Lelaki Penuh Kejutan 2

282 5 0
                                    

NUHA mundar-mandir di wakaf. Sekejap-sekejap dia tengok jam di tangan.


"Ya Allah, manalah perginya Pak Awi ni? Dah lebih 20 minit aku tunggu. Karang membebel pulak bos aku tu kalau lambat sampai ofis," sungutnya sendirian.


Resah hati tidak dapat dibendung lagi. Nak sampai ke pejabat terpaksa meredah banyak lampu isyarat. Lagilah makan banyak masa. Memang tadah telingalah jawabnya nanti.


Nuha mendecit. Tidak pernah lagi Pak Awi lambat menjemput dia. Selalunya on time sahaja. Kadang-kadang dia baru hendak melintas jalan sudah ternampak teksinya menunggu di depan wakaf.


"Hisy! Tak boleh jadi macam ni. Aku kena telefon Pak Awi tanya dia ada dekat mana sekarang. Kalau dia tak jadi datang, senang aku tahan teksi lain," kata Nuha.


Dia menggagau beg tangannya mengeluarkan telefon Samsung Galaxy Y warna coral pink. Walaupun touch screen, tetapi tidak berapa nak pintar sangat sebab fungsinya terhad dan tidak boleh download banyak aplikasi. Dia guna buat hantar SMS dan telefon orang sahaja.


Dalam masa yang sama, tiba-tiba terdengar bunyi tayar kereta terseret kuat. Nuha terus panggung muka.


Ha, sampai pun. Tetapi, kenapa ganas sangat Pak Awi bawa teksi hari ni? Betul ke Pak Awi yang pandu kereta? Untuk mendapatkan kepastian, dia tunduk sedikit mengintai wajah si pemandu.


"Hah! Tengok apa lagi? Masuklah cepat. Pintu tak kunci pun," balas Fadil.


Rasanya memang dah betul kut pelanggan ayah aku ni, getusnya apabila melihat di bahu gadis itu tersangkut beg tangan warna merah.


Nuha tersentak apabila disergah begitu. Alamak! Bukan Pak Awi. Dia tidak kenal siapa gerangannya. Tidak pernah jumpa pun sebelum ini. Apabila diperhati ada iras-iras macam Pak Awi juga. Siapa pula mamat ni?


"Janganlah tengok aku macam tu. Karang jatuh cinta, tak pasal-pasal pulak kau jadi angau," tambah Fadil lagi. Hairan sangatlah tu kut tengok bukan ayah dia bawa teksi.


Nuha mencebik. Boleh tahan perasan mamat drebar ni.


"Sebelum saya masuk, saya nak tanya. Ini teksi Pak Awi, kan? Tapi, kenapa awak pulak yang bawa?" soal Nuha inginkan kepastian. Dia mesti tahu semua itu. Dibuatnya lelaki itu orang gila ke, entah ke mana pula dia kena bawa lari nanti.


"Dah dia suruh. Aku bawalah. Yang kau tercegat lagi dekat luar tu, kenapa? Nak suruh aku tolong buka pintu ke? Tak kuasalah aku!" jawab Fadil sinis. Leceh betullah perempuan ni. Banyak tanya pula. Tinggal karang baru terhegeh-hegeh nak masuk.


Nuha mengerut muka. "Pak Awi suruh awak bawa? Habis tu mana dia? Ke awak curi teksi ni daripada dia? Baik awak cakap betul-betul."


Ek eleh perempuan ni. Ada jugak jadi mangsa ciuman aku karang. Mulut tak bertapis langsung. Baru aje jumpa dah penuh dengan prasangka, gerutu Fadil geram.


"Daripada aku curi teksi ayah aku ni, baik aku curi kereta Ferrari terus. Boleh jugak buat eksyen dekat kau kalau terserempak kat tepi jalan. Setakat teksi Proton Iswara ni, apa kelasnya?"


Nuha tergamam. Apa? Mamat ni anak Pak Awi? Biar betul!


"Pak... Pak Awi tu ayah awak?" tanya Nuha tergagap-gagap.


Patutlah muka ada iras-iras Pak Awi. Tetapi, boleh percaya ke? Takkan anak Pak Awi serabai macam ni? Penampilan Pak Awi kemas sahaja. Baju selalu tuck in dalam seluar slek. Siap pakai kopiah dan kasut kulit lagi. Mamat ni pula, hujung rambut sampai kaki macam mat pet sahaja. Musykil!


"Dah tu, takkan ayah kau pulak? Apa punya banganglah soalan kau tu. Hah, ni kau nak naik ke tak nak? Kalau tak nak, aku nak blah!" marah Fadil sambil menjeling Nuha.

Lelaki Penuh KejutanWhere stories live. Discover now