Deretan meriam tersusun kemas di bawah rimbunan pepohon membakar semangat juang sesiapa yang melihat. Puteri tidak dapat menahan diri mula ber'selfie' dengan meriam-meriam di situ. Nuqman hanya tersenyum memandang. Kemudian Nuqman membawanya ke suatu sudut di mana fakta tentang Rumeli Hisari yang terpampang berdiri, sarat dengan sejarah terbinanya tugu itu.

"Ika boleh baca sebahagian dari fakta penting tentang Rumeli Hisari kat sini." Baca? Mata Puteri berputar. Panjang tu! Bisik hatinya. Dia tersenyum lalu mengarahkan lensa Camcodernya ke arah papan kenyataan itu, mencari sudut yang menyeluruh lalu merakamkannya untuk dibaca kemudian nanti.

"Dah baca!" Ujarnya sepatah. Nuqman tersengih. Kepalanya digelengkan. Kemudian kembali mendongak ke papan kenyataan itu. Dia tidak perlu membacanya. Rumeli Hisari sudah menjadi sebahagian dari dirinya.

"Sultan Muhamad Al Fateh selalu buat saya tersenyum dan bangga menjadi seorang Islam. Dia dan juga ramai lagi tokoh Islam yang lain dah buktikan, orang mukmin tu cerdiknya luar biasa. Masa dia dah dilantik jadi pemimpin tentera, dia tetap nak ayahanda dia ikut berperang. Dia berkata pada Sultan Murad, 'Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.' Akhinya, Sultan Murad dah tak ada alasan nak mengelak lagi." Nuqman ketawa kecil. Suaranya sarat dengan rasa kagum. Puteri yang mendengar ikut tersenyum. Bagaikan ada watak Al Fateh yang hidup dalam diri Nuqman.

Nuqman mengajak Puteri ke suatu sudut lain. Mereka berdiri di tepi benteng mengadap Selat Bosphorus. Angin dingin bertiup agak kuat di situ, amat menyenangkan.

"Nampak kat sana tu?" Nuqman menunjukkan jarinya ke arah daratan di seberang sana. Puteri patuh, menghimbau pandangan sejauh yang mungkin.

"Di situlah dulu letaknya kota Konstantinople. Jelas dari sini. Sultan Al Fateh memang cerdik sungguh, dia betul-betul kaji sejarah. Dah ramai pejuang Islam nak tembus Kota Konstantinople tapi gagal. Kebal sangat. Kota tu ada tembok tingginya dua puluh lima kaki, tebalnya empat lapis, di luar tembok ada parit air pulak. So, Sultan Al-Fateh bina tugu ni. Hanya ambik masa empat bulan. Dia sendiri buka serban dengan baju dia, ikut bina kubu ni. Kebanyakan ulama dan pemimpin malu nak ikut sekali buat kerja buruh. Tetapi Sultan Al Fateh berbeza. Hebatkan pemimpin Islam?" Puteri menelan liur, mengangguk. Betapa aku jahil tentang semua ini. Aku hanya seorang Islam kerana dilahirkan Islam, bisik hati kecil Puteri, malu dengan diri sendiri. Islam pun belum betul-betul kenal, apatah lagi pemimpin Islam?

"Depan tugu ni tepat di mana laluan paling sempit sepanjang Selat Bosphorus. Jadi Sultan Al-Fateh mengawal laluan kapal-kapal dengan posisi terbaik di sini. Dari sini jugak, dia melancarkan serangan, membedil kota Konstantinople dari tiga menara bertalu-talu sampai kota tu lemah dan akhirnya berjaya ditawan dengan macam-macam taktik peperangan hasil pimpinan Sultan Al-Fateh." Nuqman memandang jauh, menjiwai sejarah hebat itu. Dia menarik nafas perlahan-lahan. Semangatnya semakin berkobar setiap kali dia mengunjungi Rumeli Hisari. Dia mengalihkan pandangan kepada Puteri yang asyik merakam gambar dari sudut itu.

"Hebatkan hasil pimpinan sorang lelaki yang baru 21 tahun? Boleh bina tugu sehebat ni, runtuhkan kota kebal, mampu memimpin sebuah empayar Islam. Hanya orang yang betul-betul bertaqwa saja yang akan dibantu Allah sampai ke peringkat ni."

Lensa Camcoder Puteri terhenti. Lama dia termenung menjauh. Nuqman kehairanan dengan tingkah Puteri. Apa agaknya dalam fikirannya? Perlahan Puteri berpaling memandang tepat ke arah Nuqman.

"If only such a person exist today, mungkin kekejaman terhadap orang Islam yang sedang berlaku... takkan berlaku." Keluhnya, perlahan. Ada air yang tergenang dalam kelopak matanya. Nuqman terkedu. Penderitaan dari keganasan itu benar-benar meninggalkan kesan pada Puteri.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now