Sebermula tersebutlah kisah akan sebuah negeri yang luas lagi makmur, bernama Kesultanan Arasywara.
Negeri itu berdiri di antara gunung yang menghijau dan lautan yang tiada bertepi. Sungainya panjang membelah kota, sawahnya menguning apabila musim menuai tiba, dan pelabuhannya tidak pernah sunyi daripada kapal dagang yang datang membawa rempah, kain dan segala hasil dari negeri jauh.
Akan tetapi, kemakmuran sesebuah negeri tidak pernah menjanjikan keamanan.
Di sebelah utara Arasywara berdirilah Kerajaan Velkara, sebuah kerajaan yang telah lama memandang tanah Arasywara dengan mata yang penuh iri.
Pada tahun itu, bala tentera Velkara turun dari pergunungan. Mereka datang seperti banjir.
Empat ribu orang jumlahnya.
Sedangkan yang menanti mereka di sempadan Arasywara hanyalah kurang daripada dua ribu orang prajurit.
Di hadapan tentera Arasywara berdirilah seorang panglima muda.
Usianya baru dua puluh dua tahun.
Tubuhnya tegap dibaluti pakaian perang berwarna hitam. Rambutnya yang dipotong pendek diikat kemas di belakang tengkuk. Sebilah pedang tergantung pada pinggangnya, manakala sebuah busur tersandang di belakang.
Wajahnya tenang. Terlalu tenang bagi seseorang yang sedang berdiri di hadapan ribuan musuh.
Namanya tidak pernah disebut sebagai seorang puteri. Tidak pernah disebut sebagai anak perempuan seorang bangsawan. Tidak pernah disebut dengan nama yang diberikan oleh ibunya ketika dia dilahirkan.
Di medan perang, dia hanyalah...
Panglima Zafran.
Seorang lelaki muda yang telah memenangi tiga peperangan untuk Arasywara. Seorang panglima yang tidak pernah membawa tenteranya ke medan perang tanpa membawa mereka pulang.
Dan bagi musuh-musuhnya...
dia ialah Sang Helang Arasya.
Zafran berdiri di atas sebuah bukit kecil sambil memandang lembah di hadapan.
Di kejauhan, ribuan panji Velkara bergerak ditiup angin. Di belakangnya pula berdiri para hulubalang dan kapten yang sedang menunggu perintah.
Qasim, sahabat yang paling dipercayainya, datang mendekat sambil membawa sebuah peta yang telah berkedut akibat terlalu lama dibawa ke mana-mana.
Dia berhenti di sisi Zafran lalu membentangkan peta itu di atas batu "Panglima," kata Qasim sambil menahan hujung peta daripada ditiup angin "Mereka akan tiba sebelum matahari terbenam."
Zafran tidak segera menjawab. Matanya masih tertumpu kepada lembah yang terbentang luas di hadapan mereka.
Beberapa detik kemudian, barulah dia mengalihkan pandangan kepada peta "Berapa lama bekalan kita mampu bertahan?" tanyanya dengan suara yang tenang, seolah-olah jumlah musuh di hadapan mereka tidak sedikit pun menggugat fikirannya.
Qasim menunduk semula kepada peta. Dia mengira jumlah bekalan yang mereka miliki berdasarkan catatan yang telah dibuatnya sebelum berangkat.
Setelah beberapa ketika, dia mengangkat wajah "Lima hari," jawabnya sambil menghela nafas pendek "Kalau kita menggunakan bekalan seperti biasa, lima hari sahaja yang mampu kita bertahan."
Zafran mengangguk perlahan. Kemudian dia bertanya lagi "Dan mereka?"
Qasim mengerutkan dahi sebelum menjawab berdasarkan perkiraannya "Kalau berdasarkan jumlah mereka, bekalan mereka mungkin mampu bertahan dua minggu."
Seorang kapten yang berdiri tidak jauh dari situ mendengar perbualan tersebut. Wajahnya semakin berat apabila menyedari perbezaan antara kedua-dua pasukan.
YOU ARE READING
THE GENERAL'S CROWN
Fantasy"He never asked her to lay down her sword. He simply stood beside her while she fought." Zafira dilahirkan sebagai seorang perempuan dalam kerajaan yang percaya medan perang hanya milik lelaki. Demi membuktikan dirinya, dia menyembunyikan identiti d...
