Bab 1

30.5K 388 21
                                    

"APA pasal ni?" tanya aku kepada Ashraf yang dari tadi macam kucing nak beranak. Ajak makan tak nak, ajak minum pun tak nak. Tapi dia betul-betul macam tak suka saja jumpa aku. Air mukanya nampak seperti bosan yang amat. Apa kena pula dia ni? Nak kata hari-hari kami jumpa, tak juga. Dalam bulan ini baru dua kali jumpa. Itu pun bukannya satu hari kami bersama. Tak sampai dua jam kut. Kalau hari-hari jumpa tu boleh juga beri alasan bosan.

Ashraf tak pedulikan soalanku. Dia pandang lagi muka jam tangan yang entah berapa puluh kali dia pandang. Lelaki berkulit hitam manis dan bekerja sebagai ejen insurans itu buat aku benar-benar tidak selesa. Tadi dia juga yang beria-ia ajak aku keluar.

Kami kenal sejak kecil lagi dan hampir dua tahun kami bertunang. Kalau ikut umur, bermakna sudah 25 tahun aku kenal Ashraf sebab arwah ibu cakap, masa aku lahir umur Ashraf sudah dua tahun. Tapi aku rasa hubungan kami semakin tawar. Kenapa agaknya? Apakah kerana kami sudah kenal sejak kecil, maka perkataan jemu itu semakin sesuai digunakan bagi menunjukkan status hubungan kami? Ashraf juga makin endah tak endah melayan aku. Jangan kata nak ajak aku nikah, nak bercakap pasal nikah pun tak pernah. Nampak sangat agenda nikah itu tidak ada dalam kamus hidup Ashraf.

Tak faham betullah. Setiap kali aku ungkit pasal nikah, dia buka cerita lain. Sabar ajelah... Kalau tak sabar, memang dah lama putus.

Aku tarik nafas panjang. KFC di AEON Mahkota Cheras kelihatan agak meriah petang itu. Maklumlah, awal bulan.

"Hmmm, lama lagi ke nak habisnya?" soal Ashraf. Soalan Ashraf itu benar-benar buat aku bengang. Soalan macam nak ajak balik saja. Panas hati dan panas perasaan.

"Kita baru aje duduk. Kalau awak rasa tak ada masa nak jumpa saya, awak jangan ajak saya keluar." Aku marah Ashraf. Mengada-ada betul. Baru duduk tak sampai sepuluh minit dah kalut ajak balik. Saja buat aku berangin satu badan.

"Sorry, saya ada hal penting ni," ucap Ashraf lagi.

"Pergilah kalau awak nak pergi sangat." Tadi masa ajak, tak pula sebut ada hal penting. Tiba-tiba saja ada hal penting.

"Betul ni?" Ashraf tunjuk muka suka pula. Suka benar tinggalkan aku sorang-sorang. Nampak sangat memang tak selesa dengan aku.

"Hmmm..." Aku angguk. Pergilah. Serabut kan kepala aku buat apa. Lebih baik aku duduk sorang-sorang.

"Malam karang saya call," kata Ashraf sambil bangun. Tanpa menunggu lama, dia terus tinggalkan aku. Ah! Tak payah telefon pun tak apa.

Menyesalnya keluar. Kalau aku tahu, aku membuta pun ada faedahnya. Aku mengeluh lagi lalu aku mengangkat kepala. Serta-merta aku terpandang lelaki yang sedang menatang dulang makanan.

"Eh!" Lelaki itu tunjuk muka aku.

"Eh!" Aku juga tunjuk muka dia. Eh itu mewakili satu perasaan sahaja. Terperanjat. Tak sangka boleh jumpa dia di sini. Takkanlah dia makan kat sini? Luar biasanya.

Dia duduk di depan aku walau aku tak ajak. Aku kenal dia. Nama dia Daniel. Dia seorang peguam. Aku kenal dia sebab biasa berurusan dengan dia memandangkan firma guaman Daniel menguruskan hal ehwal yang berkaitan undang-undang syarikat tempat aku bekerja. Orangnya tinggi, senyumannya manis. Kulitnya bersih. Rambutnya lurus dan kemas. Sesuai dengan status pekerjaannya. Dan kalau dia tidak menjadi peguam, pekerjaan yang paling layak untuk dia ialah seorang model. Paling-paling, model iklan ubat gigi sebab gigi dia putih bersih dan tersusun.

"Apa awak buat kat sini?" soalnya sambil mengunyah kentang goreng. Rasa terperanjatku jadi dua kali ganda. Pertama sebab terkejut seorang peguam macam dia boleh makan KFC di tempat macam ni. Kedua, cara dia tanya aku seperti aku ni kawan sekolah dia masa tingkatan satu saja. Mesra semacam.

Cik Cinderella Dan Encik Tengku (Adaptasi Drama)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang