Bab 4

8.7K 169 6
                                    

SEMASA pulang dari kerja, aku membeli Mi Bandung terlebih dahulu kerana aku tak nak makan malam bersama mereka di rumah. Rasa marah tiba-tiba saja menyerang sebaik sahaja sampai rumah. Ayah belum balik lagi ketika itu. Hanya mama yang ada di rumah dan sedang menyiram pokok bunga.

Aku terus masuk rumah tanpa menegur mama. Mama pun tak tegur aku juga. Aku faham, mama hanya akan tegur aku kalau ayah ada saja. Kalau ayah tak ada, memang jangan harap mama nak sapa. Bukan aku tidak tahu dasar kuat bermuka-muka mama. Sebab mama nak tunjuk dia baik dan aku ni buruk sangat perangai.

Tak apalah. Aku tak kisah pasal semua itu sebab bagi aku, kebenaran tak boleh ditipu. Suatu hari nanti, suatu ketika, akan terbukti juga siapa betul siapa salah. Ayah akan tahu juga nanti siapa diri mama yang sebenarnya. Buat sementara, aku hanya berlagak tenang saja.

Kemudian aku pergi ke dapur untuk makan Mi Bandung yang aku beli. Karang kembang tak sedap pula. Aku makan tanpa perasaan sebenarnya disebabkan mata masih memandang jambangan bunga yang Daniel bagi. Cantik. Dekat sepuluh kali aku sebut cantik. Sampai sekarang, dekat sepuluh kali aku tanyakan soalan yang sama. Kenapa tiba-tiba Daniel sanggup datang ke syarikat semata-mata nak hantar bunga? Dan dekat sepuluh kali itulah, aku tak jumpa jawapan. Mamat jiwang juga rupa-rupanya Si Daniel ni. Aku ingatkan tak tahu apa-apa pasal bunga.

Hmmm, okeylah tu. Berjiwa romantis. Kalaulah Ashraf juga begitu, rasa bahagia sangat. Ini jangan haraplah. Jauh panggang dari api.

Sha muncul di dapur ketika Mi Bandung tinggal separuh aku lahap. Terus dia buka peti sejuk. Bawa bekas air kemudian duduk di depan aku. Muka dia sedikit sembap. Rasanya baru bangun tidur. Senangnya hidup dia. Makan tidur, makan tidur. Bekerja malas. Apa dia nak hairan? Bapa tiri dia boleh tanggung. Apa nak semua dapat.

Nak aku cakap bodoh, ayah aku juga. Jadi, aku tengokkan aje. Mujurlah ayah kerja dengan kerajaan dan berpangkat pegawai. Boleh tahan juga pendapatan ayah. Bolehlah menanggung isteri dan anak tiri.

Dulu masa ayah masih berpangkat rendah, arwah ibu tolong ayah dengan jual nasi lemak. Jadi, bolehlah arwah ibu beli rumah ini. Tapi sayang, apabila ayah dah naik pangkat dan ibu pula disahkan sakit, ayah berpaling tadah. Dan sekarang ayah terima padahnya sebab dapat anak tiri besar gajah, tapi pemalas. Hukum karma bukankah begitu? Apa yang kau buat, itu yang kau dapat balik. Tak boleh cakap apalah.

"Siapa bagi bunga?" soal Sha dengan kasar. Dengar suara dia saja buat aku naik angin. Soalan serupa minta penampar saja.

"Aku tak nak cakap apa-apa dengan kau sebab kalau kau buat perangai, ayah tak fikir apa, terus salahkan aku. Lepas kau minum boleh tak kau berambus dari sini? Aku nak makan dengan aman. Tak selera aku nak tengok muka kau. Karang aku silap cakap, kau meroyan macam orang gila, aku juga yang kena," jawab aku dengan kasar. Peduli apa aku. Kalau Sha boleh kurang ajar dengan aku, tak ada sebab aku nak cakap baik-baik dengan dia. Adil. Mana boleh baik sorang-sorang.

"Mana ada aku tuduh kau. Ayah tu aje yang selalu salah sangka dengan kau," ucap Sha perlahan, tapi yang sebenarnya bermuka-muka. Geramnya. Rasa macam nak simbah dengan Mi Bandung. Lepas tu selamba saja tuduh ayah aku selalu salah sangka dengan aku. Apa maknanya tu? Maknanya Sha nak cakap yang ayah aku suka buruk sangka dengan aku? Melampau betul perempuan ni. Di depan ayah bukan main baik lagi. Di belakang ayah, macam-macam kutuk ayah. Kenapalah ayah masih tak sedar lagi dengan perangai anak tirinya ini?

"Okey, sekarang kau berambus. Kau dah cakap apa yang kau nak cakap, bukan? Aku tak nak tengok muka kau!" tegasku. Bunyinya macam budak-budak saja, tapi lantaklah. Peduli apa aku. Si Sha yang suka cari pasal.

"Aku cuma nak tahu siapa yang bagi bunga ni saja. Itu pun salah ke?" Suara Sha mula naik. Menampakkan dirinya yang sebenarnya.

"Siapa lagi yang nak bagi aku bunga? Sendiri fikirlah, lagi nak tanya. Ramai sangat ke lelaki yang nak aku?!" Aku jeling Sha sekali dengan suara lantang. Terus dia pergi. Banyak tanya betul. Dasar pendengki macam itulah.

Cik Cinderella Dan Encik Tengku (Adaptasi Drama)Where stories live. Discover now