BAB 1| Kerry

7.9K 292 17
                                    


Ting! Ting! Ting!

Kedengaran bunyi loceng bergema kuat di The Styles Centre sebaik sahaja Hana menerjah masuk pintu kedai tersebut. Dia segera menongkat kedua-dua belah tangannya pada lutut kepenatan sambil mulutnya tercungap-cungap mengambil nafas seperti atlet lumba lari yang baru sahaja selesai memecut ke garisan penamat gayanya.

Semua gara-gara jam loceng Hana yang kehabisan bateri menyebabkan dia kesiangan hari ini. Mujurlah ibu kesayangannya mengejutkan dia daripada tidur. Kalau tidak memang sah dia terpaksa ponteng kerja dengan berpura-pura sakit bagi mengelakkan Cik Linda, bos di tempat kerjanya curiga.

Silap-silap haribulan mahu ada dia dipecat dan terpaksa mengangkat kembali gelaran 'penganggur terhormat' yang pernah dipegangnya bertahun-tahun itu. Sememangnya dia tidak mahu itu terjadi kepada dirinya. Bukan apa, serik menjadi bahan bualan jiran tetangga!

"Hoi, Hana! Awal hari ni. Aku ingat kau tak datang dah tadi. Buat penat je aku tunggu kau telefon. Manalah tahu kau sakit demam denggi pulak ke kali ni. Kau dengan demamkan bestfriend," sapa Kerry selamba sambil mengemas kaunter pembayaran menggunakan bulu ayam yang sudah pun tinggal separuh bulunya.

Kerry atau nama sebenarnya Khairiah merupakan rakan sekerja Hana. Namun, dia lebih seronok dipanggil Kerry kerana menurutnya glamour sikit jika menggunakan nama ala-ala mat salleh ni. Ceh! Padahal di bumi sawah padi tempat kelahirannya itu, orang kampung memanggil dia dengan nama Koyah sahaja!

Hana tersenyum sinis. Dia berjalan ke arah tempat Kerry berada lalu duduk di atas sebuah kerusi plastik berwarna merah yang tersedia di kaunter.

"Amboi, perli nampak. Kau tahukan kata-kata tu satu bentuk doa. Kalau aku kena betul-betul demam denggi macam mana? Kau jugak yang menangis tak berlagu nanti sebab menyesal. Masa tu memang tiada maaf bagimu, Koyah! Bar..."

Kerry segera meletakkan jari telunjuk di mulut Hana.

"Sssshhh....Kau ni, Hana! Dah banyak kali aku cakapkan jangan panggil aku Koyah! Nanti kalau customer dengar malulah aku!" Tegur Kerry separuh berbisik sambil matanya melilau-lilau memandang sekeliling.

Jarinya dialihkan daripada mulut Hana lalu dilap pada baju kegelian apabila menyedari Hana sengaja menjuihkan air liur.

"Aku bukan apa...kau tu selalu sangat sakit dua tiga hari ni. Hari tu punyalah sihat walafiat aku tengok tiba-tiba semalam tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kena demam campak! Pelik sebab setahu akulah, kalau orang kena demam campak ni selalunya lama jugak nak baik tapi kau sehari je. Hebat! Kalau ye pun bangun lambat alasan demam campak tu memang tak logik langsung. Tak logik weh!"

Hana tersengih sumbing menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi. Kantoi!

"Hee...Nak buat macam mana...tu je perkara pertama yang terlintas kat fikiran aku waktu Cik Linda telefon semalam. Nama pun tengah mamai. Logik ke tak logik memang belakang kira dah. Eh, cakap pasal bos kita yang garang macam singa tu, mana dia? Dari tadi tak nampak pun batang hidung."

Hana memanjangkan kepalanya mencari kelibat Cik Linda, takut juga kalau tiba-tiba sahaja bosnya itu terjengul di situ, memang cari nahas. Maklumlah tengah mengata!

Kerry yang melihat tingkah laku Hana, ketawa.

"Cuaklah tu. Relax... Hari ni dia datang lambat sikit sebab tayar kereta dia tiba-tiba je pancit dekat Jalan Kenanga mana entah. Kau tak baca whatsapp group ke?"

Hana menggelengkan kepala. Pantas, tangannya diseluk ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Sebaik sahaja butang on ditekan, skrin telefon bimbitnya menyala lalu aplikasi whatsapp dibuka.

"3 minutes ago... Hm. Memang taklah aku nak baca! Masa ni aku tengah sibuk lari pecut. Parking jauh hari ni."

"Hm patutlah kau masuk kedai tadi semput semacam aku tengok. Ada hikmahlah bos kita tu lambat. Sekurang-kurangnya kau ada masa nak fikir macam mana demam campak kau tu boleh baik dalam masa sehari je. Hebatnya kamu!"

Spontan, Hana membeliakkan mata.

"Weh,  nasib baik kau ingatkan aku! Kalau tak nanti memang ada tergagap-gagap je aku nak jawabkan. Nampak sangat aku tipu. Okay, aku nak pergi salin baju dululah macam tu. Kalau Cik Linda dah sampai roger aku tau."

Sempat Hana menepuk bahu Kerry sebelum dia segera berlari menuju ke bilik staf sambil menjerit sekuat hatinya, "Thanks Koyah!"

Jeritan Hana membuatkan Kerry spontan membaling bulu ayam yang dipegangnya, geram dek Hana yang masih selamba memanggilnya dengan nama Koyah! Benci!

7 HEIRS: Eriqa [EDITING]Where stories live. Discover now