"Memang pun. Atuk ni naik risau tau fikirkan Lily. Dengan luka bengkak semua ni."

Lily tersenyum tawar. Dia tak mahu masalah itu dipanjangkan. Lily mahu lupakan semua dan rancang hidup yang baru.

Alamak, baru Lily teringat sapu tangan dan baju sejuk yang dipakainya milik abang bomba belum dipulangkan. Lily lantas berlari ke pagar.

Nampaknya Jeep abang bomba itu dah tiada. Lily melepas keluhan. Hampa. Sapu tangan dan baju sejuk abang itu disentuhnya. Wanginya haruman milik lelaki itu. Baru pegang dah mengalir rasa sayang dalam saluran darah Lily. Hesy, apa ni?

HAJI MUSTAFA menggeleng kepala berkali-kali tanda kesal atas segala yang berlaku setelah Lily menceritakan segala-galanya. Tak sangka, seteruk ini yang Lily lalu hari ini. Bukan calang-calang masalah. Silap hari bulan tanpa iman, boleh bunuh diri jawabnya. Tertekan yang amat.

Haji Mustafa beristighfar. Dia pula rasa nak marah.

"Atuk, atuk dah janji tak akan marah. Atuk dah janji tak akan perbesarkan hal ni kan? Lily terima aje semua ni dengan sabar. Lily pun, tak sangka nak jadi macam ni. Atuk selalu berpesan kan, sabar tu memang payah, tapi besar ganjarannya. Ahli syurga pun, dari kalangan mereka yang penyabar. Lily yakin Allah bersama Lily sebab Lily tak salah.

Atuk, atuk jangan marah ibu abah. Tolonglah," Lily merayu penuh simpati. Haji Mustafa kesal akan sikap anaknya, Khalid. Tak reti nak bertolak ansur. Macamlah anak tu ada sepuluh. Karang lari sorang, meranalah sampai ke tua. Sombong dan berlagak tak tentu hala. Sungguhpun cucunya gagal, kenapa menghukum sehingga begini sekali? Kejam sungguh.

"Apa yang mereka buat pada Lily tak patut tau? Kalau report polis ni dah jadi kes dera. Tu, luka kat bibir, lebam kat pipi, memanglah nampak. Luka kat dalam tu? Macam mana? Kalau tak, tak adalah sampai Ulu Kenas Lily sampai. Mujurlah tak jadi apa-apa pada Lily. Nauzubillahiminzalik!" Haji Mustafa memegang dadanya untuk reda marahnya sendiri.

"Atuk, janganlah emosi macam ni. Nanti ganggu kesihatan atuk. Atuk dah janji kan kalau Lily cerita, atuk akan tenang? Tak apa, Lily okey. Lily terima semua ni dengan sabar. Lagipun, abang bomba tadi banyak bagi nasihat kat Lily." Lily tunduk, sembunyikan kesedihan sekejap.

Haji Mustafa melepas keluhan.

"Lily ni ada hati yang baik tu datang dari mana?" Haji Mustafa berseloroh lalu mengelus rambut cucunya yang berhati waja dan tulus itu.

"Mestilah dari atuknya. Hehehe."

"Hahaha, dah agak. Mesti ikut atuk ni. Hurm, tak apalah. Lily jangan fikir dah apa yang jadi hari ni. Move on! Atuk akan cuba nasihatkan ibu dan abah. Mereka ni terlalu perfectionist dan tak boleh terima kegagalan. Asyik sibuk aje suruh anak-anak kejar dunia sampai terabai akhirat. Jangan kata abaikan anak-anak, atuk yang tinggal dekat ni pun tak dijenguknya kalau atuk sendiri tak menjenguk. Mujurlah cucu atuk ni baik, selalu melawat atuk..." Haji Mustafa menggelengkan kepalanya kesal. Tak tenteram hati tuanya dek masalah anak-anak dan cucu-cucu.

"Kan, kan? Cucunya baik. Cucu siapa tu atuk?" Lily bergurau mengundang ketawa.

"Hahaha, cucu Haji Mustafalah, siapa lagi? Hurm, tak apalah Lily, kalau abah suruh tinggal dengan atuk, Lily tinggal ajelah kat sini. Nanti kita sama-sama fikirkan hala tuju Lily lepas ni. Atuk tak mahu Lily berhenti sekerat jalan. Lily boleh ambil semula SPM atau Lily naik ke tingkatan 6."

"Hurm, Lily ikut aje. Mana yang baik." Lily teringat pula abang bomba kala terbau haruman perfume dari sweater abang bomba itu. Tanpa sedar, Lily mencium sweater itu.

"Rayqal yang hantar Lily balik tadi, bukan sembarangan orang." Bagai tahu apa yang Lily fikir atuk menerjah.

"Yalah. Bomba, kan?" Terkapar-kapar ingin tahu tapi sengaja meneka.

"Dia superhero. Tak terlawan tau superhero kat TV tu tak kiralah Ultraman ke, BoboiBoy ke?"

Lily tergelak.

"Hahaha, luculah atuk ni. Abang bomba memang superhero milik masyarakat. Dia sentiasa muncul dalam situasi kecemasan sebaik saja dipanggil! Kadang-kadang tak perlu panggil dia akan datang menyelamat," puji Lily kembang hati dapat mengenali abang bomba.

"Kalau bagi Lily pula?"

Lily tersenyum.

"Dia juga hero dalam hidup Lily. Dah berkali-kali dia selamatkan nyawa Lily. Tadi pun dia muncul saat Lily hilang harapan. Dia bagi semangat untuk Lily. Dia seorang yang susah Lily nak letakkan dirinya di tahap mana sebab dia sangat berharga," ujar Lily penuh perasaan. Haji Mustafa mengangguk faham. Dia tahu Lily menganggap Rayqal itu begitu istimewa.

"Tapi percayalah, bukan untuk semalam dan hari ini saja. Bukan untuk sekali dua saja. Dia akan menjadi hero Lily buat selama-lamanya." Terlopong mulut Lily mendengar telahah atuknya itu. Pergh, sampai ke situ Haji Mustafa mentafsir makna kehadiran abang bomba dalam hidup Lily.

"Tutup mulut tu, bau durian."

Pantas Lily menutup mulut kemudian dia tergelak. Bila masa dia makan durian? Saja aje atuknya ni.

"Hahaha, atuk ni..."

"Atuk janji akan jaga Lily baik-baik dari orang yang dah lama nak tengok Lily jatuh." Haji Mustafa tahu segalanya. Dia tak akan biar sekali lagi masa depan Lily dirosakkan. Lily akan selamat di sini.

"Siapa nak tengok Lily jatuh?" soal Lily, hairan. Setahu dia, dia tiada musuh.

"Ada. Orangnya macam ular. Licin disentuh tapi racunnya bisa membunuh. Satu hari nanti Lily akan tahu siapa orangnya. Tapi bukan untuk masa sekarang."

Berkerut dahi Lily memikirkan.

"Atuk ni suspensnya."

Haji Mustafa tergelak.

Abang Bomba, I Love youWhere stories live. Discover now