"Baiklah, saya berkemas kejap." Ikutkan sajalah kehendak Hairiz. Kesian juga dia. Lagipun, kalau itu mampu menggembirakan Hairiz, apa salahnya aku turutkan permintaannya. Bukan ramai pun lelaki dalam hidupku. Hanya dia seorang. Ya, dia seorang.

Aku turun pukul 7.30 pagi. Hairiz sudah sedia menunggu di ruang lobi. Nampak semangat betul dia. Wajahnya juga kelihatan sangat ceria. Dia ni tak tahu penat ke? Atau dia sengaja buat-buat ceria? Tidak mahu aku nampak apa-apa yang kurang menyenangkan pada wajah dia?

Aduhai Hairiz, kalau ya pun, tak perlu kut nak berpura-pura ceria semata-mata mahu pujuk aku ke Cameron Highlands.

"Selamat pagi sepupu saya yang cantik jelita..." Hairiz senyum-senyum.

"Dah mula la tu?" Aku jeling manja. Banyaklah cantik jelita.

"Saya cakap benda yang betul. Awaklah sepupu saya yang paling jelita."

"Nak bodeklah tu. Bukan saya tak tahu..."

Hairiz ketawa sedikit kuat. Benar-benar menampakkan keceriaannya.

"Tahu tak apa. Ingat senang ke nak bodek awak?" Dia angkat kedua-dua belah kening dan tersenyum lagi. Sebenarnya Hairiz ni seorang yang serius. Muka dia nampak sombong sangat. Tapi bila dia dengan aku, tak lekang senyumannya. Ini yang membuatkan perasaanku jadi lain macam.

"Apa pasal?" soal Hairiz.

Aku geleng.

"Cara awak pandang saya lain macam betul. Bergegar tulang rusuk saya."

Buat lawaklah pula.

"Tak boleh nak pandang pula ke?"

"Pandanglah sepuasnya. Siapa lagi nak pandang saya kalau bukan awak."

"Dah mula la. Ini yang saya malas nak cakap bukan-bukan dengan awak. Errr, serius ni nak naik Cameron?" Aku macam waswas nak pergi. Bukannya ada apa kat atas tu. Tapi dah dia nak makan aiskrim strawberry, terpaksalah ikut.

"Seriuslah. Ingat saya main-main?"

"Kalau mak lang tahu, habis kita."

"Ada saya kesah?"

Ada saya kesah tu sudah jadi tagline dia gamaknya. Suka sangat sebut perkataan tu.

"Awak jangan bimbang pasal semua tu. Apa-apa kita sarapan dulu." Hairiz mendahului menuju restoran hotel. Penginapan kami di hotel ini termasuk sarapan pagi sekali.

Hairiz memang tak nampak mengantuk langsung. Bahkan nampak cukup ceria. Walhal malam tadi entah pukul berapa baru dia tidur. Kesian pun ada tengok dia. Sebab aku, dia terpaksa hadap semua ini. Belum lagi masalah dengan keluarganya. Aku memang yakin, kes malam tadi pasti saja kecoh dan jadi bahan mulut semua kaum keluarga.

"Apa pasal? Mengantuk lagi?" Dia pula yang tanya aku.

"Sikit-sikit..."

"Okey, kalau macam tu saya pandu kereta. Awak sambung tidur dalam kereta."

"Tengok..." Aku hentikan langkah dan pandang muka Hairiz.

"Okey, okey. Hesy, itu pun nak ambil hati." Hairiz tolak badanku, ajak sambung melangkah.

Selepas bersarapan kami check out dan terus bertolak ke Cameron Highlands. Seperti yang dipersetujui, waktu pergi aku memandu dan Hairiz akan memandu masa balik nanti.

"Apa pasal? Kekok tengok perempuan pandu kereta dan awak rasa tak selesa? Jangan bimbang, saya akan jaga kereta awak baik-baik." Aku tersenyum. Melihatkan cara Hairiz yang tak duduk diam, aku tahu dia kurang selesa sebenarnya. Mungkin betul dia risaukan kereta dia. Honda CRV tu.

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now