Puteri tersandar ke kerusi sambil membuang pandangan ke luar kereta menembusi cermin tingkap gelap itu. Suasana di bandar Istanbul sudah mula sesak. Mungkin hari masih awal dan kebetulan hari cuti. Kalau hari biasa, waktu ini memang sudah sesak betul. Sebab itu pelancong lebih suka mencari penempatan yang dekat dengan lapangan terbang dan kawasan pusat bandar bagi memudahkan mereka berjalan kaki ke sana sini.

Puteri datang untuk menyelusuri sejarah seni hiasan dalaman dan binaan sekaligus mencari titik muktamad dalam hubungannya dengan Nuqman. Puteri menjeling ke sebelah melihat Nuqman tenang memandu. Dia tersenyum.

Sehebat manapun lelaki, pasti akan tunduk pada aku. Nuqman nampaknya mudah sangat. Cuma masalahnya, lelaki lain mudah aku tinggalkan macam tu saja. Tapi Nuqman? Aku terikat!

Dia juga tak cari aku tetapi dipilih abah. Melihat penampilan dan cara hidupnya, aku pasti diriku bukan gadis pilihannya. Jadi kenapa dia tenang menerima aku? Atau ada agenda di sebalik semua ini yang aku tak tahu? Tidak kira macammana pun gelodak perasaannya bila bersama Nuqman, Puteri tekad untuk mengungkai segala persoalan dan mencari titik penentu.

"Kita dah sampai... Jasad dah sampai Istanbul tapi angan awak dah sampai Paris ke?" Itu gurauan atau sindiran. Kening Puteri terangkat.

"Kenapa Paris?"

"Kan itu syurga idaman wanita...?" Hmm... Nuqman tidak pasti pula tentang wanita ini. Nampak gaya dia berfesyen, macam suka kalau dapat ke Paris. Tapi kalau dinilai wataknya, seperti suka sesuatu yang lebih mencabar. Sukar juga untuk dibaca.

Puteri tidak memberi respon. Dia membuka pintu lalu....

"Awak lupa ke?" Kaki Puteri tidak jadi melangkah keluar. Terkelip-kelip matanya memandang Nuqman, cuba mengingati sesuatu.

"Tak nak salam suami?"

"Suami?" Sepasang mata Puteri membesar.

"Ohh...!" Puteri sengih. Muka seposen. Alahai! Ni yang malas ni! Puteri menggerutu dalam hati. Hal-hal suami isteri yang paling dia tak suka nak fikir. Ahh... Salam je lah! Mesti kena cium tangan pulak tu!

Puteri melangkah semula ke dalam kereta. Lalu mengalihkan tubuhnya mengadap Nuqman. Cepat-cepat dia hulurkan kedua tangan. Teringat arwah ibu... bila dia salam abah, tunduk penuh hormat, kucup tangan abah penuh kasih. Aku?

Sebaik saja Nuqman menyambut tangannya, Puteri cepat-cepat tunduk mengucup tangan itu lalu dilepaskan dan sepantas kilat dia sudah membuka pintu kereta dan keluar berdiri. Nuqman terpinga-pinga namun dia hanya tersenyum. Isteri pemalu. Dia berbaik sangka.

Sebaik saja keluar pintu lif dari tempat letak kereta di tingkat bawah, Puteri berubah ceria dan teruja apabila disambut oleh ruang lobi yang berhias indah dengan dekorasi klasik Turki. Lantai marmar luas dan cantik. Bunga-bunga mawar merah bagaikan hidup menjalar dan tertanam di dalamnya. Indah sungguh! Meneroka hiasan dinding dan perabot tersusun penuh kreatif adunan klasik kontemporari, Puteri menahan nafas kerana sangat teruja. Nuqman hanya memerhati penuh asyik dengan gelagat Puteri.

Mereka menaiki sebuah lif lain dari lobi ke pangsapuri di tingkat 7. Dan sebaik saja daun pintu diselak...

"Oh-My-God!" Puteri berlari sambil melemparkan tas tangan ke sofa empuk, membuka pintu kaca balkoni di ruang tamu yang mengadap Selat Bhosporus yang mengalir tenang di bawah sana. Angin dingin rakus yang mengelus dirinya tidak dipedulikan. Dia berlari ke balkoni lalu berpaut pada jeriji besi berukir separas dada dan menghimbau pandangan sejauh mungkin menikmati keindahan panorama yang sangat menakjubkan itu. Indah sungguh!

Angin dingin dan titisan hujan renyai yang masih turun terasa amat menyegarkan. Puteri memejamkan mata lalu mendepangkan kedua tangannya luas, menghayati setiap elusan angin yang bertiup dan setiap titik hujan yang menimpa mukanya.

"Memang betul alam ni bukti wujudnya Tuhan. Bila orang tengok alam luas macam ni, terus menyebut-nyebut nama Tuhan. Terasa kewujudan-Nya, kebesaran-Nya." Suara Nuqman tiba-tiba kedengaran di hujung telinga dibawa angin yang bertiup. Puteri mengetap bibir.

Betul ke itu yang aku rasa? Atau sebenarnya hanya kerana teruja? Menikmati ciptaan-Nya untuk kepuasan diri? Benarkah aku terasa kebesaran-Nya bila aku menyeru nama-Nya tadi?

"Saya jugak sangat terasa kasih sayang Tuhan bila awak datang, Ika." Suara itu berdesir di tepi telinganya. Mata Puteri terbeliak. Bibirnya digigit menahan rasa terkejut. Dia dapat rasakan Nuqman kini berdiri terlalu dekat di belakangnya. Dia jadi takut hendak bergerak.

"Terima kasih sebab sudi datang."

Abah! Ni semua sebab abah! Puteri menjerit-jerit dalam hati. Dia sebenarnya langsung tidak menyangka yang abah betul-betul ambil serius dengan permintaannya yang sedang emosi ketika itu. Sesungguhnya Puteri menyesal sebaik saja tiket penerbangan ke Istanbul abah letak di hadapannya di meja makan bila dia duduk untuk makan malam bersama abang-abang yang pulang berkumpul meraikan hari lahir abah. Terkedu sambil melindungi gelodak perasaannya dan takut diejek oleh abang-abangnya, Puteri cepat-cepat berbisik di telinga abah untuk merahsiakan perkara itu dari mereka. Dengan hati yang berat dan bergelora, dia tiba juga ke Istanbul.

"Ika..."

Puteri menelan airliur. Dia tidak berani menoleh. Haruman yang dipakai Nuqman semakin kuat. Dia pasti semakin dekat.

"Awak... saya lapar!"

Nuqman terdiam, terkejut dan gelihati mendengar kata-kata Puteri. Tawanya pecah dalam tertahan-tahan. Tertunduk dahinya menyentuh bahu Puteri tapi dibiarkan saja. Nuqman gelihati pada diri sendiri yang seperti hanyut kerana terleka dengan keterujaan Puteri.

"I'm sorry! So sorry... saya lupa yang awak belum sarapan lagi. Jom kita masuk dalam sebelum awak basah kuyup kat sini. Saya nak pesan makanan." Puteri menarik nafas lega tapi belum sempat nafas dihela, tangannya tiba-tiba ditarik memaksa dia berlari-lari anak mengikuti jejak langkah Nuqman yang panjang dan laju menuju ke ruang tamu.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now