Puteri sukar menjalinkan hubungan dengan lelaki. Tetapi bila dia sayang, dia teramat sayang. Maka bila dia terluka, luka itu terlalu dalam. Itulah Puteri sebenarnya.

'Dia tak ada ibu, Mar... dan dia juga tak datang lagi pada mama.' Kata-kata mama menerjah fikirannya. Ammar menekup muka dengan kedua telapak tangan. Penyesalan semakin menyesakkan hati dan fikirannya. "Habis? Apa kita nak buat? Kita tak boleh terus macam ni!"

Diam. Tiada jawapan. Soalan itu sudah bertahun tak punya jawapannya.

Malam itu Maliha gelisah. Wajah Ammar dan Taufiq bakal tunangnya bermain di mata silih berganti. Bila kali terakhir aku emel Puteri? Tiba-tiba dia rasa rindu. Rindu yang menyakitkan. Teddy bear yang sebesar dirinya dipeluk dan dia menangis semahu-mahunya. Itulah hadiah harijadinya yang terakhir dari Puteri. Pengganti dirinya, kata Puteri.

Akhirnya dia bangun menuju ke bilik air. Selesai berwuduk, dia solat sunat taubat dua rakaat. Tangisan tak dapat menyelesaikan masalah. Tapi mengadu kepada Allah adalah jalan terbaik. Kerana Dia Maha Mengetahui.

Tolonglah ya, Allah... Tolonglah hamba-Mu ini. Kembalikan sahabatku seperti dulu. Selamatkan dia dari rasa dendam dan benci. Anugerahkan dia hati yang lembut untuk memaafkan dan melupakan segala kesilapan aku dan abangku. Itulah doa yang masih belum jemu Maliha munajatkan kepada Illahi.

Hatinya makin tenang kini. Komputer riba dibuka. Maliha menyemak emel. Seperti selalu, emel yang ditunggu-tunggu tak juga kunjung tiba. Biar aku cuba lagi. Moga Tuhan lembutkan hatinya, bisik hati Maliha.

Lagipun majlis pertunangannya sudah dirancang. Ammar juga sudah pulang. Tetapi itu harus menjadi rahsia. Puteri tak boleh tahu tentang Ammar. Cuma Maliha sangat berharap, Puteri dapat bersamanya di hari bahagia itu nanti. Kata mama, eloklah sebelum semester ini berakhir.

Selesai menghantar emel yang entah dibaca entahkan tidak, Maliha menutup komputer riba dengan penuh harapan.

"Kau serius ke Liha dengan Taufiq tu?" Puteri bagaikan menjerit bila Maliha menerima sejambak bunga dari 'Mat Bouncer', gelaran Puteri untuk Taufiq. Sabar je lah! Pujuk hati Maliha setiap kali Puteri menyebut nama itu.

"Liha! Betul ke apa yang aku tengok ni? Ke aku mimpi? Tolong tampar aku, Liha! Atau aku dah demam?" Puteri berlakon mengalahkan dalam sinetron! Meroyan betul perempuan ni, getus hati Maliha sambil menahan ketawa. Kad yang diambil dari jambangan bunga itu ditelek Puteri berkali-kali. Tulisan tangan Taufiq jelas tercoret: Buat Insan Istimewa, Maliha Afiah Khaleef Abu Bakar.

"Sudahlah kau ni! Kecohlah! Tak payahlah nak bising. Nanti satu kolej tau. Tak de apa-apa lah! Takkan asyik kau je dapat bunga? Aku tak layak?" Maliha mengomel tak puas hati sambil merampas kad kecil itu dari tangan Puteri. Maliha yang baru sampai ke depan dewan kuliah itu untuk menjemput Puteri keluar memang terkejut bila tiba-tiba Taufiq datang memberinya bunga dan berlalu pergi. Entah dari mana Taufiq tahu yang dia akan datang ke situ. Mungkin Ammar yang beritahu.

"Amboi! Sombongnya dia! Kau memanglah layak sangat dapat bunga, cik Liha oiii! Tapi yang aku tak tahan, Mat Bouncer tu pandai main bunga-bunga rupanya!" Puteri berkerut kening sakan. Maliha mula angkat kaki lalu masuk ke dalam keretanya. Tak larat lagi nak mendengar Puteri menceceh.

"Alamak! Sorry! Sorry! Ala... sorrylah Liha! Kau ni pun, tak de angin, tak de ribut, tetiba dapat bunga dari Mat Bou... err... Taufiq! Taufiq! Haa... Terperanjatlah aku! Kau tak pernah pun cerita. Tak patut kau buat aku camni. Kecik hati aku tau!" Puteri kelam kabut nembolos diri ke dalam kereta bila melihat Maliha sudah angin.

Ahh... buat-buat merajuk pulak. Taktiklah tu! Getus hati Maliha. Namun hatinya yang sedang kembang bahagia, memang tak mampu nak marah-marah dengan sahabatnya itu. Kalau tidak, mahu diketukkan fail di atas dashboard itu ke kepala Puteri. Sengal!

Detik itulah juga kali pertama dia benar-benar yakin yang Taufiq juga menyimpan perasaan terhadapnya. Maklum, mereka mesra bersama sebab kerap keluar menemani abangnya dengan Puteri. Puteri memang tak mahu bertemu dengan Ammar tanpa Maliha kerana bimbang abahnya tahu tentang hubungan mereka. Puteri belum bersedia. Kebetulan, Ammar akan membawa Taufiq bersama supaya tak janggal jika mereka hanya bertiga.

Kelopak bunga-bunga itu yang masih disimpannya sudah lama kering dalam diarinya kini berjatuhan di riba bila diari itu dibuka semula. Setiap kali Maliha merindui saat-saat lalu, diari itu pasti menemaninya. Dan dia yakin, yakin sangat dengan kasih sayang luhur yang pernah terjalin.

Pandangan matanya menerawang ke almari kabinet berkaca di tepi dinding. Barang-barang hantaran untuk si jejaka sudah dihias cantik bakal menjadi balasan hantaran di hari pertunangan nanti. Memang kelam-kabut Maliha dibuatnya. Baru dua minggu lepas, Taufiq dengan berani datang seorang diri bertemu dengan mama dan papa tanpa pengetahuan Maliha. Kemudian dia mula membeli barang-barang hantaran termasuk cincin! Minggu lepas, dia menghantar sekeping gambar yang menunjukkan barang-barang hantaran itu sudah siap digubah oleh tangannya sendiri! Bersama dengan pesanan ringkas, 'Saya akan datang merisik bersama keluarga. Kalau awak sudi terima saya, ini semua saya bawa untuk hantaran pertunangan. Kalau tak terima, semua ini jadi hadiah. Rumah awak jauh jadi saya tak larat nak datang banyak kali.'

Apalagi, kecohlah Maliha dengan mama buat persiapan. Jenuh dia zoom gambar sekeping itu untuk melihat apa hadiah yang akan Taufiq bawa tapi tak jelas sebab sudah berhias cantik. Gubah? Maliha terkial-kial menggubah hantaran dengan mama! Habis segala majalah diterokai. Hendak ditempah, malu dengan Taufiq yang menggubah dengan tangan sendiri. Kalau pasangan lain, beli barang sama-sama. Tetapi bagi Taufiq, semua itu lebih berharga bila jadi kejutan. Itulah istimewanya Taufiq. Segalanya tentang Taufiq di luar jangkaan. Malah 'bouncer' yang kelihatan seperti body builder itu mengambil jurusan kulinari! Sampai dari 'Mat Bouncer', Puteri tukar kepada 'Mama bouncer'!

Dia juga tidak seperti lelaki lain yang suka keluar berdua-duaan. Sejak Ammar putuskan hubungan dengan Puteri, Taufiq juga membuat haluan sendiri. Namun Maliha dan Taufiq akhirnya sering berhubung kerana risaukan Puteri. Dia yang belajar di UiTM Shah Alam bersama Ammar dan Puteri menjadi mata Maliha untuk memerhatikan keadaan Puteri dari jauh.

Sejak itu, Taufiq menjadi tempat Maliha meluahkan rasa sedih bila dia sudah tak tertanggung. Hanya di whatsapp mereka bertemu sehingga kini. Manalah Maliha dapat mengagak bahawa Taufiq benar-benar serius mahu memperisterikannya walaupun dia tahu Taufiq memang sayangkannya.

Sambil mengerling ke arah kalendar, Maliha mula berdebar-debar. Tarikh yang dijanjikan Taufiq hampir tiba. Mama juga sejak petang tadi mula sibuk berbincang dengan papa tentang khidmat katering dan sebagainya. Atas permintaan Maliha, dia mahu majlis yang serba ringkas. Tambahan pula, waktu itu Ammar belum pasti pulang. Sekarang, patutkah dia memberitahu Ammar tentang Taufiq yang merancang untuk datang hujung minggu ini? Atau biarkan ia menjadi kejutan?

Pastinya ia menjadi kejutan paling indah kalau Puteri dapat hadir bersama. Segera dia menghantar pesanan kepada Taufiq memberitahu secara ringkas yang Ammar sudah pulang dan dia mahu bakal tunangannya menjadi kejutan buat Ammar.

Tanpa menunggu balasan, Maliha merebahkan badan.Bibirnya tersenyum. Memang Taufiq berbeza. Dia jarang segera membalas pesanan.Kali terakhir mereka berbalas pesanan pun seminggu yang lepas. Ya Allah,makbulkanlah doaku ini. Hadirkanlah Puteri di hari bahagiaku nanti, pintaMaliha lagi sebelum dia terlelap sambil mendakap 'Puteri Beruang'kesayangannya.     

MAKNA PADA RASAUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum