Kopitiam itu menyenangkan; suasananya damai. Iringin saksofon Kenny G mengitari persekitaran dan angin yang bertiup lembut sedikit membawa aroma roti bakar yang menyelerakan.
"Taqi, apakah agama itu masih berfungsi? Aku lihat hari ini agama tidak lebih dari sekadar membincangkan soal hukum-hakam dan ritual ibadah semata-mata".
"Iqbal, agama itu berfungsi, tetapi sebilangan orang yang memegang agama itu menyebabkannya kelihatan disfungsi. Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini sibuk membincangkan persoalan hukum-hakam, tetapi perbincangan mengenai urusan kemasyarakatan, diabaikan. Sedangkan keadaan semasa pada hari ini semakin kompleks yang memerlukan para pewaris anbiya' itu lebih kritikal terhadap peranan agama dalam menguruskan kompleksiti masyarakat.
Agama bukan sekadar berlegar dalam persoalan hukum-hakam fekah dan akidah, tetapi agama berperanan lebih jauh daripada itu yang melihat permasalahan masyarakat dan penyelesaiannya dalam mencapai tujuan syariah. Tetapi apabila sebut tujuan syariah, mereka melihat persoalan keselamatan akidah itu hanya melibatkan persoalan hukum-hakam semata-mata tanpa mereka mengira ada ancaman akidah yang lebih besar daripada apa yang sedang mereka bisingkan pada hari ini."
Taqiyuddin mencicip sedikit kopi 'cappucino. Iqbal bersandar ke kerusi sambil memeluk tubuh. Sedikit keluhan dihela. Wajahnya sedikit sugul. Saksofon Kenny G masih lagi bertiup. Auld Lang Syne! Iramanya kali ini lebih lembut. Perbincangan berjalan lebih segar.
"Taqi, agama itu sebenarnya apa? Orang sentiasa mengatakan aku sesat dan kafir apabila aku timbulkan persoalan-persoalan tentang agama. Buat aku rasa lebih baik tidak beragama, jadi tidak timbulnya masalah-masalah yang datang dengan sebab agama."
Dipandangnya sekilas pelanggan di meja hadapan yang ralit membaca buku. Kelihatannya buku A History Of God tulisan Karen Armstrong. Dia pernah membacanya.
"Haha. Iqbal oh Iqbal. Marahkan nyamuk jangan kelambu yang dibakar. Agama itu datang dengan tujuan menyelesaikan masalah manusia. Ianya adalah cara hidup yang membawa prinsip-prinsip yang universal. Seperti yang aku katakan tadi, ianya bukan sekadar mengenai persoalan ketuhanan, tetapi juga berkait dengan soal urusan kemasyarakatan."
Taqiyuddin terganggu seketika. Datang pelayan lelaki membawa bil bayaran bagi hidangan di meja mereka berdua. Taqiyuddin mengambilnya sambil mengucapkan terima kasih.
"Tetapi sebilangan manusia yang menjadikannya kelihatan hodoh dan cacat. Kita pada hari ini sibuk untuk memarahi orang lain menyebarkan agama mereka, tetapi kita sendiri tidak berusaha untuk kreatif dalam berdakwah dan menjaga kebajikan masyarakat yang kurang bernasib baik. Di luar sana ramai lagi masyarakat yang dilanda kemiskinan atau haknya dizalimi.
Kau tahu, mereka yang murtad itu bukan kerana mereka terkeliru dalam penggunaan kalimah Allah atau fahaman sesat ke apa. Tapi mereka murtad kerana mereka kecewa dengan orang-orang yang faqeh dalam agama, tetapi apabila dibuat pengaduan mengenai kesusahan diri mereka, tiada tindakan segera diambil. Terpaksa melalui birokrasi segala bagai. Mereka tiada tempat untuk mengadu untung nasib mereka, tetapi mereka menjumpai jalan keluarnya terhadap institusi keagamaan yang lain."
Sunyi seketika. Iqbal menghela nafas panjang. Taqiyuddin mengunyah baki terakhir tiramisunya itu. Seketika telefon bimbitnya berdering. Panggilan daripada teman sebilik di kampus yang meminta tolongnya membelikan sebungkus roti dan sebekas kaya apabila pulang nanti.
"Iqbal, agama kita agama kemanusiaan tahu. Tetapi entah kenapa, masih ramai penganut agama kita yang kurang perikemanusiaannya. Agama kita juga agama cinta, tetapi ramai lagi antara kita yang tidak menghayati cinta-Nya.
Jangan kerana sikap sebilangan antara kita yang menjadikan agama itu terfitnah, engkau pun turut sama memfitnah agama."
Usai melontarkan ayat terakhir, Taqiyuddin menyudahkan baki tiramisunya dan bangun untuk ke kaunter untuk membayar harga hidangan makanan dan minumannya. Kali ini, dia membelanja Iqbal. Dalam hatinya, dia harap Iqbal faham dan merenungi kembali kata-katanya. Iqbal itu baginya dalam pencarian mencari Tuhan.
"Moga Allah kurniakan hidayah kepadanya," bisik hati Taqiyuddin.
Irama saksofon I'm In The Mood For Love daripada Kenny G terus berkumandang dalam Kopitiam. Meja mahoni ditinggalkan.
YOU ARE READING
Cerita-Cerita Kontot (CERTOT)
Short StoryTentang cerita-cerita kontot yang membawa pelbagai isu.
