bersendirian di balkoni ini. Tanpa Nuqman, Selat Bosphorus seperti kelam menanti malam.

'Ika pasti ke yang Ika boleh hidup tanpa lelaki? Sunyi tak berteman? Boleh uruskan hidup Ika dengan tak tersalah langkah?' Kata-kata Nuqman kembali berputar dalam kotak fikirannya. Sunyi? Sunyi itu sudah menjadi sebahagian dari diriku, Nuqman, bisik hati kecil Puteri.

Kehilangan seorang ibu yang lembut dan penyayang sudah cukup mencampakkan diri Puteri Zulaikha ke lembah sunyi. Tak tahu kepada siapa dia hendak mengadu, dia cuba meraih perhatian abah yang selama ini terlalu sibuk dengan kerjayanya. Sangkanya abah akan mengambil tempat ibu, menyayanginya sepenuh hati. Tapi sayang, setiap kali memandang wajahnya, abah jadi sedih dan mengurung diri. Kerana wajah ibu persis wajahnya. Tinggal dia terkapai-kapai dengan juraian airmata di luar pintu bilik bacaan abah yang terkunci dari dalam.

Ketiga-tiga orang abangnya dihantar ke sekolah berasrama penuh. Jarak umur di antara mereka secara tidak langsung turut menjarakkan hubungan. Mereka sudah matang berdikari. Hanya Puteri yang masih terpinga-pinga, saban hari semakin sedih semakin sunyi. Hanya ada anak-anak patung yang kaku tak bernyawa mendengar rengekannya yang rindukan ibu saban waktu. Hanya ada simpati orang gaji mereka, Makcik Nor yang tak punya masa kerana sibuk menguruskan rumah itu seorang diri tanpa ibu. Puteri sampai lupa bagaimana hendak ketawa sehinggalah mummy datang menghiburkannya. Sejak itu dia kerap keluar bersama mummy. Kadang-kadang tinggal dengan mummy.

Tapi dunia mummy juga penuh dengan kesedihan. Di pejabat mummy, orang perempuan selalu datang menangis. Mummy dan kawan-kawannya setia mendengar dan menolong. Puteri juga ikut mendengar. Sejak itu, hidup Puteri bagaikan sentiasa suram. Tidak pernah berseri lagi seperti waktu ibu masih hidup. Sampailah waktunya Puteri menginjak dewasa, dia cuba untuk memberi ruang dalam hidupnya seperti gadis lain – untuk mencintai dan dicintai seorang yang bernama lelaki. Sayang seribu kali sayang, hidup Puteri bukan lagi suram. Cahaya pelangi yang datang rupanya tipuan semata-mata hinggakan pelangi itu bertukar menjadi malam yang panjang, pekat tidak berbintang. Puteri semakin sunyi dan tenggelam.

Entah bagaimana, akhirnya dia dapat bangun dari mimpi buruk yang panjang. Dia bebaskan diri yang terbelengu dengan harapan yang tak sudah. Pengalaman bersama dengan perjuangan mummy dan apa yang diharungi oleh diri sendiri membuatkan dia tekad untuk hidup sendiri. Tidak akan pernah mengharapkan sesiapa lagi. Dan kesunyian itu sudah menjadi dunianya. Jadi apa yang hendak dihairankan lagi, Nuqman?

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now