"Baru saya faham sekarang. Eh, bukan faham. Saya dah faham tapi sekarang baru saya rasa..." Puteri menjeling sekilas. Apalagilah dengan lelaki ni? Buat orang cemas je, desis hati Puteri.

"Kita bayangkan, kalau dapat duduk dalam syurga yang ada segalanya, mesti kita bahagia, kan? Tapi seorang Nabi pun tak mampu nak tahan diri dia dari rasa tak sempurna bila tak berteman. Allah yang menciptakan kita, Dia Maha Bijak, Maha Mengetahui. Sebab itulah Dia jadikan makhluk-Nya berpasangan. So, baru saya faham kenapa sahlep tiba-tiba rasa sedap dan kenapa Istanbul nampak menakjubkan hari ni." Nuqman tersenyum manis memandang tepat ke wajah Puteri. Anak matanya turut tersenyum. Hati Puteri hebat bergetar dan mula mencair tapi dalam tertanya-tanya. Sebab aku?

"And I have to thank you for that...," nadanya bertukar serius. Telapak tangannya menyentuh tangan Puteri di meja namun pandangannya tak berubah. Dan ibu jarinya lembut mengusap. Hangat. Bagaikan besi berani, pandangan Puteri terpaku di situ. Dan terasa bagai hatinya diusap sama. Yes! Sebab aku!

"Hmm... macammana dengan Hagia Sophia? Means something to you?" Bagaikan ada senyuman dalam nada suaranya! Tangan itu berlalu pergi. Dingin kembali menyentuh kulitnya. Rasa kecewa datang sekilas. Puteri cepat menyentak diri sendiri. Fokus! Lelaki ini boleh buat orang haru-biru dengan topik dan persoalannya!

"Err... I'm... hmm... yeah... speechless..." Puteri terburu-buru menarik nafas. Ishh... boleh berhenti pandang aku tak?

"Hmmm... speechless? Hebat penangan Hagia Sophia...," dahinya berkerut dan sepasang matanya mencerun mencari sesuatu. Puteri semakin gelabah. Anak – masa depan – Syurga – Nabi Adam – sahlep – thank you – Hagia Sophia? Ahh... aku tenggelam! Lemas!

"Magnificent!" Sepatah terkeluar dalam senafas. Lega sekejap. Dia hanya mengangkat kening. Nak lagilah tu!

"Maksud saya, tak sangka... sejarahnya, binaannya hebat sangat. Peranannya dan sekarang, halatujunya, semua tu di luar jangkaan saya. Saya ingatkan cuma sebuah bangunan bersejarah, tu je...," terluah akhirnya rumusan yang rasanya bukan dari mindanya yang kelam kabut tak sempat berfungsi tapi dari rasa hatinya.

Nuqman mengangguk. Puteri menghela nafas lega. Please stop, Nuqman!

"Bertuah kalau Hagia Sophia dapat mengubah sesuatu dalam diri kita. Itulah peranan sejarah. Bukan untuk lulus periksa saja. Tapi membentuk siapa diri kita. Hagia Sophia jadi bukti bahawa sejarah boleh mengubah diri dan keadaan. Malah boleh mengubah negara dan dunia. Al Fateh sangat mengkaji kejayaan Rasulullah dan para sahabat. Dia berusaha menjejaki dan mengulangi apa yang Rasulullah lakukan mengikut kesesuaian zamannya dan terbukti dia berjaya sehingga terbinanya empayar Uthmaniah. Musuh Islam pulak kaji sejarah kejayaan Al Fateh dan mencari kuncinya. Dengan kunci itulah mereka dapat mencari kelemahan. Itulah yang menjadi senjata mereka untuk kembali menguasai Hagia Sophia. Macam tu sekali mereka berusaha. Kita?"

Puteri terkedu! Bibir bawahnya digigit resah. Macammana nak jawab tu? Serata zaman Nuqman meneroka dan akhirnya menujah pada diri. Bijaknya dia!

"Hei..." Dia menegur sepatah. Ibu jarinya mendarat ke dagu Puteri, menyentuh memberi isyarat agar bibirnya dilepaskan. Kepalanya digelengkan tapi pandangan matanya tak lepas dari bibir yang basah memerah dan separuh terbuka itu!

Berderau darah muda Nuqman tak keruan. Lagi lama dia berdepan dengan Puteri, lagi gelisah seluruh dirinya.

"Habiskan sahlep tu cepat. Kita ziarah Masjid Biru, solat, lepas tu makan!" Dah mengarah pulak! Puteri terkial-kial menghabiskan sahlep.

Jarak di antara Hagia Sophia dan Masjid Biru hanya dipisahkan oleh jalan raya dan rel tram serta taman yang luas menghijau. Puteri mengambil peluang sekali lagi merakamkan gambar kerana dari sudut itu, Masjid Biru dapat dirakamkan dengan keseluruhan enam menaranya. Gah dan sangat indah!

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now