Ajaran Imam ini akan dipatuhi tanpa persoalan kerana orang-orang kampung percaya sepenuhnya pada Imam tersebut. Imam tersebut memang kenal setiap orang kampung dan tahu seluruh sejarah hidup setiap orang yang lebih muda darinya seperti bila lahir, b...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Masri berkawan dengan Ina sejak sekolah pondok lagi dan kini Ina bakal dinikahinya. Ina anak yatim piatu yang diangkat oleh keluarga Masri sejak kematian kedua ibu bapanya kerana dibaham harimau. Sebelum Masri menikahi Ina, keluarga Masri telah merujuk kepada Imam kampung mereka tentang segala peraturan dan persiapan yang perlu dibuat oleh mereka dalam proses menikahkan Masri dan Ina. Memang Imam kampung itu menjadi satu-satunya rujukan orang kampung Masri kerana kampung mereka agak ulu dan mereka tidak banyak berinteraksi dengan orang luar, apalagi tokoh agama dari tempat lain.
Apa-apa ajaran Imam ini akan dipatuhi tanpa persoalan kerana orang-orang kampung Masri percaya sepenuhnya pada Imam tersebut. Imam tersebut memang kenal setiap orang kampung dan tahu seluruh sejarah hidup setiap orang yang lebih muda darinya seperti bila lahir, bila cukur jambul, bila berkhatan, khatam Quran atau tidak, bertunang, bernikah dan sebagainya kerana semua persoalan itu dirujuk kepadanya terlebih dahulu. Malah, masalah yang sulit-sulit seperti hal-hal dalam kelambu laki bini pun dirujuk kepada Imam itu juga. Maka, tahulah Imam itu siapa yang mati pucuk, siapa yang lemah syahwat dan siapa yang main kayu tiga. Pendek kata, Pak Imam itu amat dihormati oleh orang kampung.
Apabila keluarga Masri merujukkan cadangan pernikahan Masri dan Ina kepada Pak Imam, beliau dengan senang hati memberikan tunjuk ajar dan sudi memberi kuliah kepada Masri dan Ina tentang tanggungjawab suami isteri, kiranya seperti Kursus Pra-Perkahwinanlah yang dianjurkan di bandarlah. Keluarga Masri begitu lega sehinggalah Pak Imam menyatakan bahawa dia baru teringat yang Ina ini belum pernah disunatkan. Pak Imam ingat betul sebab masa Ina lahir, keluarganya sedang dalam perjalanan ke tempat yang jauh kerana melawat saudaranya.
Ibu Ina terpaksa melahirkan Ina di tempat orang bukan Islam kerana tempat itu sahajalah yang ada pada masa yang genting itu. Tukang menyambut anak itu tidak reti hendak menyunatkan anak itu dan ibu bapa Ina pun tidak reti juga. Bapa Ina bercadang hendak merujukkan sahaja kepada Pak Imam kampung bila balik nanti. Setelah beberapa lama di rantau orang, mereka sekeluarga pun pulang ke kampung dan Pak Imam telah dirujuk. Bapa Ina disuruh membuat persiapan untuk menyunatkan anak perempuannya yang baru berusia beberapa bulan itu.
Kebetulannya Pak Imam pula yang terpaksa merantau beberapa lama untuk berguru lalu Ina hanya akan disunatkan selepas Pak Imam pulang. Malangnya, sebelum sempat bapa Ina membuat persiapan, dia dan bininya telah mati dibaham rimau dalam hutan berhampiran kampung mereka.
Apabila Pak Imam pulang ke kampung, berlaku pula beberapa kekecohan dan masalah lain menyebabkan Pak Imam lupa kepada Ina yang belum bersunat sehinggalah hari ini apabila Ina telah hampir mendirikan rumahtangga dengan Masri. Ibu Masri bertanya,
"Sudah besar begini perlu disunatkan juga ke Pak Imam?" Pak Imam menjawab,
"Wajib! Jika tidak, nanti persetubuhan mereka jadi haram dan zina dan anak hasil rahim Ina pun dikira luar nikah dan dibin atau dibintikan Abdullah. Masri tidak layak menjadi wali kepada anak perempuannya nanti."