Bab 2

2.4K 44 1
                                    

Bertemu lagi berbintangkan langit malam...

MALAM itu, Humaira ke Pusat Islam di kolejnya. Sengaja dia mencari ruang dan peluang untuk mendekatkan diri dengan rumah Allah tersebut. Dia akui dia bukanlah gadis yang baik tapi dia mahu berusaha menjadi gadis yang baik. Kadangkala dia cemburu melihat wajah tenang sahabatnya, Syuhada. Dia juga mahu menjadi gadis Muslimah seperti Syuhada.

Humaira melangkah laju menuju ke Pusat Islam yang terletak tidak jauh dari blok kediamannya. Dia hanya mengenakan jubah hitam dan disarungkan terus tudung ekspresnya. Senang dan simple.

Malam ini ada majlis ilmu di Pusat Islam dan dia tidak mahu melepaskan peluang untuk ke majlis ilmu tersebut. Kata orang, majlis ilmu itu sama seperti taman syurga. Majlis ilmu itu dihadiri ribuan malaikat yang akan turut mendoakan orang yang berada di dalam majlis tersebut.

"Assalamualaikum, Humaira," tegur Liyana usai sahaja dia melipat telekung.

"Waalaikumussalam, kak. Akak sihat?" tanya Humaira lantas ditariknya tubuh Liyana ke dalam dakapannya. Liyana, gadis yang tua setahun daripadanya. Dia mengenali Liyana melalui sahabatnya, Syuhada.

Selain Syuhada, Liyana jugalah yang sering menasihatinya ke arah kebaikan. Dia sedar dia bukanlah gadis yang baik. Dia punya sejarah hitamnya yang tersendiri. Latar belakang keluarganya juga bukanlah daripada mereka yang terlalu sempurna agamanya. Dia sudah tidak punya ayah yang akan menjadi ketua keluarga. Dia hanya mempunyai seorang ibu yang tabah melalui liku-liku kehidupan membesarkan dua orang puteri dan seorang putera.

"Alhamdulillah, akak sihat. Awak?" tanya Liyana prihatin, persis seorang kakak kandung. Dia mengusap perlahan kepala Humaira. Sungguh kasih sayangnya tumpah kepada gadis itu. Gadis yang punya semangat untuk berubah.

"Alhamdulillah. Humaira sihat, kak." Humaira menghadiahkan senyuman. Dia memandang lama wajah lembut di hadapannya itu. Alangkah indahnya jika dia mampu menjadi gadis sebaik Liyana. Dia hanya insan yang penuh dengan lumpur dosa. Layakkah dia mendapat pengampunan dan rahmat Allah?

"Akak, layak ke Humaira dapat keampunan Allah? Layak ke, kak?" Dalam sendu soalan itu yang terluah dari bibirnya.

Liyana hanya memandang wajah Humaira yang mula bergenang dengan air mata. Sungguh, dia jatuh sayang dengan gadis itu. Walaupun latar belakang hidupnya yang kurang pendidikan agama namun gadis itu tidak berputus asa untuk berubah. Liyana sedar gadis seperti Humaira seharusnya didekati, bukannya untuk dikeji. Semua orang berhak berubah.

"Humaira sayang. Keampunan Allah tu tersangatlah luas. Semua orang layak untuk mendapat keampunannya. Humaira ingat surah az-Zumar ayat 53?" soal Liyana tangannya menggenggam erat tangan Humaira.

"Katakanlah wahai Muhammad: Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Laju bicara Humaira membaca terjemahan surah itu. Surah yang selalu dititipkan oleh Syuhada saat dia berasa dirinya sudah berputus asa mengharap keampunan Allah.

"Pandai adik akak ni, sekarang jangan sedih-sedih. Allah tu Maha Pengampun." Liyana mengusap perlahan belakang Humaira.

"Haiii, kenapa sedih-sedih ni?" soal Syuhada yang tiba-tiba muncul dari belakang.

"Hah, tak ada apa-apalah." Humaira mengesat air mata yang mula mengalir. Beruntungnya dia punya sahabat seperti Syuhada dan Liyana.

"Betul ni? Dah, jom dengar kuliah. Hari ni penceramah best tau!" Ceria nada Syuhada, sangat bersemangat gadis yang seorang ni.

Hijrah Cinta, Kerana DiaWhere stories live. Discover now