"Hmmm, pancing ikan..." jawabku selamba. Lagi mahu tanya.

"Wow..." Satu perkataan saja yang disebut, mungkin mewakili rasa terkejutnya. Mungkin tak sangka juga aku boleh berseloroh sebegitu sekali. Dan yang paling aku tak sangka dia mahu tegur aku sedangkan sebelum ini kami memang serius. Cakap pun pasal kerja saja. Tak pernah lagi bercakap pasal perkara lain.

Hari ini dia memang nampak betul-betul lain. Tak macam Daniel yang aku kenal. Kalau tengok gaya dia, orang takkan sangka dia tu seorang peguam yang agak terkenal. Terkenal pun sebab dia mewakili seorang artis untuk kes saman. Pernah juga muka dia masuk surat khabar, tapi bahagian hiburanlah.

"Jadi, banyak ke ikan yang awak dah pancing?" Daniel jeling aku sambil pamerkan giginya yang tersusun cantik. Serius, memang ada gaya kaki perempuan dia ni. Silap hari bulan aku boleh cair. Sudahlah hubungan aku dengan Ashraf ala-ala sendu sekarang ni. Peratusan untuk aku beralih arah memang tinggi. Tapi tak mungkin. Aku buat lawak aje.

"Adalah juga..."

"Hmmm, tak payahlah awak beli ikan seminggu..."

Dia dah mula merepek jauh. Boleh tahan juga dia ni. Baik hentikan cepat. Dia peguam. Orang bijak bercakap, karang kering aje aku kena dengan dia.

"Awak buat apa kat sini?" soalku. Kemudian aku pandang lagi muka dia. Selepas itu aku pandang topi berwarna putih yang mempunyai lambang Nike untuk mengelak daripada bertentang mata. Tak sanggup! Mata dia yang redup ke dalam itu sangat menggoda.

"Awak tengok saya buat apa?" Dia senyum. Lepas itu dia sedut minumannya.

Isy! Ini yang malas nak bercakap dengan peguam. Ada aje jawapannya. Sambil tu aku sumbat kentang goreng ke dalam mulut. Serupa tak rasa kentang goreng aje. Tak tahu rasa apa. Mungkin dah bertukar rasa sebaik sahaja Daniel duduk di depan aku. Yang buat aku lebih bertukar rasa tu adalah, sekali dia sumbat makanan, sekali dia jeling aku. Nak kata dia tak pernah jumpa perempuan, memang pelik sangatlah. Dia tu stok kegilaan anak dara. Percayalah, sekali dia cakap saja, rasanya dekat sepuluh anak dara orang cair.

Serius, dia memang segak.

"Oh, lupa. Temankan orang rumah awak beli barang dapur." Baru aku teringat jawapan itu. Bagus Puteri, pandai awak bagi jawapan.

"Awak tengok muka saya ni memang ada gaya suami orang ke?" Dia senyum lagi. Pelik betul aku rasa. Selalunya dia serius saja. Jarang tengok dia senyum. Kali ini galak pula dia senyum. Salah makan ubat ke?

"Yup, bapa kepada tiga orang anak," balasku, tak teragak langsung.

"Alhamdulillah, harap bukan tiga. Tapi saya nak paling kurang lima orang. Dan kalau boleh nak lebih daripada tujuh."

"Amboi..." Selamba betul dia ni. Boleh lagi bercerita tentang keinginan dia. Tak malu betul. Aku pula naik malu.

"Tapi masalahnya, saya tak jumpa lagi wanita yang sesuai untuk lahirkan anak saya," katanya perlahan. Kemudian dia pandang sekeliling, tapi tak sampai mana dia pandang aku semula. Eh, takkan itu pun nak cerita kat aku?

"Oh, bujang lagi ke?" tanya aku pula.

"Of course I'm still single. Awak?"

Aku tunjuk cincin tunang yang tersarung di jari manis tangan kiri. Tak payah jelaskan, mungkin dia akan faham sendiri yang aku ini sudah bertunang. Tak perlu ayat lebih-lebih.

"Tahniah." Muka dia berubah sikit. Bertukar kurang ceria. Tidak seperti mula-mula dia duduk tadi. Mungkin dia betul-betul tak tahu aku tunang orang kut sebab lelaki bukan ke begitu? Jarang yang suka jaga tepi kain orang. Jadi, haruslah dia rasa takut sebab suka-suka hati duduk dengan tunang orang.

Cik Cinderella Dan Encik Tengku (Adaptasi Drama)Où les histoires vivent. Découvrez maintenant