Bab 2

2.8K 37 0
                                    

PERASAAN Nina tiba-tiba sahaja dibuai rasa riang tatkala telinganya menangkap bunyi petikan piano yang membawakan lagu kegemarannya Ballade pour Adeline. Dia tercengang dan terpacak di pintu pagar agak lama. Itu adalah lagu kenangannya dengan Jefri. Selain daripada memandu kereta lumba, bermain piano juga merupakan hobi Jefri.

Kini Jefri sedang memainkan lagu yang sentiasa dimainkan untuknya suatu ketika dahulu. Jefri masih ingat? Hatinya melonjak gembira. Seakan-akan terpukau oleh suara alunan muzik yang begitu indah, yang pastinya dimainkan oleh Jefri demi mengingati kenangan indah mereka berdua.

Nina melangkah perlahan melewati barisan pohon-pohon orkid di halaman. Dia sepatutnya mengiringi Jefri dengan petikan gitar. Ia satu kombinasi yang baik.

Tetapi mimpinya berkecai sebaik sahaja mendengar suara tawa riang perempuan diikuti dengan bunyi tepukan tangan dari ruang tamu.

Suara piano pun mula menghilang. Hati Nina mulai dihambat resah. Dia meneruskan langkah dan sesaat kemudian matanya singgah pada Jefri dan teman wanitanya yang kelihatan begitu mesra. Senario yang cukup menyakitkan mata dan hati.

"Bravo! You sungguh hebat, Jeff! Janji, yang itu bukannya kali terakhir. You akan mainkan lagi untuk I!" rengek Nur Ayu.

Jefri diam lalu menyandar lesu pada meja piano. Tanpa senyuman Nina, dia rasa seperti tidak berdaya. Semanis mana pun senyuman gadis di hadapannya itu, dia bukannya Nina. Hanya Nina seorang sahaja yang dapat mengembalikan kebahagiaan ke dalam hidupnya.

"Janjilah!" pinta Nur Ayu lagi. Manja.

"Janji," balas Jefri akhirnya.

"By the way, apa nama lagu itu? So romantic."

"Ballade pour Adeline," balas Jefri perlahan.

Dia terkenangkan saat-saat manisnya bersama Nina. Segala-galanya sungguh indah tetapi itu sudah lama berlalu. Keadaan telah berubah. Nina sudah berubah. Baru dia sedar betapa dia merindui kehadiran Nina dalam hidupnya.

Malangnya walaupun sudah seminggu berlalu, mereka jarang bertemu. Perbualan mereka pula amat singkat, tegang dan ganjil. Tidak lagi semesra dan seakrab dahulu. Nina seperti sengaja menjauhkan diri.

Suasana di rumah itu tidak lagi sebahagia dahulu. Dia yang bersalah. Bersalah terhadap Nina serta ibu bapanya. Perkataan kesal telah pun beratus kali terlepas dari bibirnya. Dia telah berjanji akan memperbetulkan keadaan. Hubungannya dengan Nur Ayu seharusnya berakhir. Nina adalah miliknya. Sesungguhnya dia tidak boleh kehilangan Nina.

Nina mengatur langkah ke arah anak tangga menuju ke tingkat atas tanpa menghiraukan sesiapa pun, tidak Jefri dan tidak juga tetamu mereka itu. Nina terus berlalu begitu sahaja dengan wajah tegang. Marah? Jefri menghela nafas resah.

Dia akui kesilapannya kerana membenarkan Nur Ayu mengunjunginya di rumah itu. Tetapi keinginan gadis itu bukannya mudah untuk ditolak. Nur Ayu terlalu manja dan keras kepala. Anak kesayangan hartawan yang memiliki segala-galanya itu tidak pernah rela menghadapi kegagalan. Jefri sedar dirinya bagaikan sebuah piala yang harus dimiliki oleh gadis itu.

"Who's that?'' soal Nur Ayu dengan perasaan curiga.

Matanya mengekori langkah gemalai gadis jelita yang kini sedang memanjat anak-anak tangga. Hatinya tiba-tiba sahaja digigit rasa cemburu. Apatah lagi apabila mata Jefri tidak lepas-lepas dari merenung gadis itu.

"Nina," balas Jefri. Dia dapat merasakan bahang api kemarahan dan rasa cemburu yang meluap-luap daripada kedua-dua belah pihak. Hatinya tiba-tiba sahaja gembira. Dia masih ada harapan seandainya rasa cemburu masih ada di hati Nina.

Lamaran KeduaWhere stories live. Discover now