Bab 8

9.2K 150 2
                                    

DALAM perjalanan pulang ke rumah Haji Mustafa, abang bomba singgah sekejap di farmasi untuk membelikan Lily ubat. Terharu Lily melihat sikap mengambil beratnya itu. Berbunga-bunga hatinya.

Masa yang ada digunakan Rayqal untuk memberikan kata-kata semangat pada Lily.

"Ingat pesan abang, jangan sesekali simpan dendam atau rasa benci pada ibu dan abah. Adik tak bersalah tapi Allah tahu. Serahkan segala-galanya pada Allah kalau adik teraniaya. Insya-Allah, akan ditunjukkan jalan yang benar."

Lily angguk patuh. Banyaknya kepakaran abang bomba ni, kan? Jadi tukang penasihat pun pandai. Segala masalah Lily jadi mudah bila jatuh ke tangannya.

"Baik, abang."

Mereka sampai di rumah atuk Lily. Kelihatan Haji Mustafa sedang mengaji al-Quran di pondok di hadapan rumah. Sebaik saja ternampak mereka, Haji Mustafa berhenti membaca lalu menghampiri mereka.

Lily turun dari Jeep kemudian bersalaman dengan Haji Mustafa. Dia tertanya-tanya dalam hati apabila melihat Lily dihantar pulang oleh seorang lelaki. Manakala Rayqal pula menurunkan basikal Lily.

Mahunya Haji Mustafa tak risau, baru tadi anaknya Khalid menghubunginya dan mengadu tentang Lily. Itu yang membuatkan dia fikir yang bukan-bukan. Betul ke Lily gagal SPM kerana rosak akhlaknya?

"Assalamualaikum." Rayqal memberikan salam. Haji Mustafa menjawab salam sambil menyambut tangan yang dihulurkan.

"Waalaikumussalam." Haji Mustafa nampak risau. Lebih-lebih tengok muka Lily yang lebam dan bibir yang bengkak berdarah.

"Atuk..."

"Eh, kenapa bengkak dan lebam ni? Takkan jatuh basikal?" telah Haji Mustafa.

"Errr... Panjang ceritanya, atuk."

"Jadi pendekkanlah, atuk risau ni. Yang anak ni siapa? Kenapa hantar cucu saya ni? Awak ni pakwe dia, ya?" soal Haji Mustafa bertalu-talu.

Lily dan abang bomba saling berpandangan. Pakwe pun boleh juga. Senang hati Lily mendengarnya tu.

"Bukan, pak cik. Macam ni ceritanya. Saya, Rayqal. Bomba yang melawat Lily hari tu kat hospital kalau pak cik ingat. Kebetulan aje ni saya jumpa cucu pak cik. Errr, macam ni ceritanya, pak cik. Sebenarnya saya jumpa dia di Ulu Kenas."

Haji Mustafa nampak terkejut.

"Apa? Ulu Kenas? Buat apa Lily ke sana? Jauh tu naik basikal?" tanya Haji Mustafa bertalu-talu.

Lily menggaru kepalanya. Dia tak mahu atuknya bertambah risau pula.

"Atuk, kan Lily cakap panjang ceritanya. Nanti Lily beritahu atuklah. Abang bomba ni tolong hantar Lily balik aje," cerita Lily lalu mendapatkan basikalnya dan meninggalkan Haji Mustafa dan abang bomba sebentar.

"Hurm, baiklah. Walaupun cerita tak habis tapi tak apalah. Lepas ni kita sambung. Rayqal masuklah dulu, minum, boleh kita cerita panjang," pelawa Haji Mustafa ramah.

"Errr... Maaflah, pak cik. Saya terpaksa balik. Sebab saya kerja malam ni." Rayqal menolak dengan baik.

"Ya ke? Oh, kalau macam tu tak apalah. Lain kali datang lagi."

"Baiklah, pak cik. Insya-Allah. Lily, abang balik dulu, ya? Jaga diri, ya? Ingat segala pesan abang tau."

Lily tersenyum tawar lalu angguk. Sah kena siasat kaw-kaw dengan atuknya sebentar lagi. Rayqal masuk ke dalam Jeepnya lalu beransur pulang. Sebuah lagi kenangan terindah tercipta antara dia dan abang bomba.

Haji Mustafa memandang tepat wajah cucunya. Dia mahukan penjelasan. Lily tersengih lalu memimpin tangan atuknya ke dalam rumah.

"Relakslah, atuk. Cool... Kejap lagi dari A sampai Z, A+, B- pun, Lily akan cerita. Awww!" Tiba-tiba tergigit pula bibir yang luka tu. Sakitnya.

Abang Bomba, I Love youWhere stories live. Discover now