"MasyaAllah, dahsyatnya!"

"Itu ceritanya. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui."

Mereka menyusuri semula lorong dan jalan yang sempit, berliku dan berbukit itu tanpa sepatah kata. Banyak sungguh yang berputar di minda dan bergelodak di hati. Nuqman mengajak Puteri singgah di antara kedai-kedai cenderahati yang berderetan. Dengan separuh hati, Puteri melihat-lihat juga apa yang dipamerkan untuk dibawa pulang. Namun sungguh, hatinya teramat berat untuk pulang!

Nuqman sekadar memerhati dari jauh dan sibuk dengan telefon bimbitnya. Dia juga membuat beberapa panggilan dan bercakap agak lama di talian. Dia sengaja berada di kedudukan yang agak jauh dari Puteri supaya perbualannya tidak didengari. Lagilah bergelodak hati Puteri dibuatnya. Hanya beberapa jam lagi mereka akan berpisah. Nuqman sudah mula sibuk dan macam tidak sudi melayannya lagi? Hati Puteri mendongkol. Entah apa yang dibeleknya dan diperhatikan, dia sendiri tidak tahu. Hati dan perasaannya tiba-tiba kabur. Kabur dengan emosi yang bercampur aduk.

"Cantik tu, kenapa tak nak?" Suara Nuqman mengejutkannya di saat dia meletakkan semula replika menara Galata dalam bekas kaca di tempatnya. Puteri menelan liur. Tiba-tiba muncul! Tadi sibuk sangat..., hati Puteri membentak marah. Kenapa dalam sekejap saja rasa terasing dengan Nuqman buat dia marah dan gelisah? Macammana bila sudah berpisah selamanya nanti?

"Belilah untuk abah, along, angah dengan achik, saya belanja," Nuqman memujuk bila dia tersedar, wajah Puteri seperti orang makan jeruk yang masam.

"Isyhh... saya boleh beli sendirilah!" Tukas Puteri, menjeling dan menonong pergi ke bahagian lain. Ah! Sudah! Kenapa pula ni? Hati Nuqman tertanya-tanya.

Puteri mencapai beberapa cenderahati yang ada sekitar tempat dia berdiri. Gadis penjual yang cuba mempromosi barang-barang cenderahati di kedai itu tidak dipedulikannya walaupun bukan main mesra dan petah dia berbahasa Inggeris. Tidak ramai penjual dan peniaga yang fasih berbahasa Inggeris di Istanbul.

Nuqman segera menuju ke kaunter dan mengeluarkan kad kredit sambil menunjuk ke arah Puteri yang sedang menuju ke kaunter. Tersenyum senang gadis di kaunter menyambut Puteri yang sudah kehilangan senyumannya.

Puteri terus membisu sepanjang perjalanan pulang ke Sultanahmet. Jambatan Galata yang bertingkat dengan rekabentuk menarik itu sudah tidak lagi menarik minatnya. Pemancing yang berderetan itu sudah tidak mahu diperhatikan lagi. Simpang siur kereta dan tram di atas jambatan besar itu tidak mahu dipandang lagi. Dia sedang sibuk, sibuk mengusir rasa sedih, sebak dan gelisah yang bergelodak dalam hatinya. Dia sedang sibuk meyakinkan dirinya yang dia harus pulang. Pulang meninggalkan Istanbul... dan Nuqman, untuk selamanya. Dan dia akan kembali tenang dalam kehidupannya tanpa gangguan lagi! Tenang? Tenangkah dia nanti?

Nuqman memang suka meneroka. Namun dia tidak pasti samada dia suka meneroka alam wanita. Dia tidak yakin yang dia akan tahu apa yang dia terokai. Alam wanita selamanya kekal misteri baginya. Sukar sungguh untuk memahami hati dan perasaan wanita yang lebih cepat berubah dari kerdipan mata!

Puteri mula tersedar yang mereka tidak menuju ke Sultanahmet. Kalau tidak pulang ke pangsapuri, ke mana pula?

Kereta membelok ke kanan selepas menyeberangi Jambatan Galata, memecut laju di jalan raya. Tidak lama kemudian, Nuqman memperlahankan pacuannya. Dia asyik menoleh ke kiri jalan raya itu. Puteri ikut memandang sama. Sepanjang jalan itu, ramai sungguh orang yang menumpang teduh dengan keluarga masing-masing di kaki lima jalan di bawah deretan pepohon tinggi. Mereka kelihatan seperti gelandangan, dengan barang dan beg pakaian, juga pakaian di gantung dan dijemur di tali yang diikat di pagar jalan dan di pokok-pokok. Wajah mereka begitu asing... begitu tidak berdaya. Wajah-wajah yang kehilangan...

MAKNA PADA RASAजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें