"Liha yang kena mintak maaf... Liha tak patut buat abang macam tu. Liha mintak maaf..." Suaranya serak dengan sedu sedan. Matanya merayu sayu. Ammar tak tertahan lagi. Wajah itu dipeluk kembali seerat mungkin.

"Liha tak salah, sayang. Abang yang salah. Tuhan dah hukum abang atas kesalahan abang. Abang insaf, Liha..." Bisik Ammar di ubun-ubun adiknya. Tuhan, kalaulah waktu dapat Kau putarkan untukku! Takkan kusakiti hati-hati insan yang ku sayang.

Mereka turun ke ruang tamu untuk bersama mama dan papa. Bersatu kembali selepas hampir tiga tahun serba tak ketahuan. Selama itulah hubungan mereka pincang tak berirama seperti selalu. Perit rasanya melalui episod itu.

Ruang tamu muram dan suram. Nek Kiah yang baru sahaja selesai menghidang juadah petang, berdiri di kaki tangga menyambut Ammar dan Maliha yang menuruni anak tangga.

"Assalamualaikum, Ammar! Apa khabar?" Nek Kiah memandang penuh rindu. Kedua tangannya menatang seperti selalu, menunggu untuk menyambut anak muda itu.

"Waalaikummussalam Nek Kiah! Rindunya... tadi Ammar masuk, tak nampak Nek Kiah. Kat mana tadi?" Tangan tua itu disambut dan dikucup bertalu-talu. Ammar rasa seronok sungguh bertemu dengannya yang selama ini menjaga dan mengasuh dia dan Maliha sejak mereka kecil lagi. Kasih sayang Nek Kiah lebih dari nenek sendiri. Maklum, segala-gala tentang Ammar dan Maliha, Nek Kiahlah yang menguruskannya, membantu mama dan papa. Walau pun kini dia sudah tidak punya kudrat lagi tetapi masih mahu berbakti pada keluarga itu yang sudah seperti keluarganya sendiri. Sudah acap kali adik-adiknya mahu mengambil dia pulang namun Nek Kiah tidak betah berpisah dengan keluarga Tan Sri Khaleef. Kini dia terus tinggal bersama mereka menemani mama sementara kerja-kerja rumah dibantu oleh seorang pembantu rumah yang baru.

"Nek Kiah tidur tadi. Rasa penat sikit."

"Nek Kiah sihat tak ni?"

"Eh! Tak ada apa-apalah. Nek Kiah sihat-sihat je. Kenapa Ammar balik terkejut-terkejut macam ni? Tak sempat Nek Kiah nak masakkan apa-apa! Kelam-kabut Nek Kiah bila mama kau kejutkan tadi, bagitau Ammar dah balik..." Ammar ketawa lepas. Nek Kiah sudah penat-penat pun masih hendak masak-masak untuknya.

"Sebab tulah Ammar tak nak bagitau. Nanti penat Nek Kiah masak daging dendeng lah, sotolah... Ammar dah tau dah..." Dalam tawa, pipi tua itu diusap-usap penuh kasih.

"Haa... ada hadiah istimewa untuk Nek Kiah tau!" Cepat-cepat Ammar memimpin Nek Kiah lalu didudukkan di sofa di ruang tamu. Kemudian dia mengambil sesuatu dari beg troli yang mengandungi semua hadiah-hadiah yang dibelikan untuk keluarganya. Sehelai jubah dari Dubai yang baru dibelinya semalam diserahkan ke pangkuan Nek Kiah.

"Ya Allah... cantiknya, Mar!" Berkerut-kerut muka Nek Kiah gembira bercampur terharu.

"Wah! Nek... cantiknya! Nampak muda sepuluh tahun, Nek!" Seru Maliha sambil meletakkan jubah itu di bahu Nek Kiah. Mereka ketawa mengusik. Tersenyum-senyum Nek Kiah dibuatnya.

"Kau ni, Liha! Jangan merepek boleh tak? Jubah ni yang cantik. Nek Kiah dah tua tetap dah tua!" Marah Nek Kiah dalam bergurau. Malu dan terharu.

"And this is yours, sayang!" Tiba-tiba sehelai jubah lagi ditayangkan di hadapan Maliha. Dibeli di Dubai juga.

"My! Oh My! Abang nak Liha jadi 'datin' sebelum waktu, ya? Nek Kiah... Liha jadi sepuluh tahun lebih tua dengan jubah ni!" Pecah derai tawa mereka. Jubah serba hitam yang sarat dengan hiasan manik di leher dan pergelangan tangan itu diletakkan di bahu dan digayakan dengan jalan gaya mak datin. Tak sesuai untuk catwalk gitu!

"Abang beli ni, untuk Liha pakai bila kita ke Mekah nanti..." Ammar yang berpeluk tubuh tersenyum memerhatikan gelagat adiknya. Sepasang mata Maliha terbeliak mendengar kata-katanya.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now