MENCARI HILANG...

2.2K 78 19
                                    

PROLOG 1

Matanya terpaku lama pada meja yang kosong. Wajah yang dicari, tidak menyapa pandangannya sejak pagi. Senyum yang sering terukir nipis tiap kali berpandangan juga tiada bertandang untuk meleburkan rindu yang sering mengasak hati.

"Dia cuti,"

Dia menoleh. Melarik senyum sebaik sahaja bersua pandang dengan teman sekerja yang sejak dulu nakal mengusiknya.

"Cuti kenapa?,"

"Bertunang,"

Senyumnya beransur hilang.

"Gurau?,"

Gadis di hadapannya menggeleng. Membuat jantungnya berdetak laju. Ini bukan berita yang dia mahu dengar.

"Kenapa tiba-tiba? Kau cakap dia belum ada sesiapa,"

"Salah kau. Dah lama aku suruh kau berterus-terang. Dia suka kau. Tapi, kau asyik tak cukup keberanian. Sekarang, melepas,"

"Dia bertunang dengan siapa?,"

Soalannya dibalas dengan satu gelengan.

"Pilihan keluarga. Itu saja yang dia beritahu aku,"

Perlahan dia bersandar ke kerusi. Mencari keselesaa. Tujuh tahun dahulu, dia terduduk mendapat perkhabaran gadis kesayangannya bertunang dengan pilihan keluarga. Ternyata, selepas tujuh tahun itu berlalu, hatinya masih teguh mengukir nama itu. Dia tinggalkan kecewanya demi membina hidup baru. Dia memilih untuk pergi jauh dari Farisha demi merawat sekeping hatinya yang remuk teruk. Bukan sedikit kecewa yang mendera rasanya apabila segala bahasa cintanya seakan tidak difahami. Tetapi, bak kata temannya, dia yang bersalah. Dia yang terlalu lambat memulakan langkah. Sampai ke bumi asing ini dia cuba mencari titik untuk memulakan kisah hidupnya, namun nama Farisha tetap tidak mahu meninggalkan hatinya.

"Assalamualaikum,"

Dia mengangkat muka. Melarik senyum melihat susuk yang tercegat di hadapannya. Itulah perantara yang mendekatkan dia dengan cinta hatinya. Yang menceritakan segala kisah perjalanan hidup Farisha..

"Waalaikumussalam,"salam dijawab perlahan sambil membetulkan duduk.

Tanpa dipelawa, wanita di hadapannya itu melabuhkan punggung.

"So, bila kau balik Malaysia?,"

"Minggu depan. Insyaa ALLAH,"

"Ada yang menanti ke kat sana?,"

Dia tersenyum hambar sambil menggeleng perlahan. Pengajiannya .di sini sudah tamat. Bermakna tempoh untuk dia cuba lari daripada perasaan sendiri juga sudah tamat. Tempoh untuk cuba mencari bahagia untuk dirinya juga tamat. Bukan senang mencari pengganti Farisha. Tidak mudah juga untuk padamkan sebaris nama itu.

"Tapi, bagus juga kau balik Malaysia. Mungkin apabila nasihat-nasihat kau tu, kau berikan secara terus kepada dia, dia akan kembali 'hidup'. Kau akan cari dia kan?,"

Mendengar soalan itu, dia cuma melarik senyum. Kalau pun dia terus mencari, akan adakah peluang untuknya?

"Dengan semua yang dah aku lalui, jalan hidup ini... aku lebih suka serahkan kepada takdir. Biarlah takdir yang tentukan ke mana aku nanti,"akhirnya dia memberi jawapan yang pastinya sangat pesimis untuk menyapa telinga temannya itu.

MENCARI HILANG...Where stories live. Discover now