BUNYI muzik yang kuat bergema memenuhi seluruh ruang kelab malam itu, memekakkan telinga. Lampu berwarna-warni berkelip tanpa henti, menyilaukan mata. Suara manusia berbual dan ketawa bercampur dengan bunyi gelas yang berlaga.
Di sofa yang agak tersorok di sudut kelab malam itu, Andi duduk sendirian. Tangan kanannya memegang sebuah gelas berisi penuh minuman keras. Dibawa rapat hujung gelas ke mulut, lalu diminum rakus air di dalamnya sehingga tiada setitik pun yang tertinggal. Tidak cukup, dia tuang lagi minuman keras ke dalam gelas. Diminum. Tuang lagi, lagi dan lagi. Entah sudah berapa banyak, tetapi badannya mula rasa panas. Tubuh disandarkan pada sofa. Baru mata hendak dipejam, kedengaran kuat bunyi deringan telefon bimbit. Pada mulanya, dia mahu abaikan. Tetapi apabila deringannya tiada tanda mahu berhenti, terpaksalah dia tarik keluar juga telefon bimbit yang berada di dalam poket seluar. Tanpa melihat nama pemanggil, dia terus sambut panggilan yang masuk itu. Telefon dilekapkan ke telinga.
"Andi Cedric!"
Jeritan nyaring dan kuat yang menyapa pendengaran, membuat Andi terkejut. Telefon bimbit terlepas daripada tangan. Kelopak mata Andi yang tadinya kuyu terus bulat. Terkebil-kebil memandang telefon bimbit di riba.
Andri Fedric. Nama yang terpapar pada skrin telefon.
Andi mendengus kecil sebelum mencapai semula telefon bimbitnya. "Kau apa hal menjerit macam tu? Nak aku mati terkejut ke?" soalnya geram. Kalaulah dia ada sakit jantung, jalan terus.
"Aku nak kau balik sekarang!"
Mendengar arahan yang diberikan, Andi mendecit kecil. "Aku ada kerjalah. Aku..." Belum sempat ayatnya dihabiskan, Andri sudah mencelah.
"Kerja apa pukul dua pagi macam ni? Kau jangan nak menipu! Kau ingat aku tak tahu kau kat mana sekarang ni? Kau ingat aku tak tahu kau tengah buat apa? Aku tak nak dengar apa-apa alasan! Aku nak kau balik sekarang juga! Faham?"
Andi ketap gigi mendengar kata-kata adiknya.
"Setengah jam kau tak sampai rumah, aku ke sana, nahas kau aku kerjakan. Adios!"
Tuttt...
Mendengar bunyi pendek itu, tahulah Andi bahawa panggilan sudah dimatikan. Mendengus kecil, telefon dijarakkan daripada telinga lalu disimpan ke dalam poket seluar. Capai botol berisi minuman keras lalu dengan selamba diteguknya air yang berbaki suku botol itu sehingga habis. Kemudian, dia bangun daripada duduknya. Baru langkah pertama diatur, kepalanya tiba-tiba melayang. Pandangannya berpinar.
"Damn..." Sebelah tangan Andi pantas memegang hujung sofa untuk menahan tubuh. Dia menggeleng beberapa kali, cuba mengembalikan kewarasan yang semakin hilang. "Aku kena basuh muka," ujarnya lantas mengatur langkah perlahan menuju ke tandas.
Setibanya di tandas, Andi terus menuju ke sinki. Pili paip dipusing. Kedua-dua tapak tangannya ditadah di bawah air yang mengalir keluar lalu disimbah air sejuk itu ke wajahnya beberapa kali. Untuk menyegarkan mata yang sudah mula rasa berat hendak dibuka.
Selepas beberapa minit, barulah dia keluar dari tandas. Dalam keadaan mata yang sekejap-sekejap terpejam, kepala yang melagang, langkah yang diaturnya jadi tidak stabil.
Buk!
Andi tersentak apabila tiba-tiba sahaja tubuhnya berlanggar dengan seseorang. Dek kerana tidak dapat mengimbangkan diri, dia jatuh terduduk di atas lantai.
"Encik! Maaf, maaf. Saya tak sengaja." Suara seorang gadis kedengaran.
Andi mengangkat wajah.
"Encik okay? Ada cedera kat mana-mana? Saya minta maaf sangat-sangat. Saya..."
"Tak apa. Aku okay," ujar Andi pantas, sekaligus memintas kata-kata gadis di hadapannya itu.
"Be... Betul ke encik okay?"
Andi angguk kecil. Dengan berpaut pada dinding di sebelahnya, dia perlahan-lahan bangun. Kemudian, kaki mengatur langkah. Namun, langkahnya semakin tidak seimbang. Tubuhnya terhuyung-hayang. Sekejap ke kiri. Sekejap ke kanan.
"Encik, mari saya tolong."
"Tak perlu. Aku okay." Andi menolak tangan yang memegangnya itu.
"Tak, encik nampak tak okay sangat. Saya tolong ya?"
"Tak perlu. Aku..." Belum sempat Andi habiskan ayat, tubuhnya tiba-tiba jadi lemah semacam lalu dia jatuh terjelepok.
"Encik!"
Andi ketap gigi. Dia cuba buka mata. Tetapi, rasa seperti digam sahaja kelopak matanya ketika itu. Tidak boleh dibuka langsung. Ah, teruk pula mabuknya itu. Itulah, tadi minum tidak ingat dunia. Kan susah diri sendiri.
Tiba-tiba, Andi rasa tubuhnya seperti diangkat. Siapa yang angkat? Mustahil pula gadis tadi. Kuat sangat kalau boleh angkat dia. Tidak lama kemudian, tubuhnya diletakkan di atas sesuatu yang empuk dan lembut. Apakah? Tidak mahu terus berteka-teki, Andi paksa matanya untuk buka. Sekeliling dipandang. Walaupun kabur pandangannya, tetapi dia tahu dia di dalam sebuah bilik ketika itu. Dan sedang berada di atas katil.
"Encik rehatlah ya. Bagi tenang dan okay diri tu dulu. Ni, ada air. Kalau haus, minumlah."
Andi memandang gerangan yang berkata. Gadis yang dilanggarnya ketika keluar dari tandas tadi. Berdiri di sebelah katil dia berbaring itu sambil tersenyum manis. Andi terkedu. Entah kenapa, tiba-tiba dia lihat gadis itu seperti seseorang. Seseorang yang amat dia cinta dan sayang.
"Err, saya keluar dulu."
Belum sempat gadis itu melangkah pergi, Andi menarik kuat sebelah tangannya. Menyebabkan tubuh gadis itu hilang keseimbangan lalu jatuh tepat di atasnya. "Jangan pergi..." Andi memeluk erat pinggang gadis itu.
"En... Encik..."
"Aku sayang. Aku cinta sangat-sangat. Kenapa... Kenapa perpisahan yang aku dapat sebagai balasan sayang dan cinta aku?" soal Andi. Matanya berkaca. Wajahnya sayu. Namun tidak lama kemudian, dia tergelak kecil sebelum menolak tubuh gadis di atasnya itu berbaring ke atas tilam. Tubuhnya naik ke atas gadis itu.
"Encik... Encik kenapa ni?"
Andi tidak menjawab. Selamba, wajahnya disembam ke ceruk leher gadis di bawahnya itu.
Dia tidak tahu apa yang sedang dilakukannya. Kenapa dia melakukannya. Fikirannya tidak mampu berfungsi dengan baik. Dirinya tidak mampu untuk dikawal. Dia mula hilang kewarasan diri.
Malam itu berlalu dalam keadaan yang tidak pernah Andi sangka akan mengubah kehidupannya.
ESTÁS LEYENDO
ANDI CEDRIC 2
Acción"Ethan anak you." Sebaris ayat, tiga patah perkataan, cukup untuk membuat dunia Andi bagaikan terhenti. Di saat dia sedang menikmati kebahagiaan bersama Nasya yang sedang mengandungkan anak ketiga mereka, tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak lelaki...
