Majalah Forbes Asia bulan ini memaparkan wajahnya di muka depan dengan tajuk utama yang gah: “Amir Nafiz: Bilionair Muda 26 Tahun Menongkah Arus Korporat.”
Dalam foto itu, dia kelihatan sempurna. Wajah yang kacak dengan rahang tajam, sepasang mata redup yang mendinginkan sesiapapun yang memandang, dan sut potongan khas (*custom-tailored*) yang terletak elok pada badannya yang tinggi lampai. Sesiapa yang melihat pasti menyangka lelaki ini memiliki segalanya.
Namun, realitinya, Amir Nafiz hanyalah sebuah kota lama yang terbiar sepi di dalam runtuhan masalalu.
Dulu, ketika zaman persekolahan, dialah remaja yang paling ceria. Suaranya sentiasa kedengaran di koridor sekolah, dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa mahu menempel dengan personalitinya yang mesra.
Tetapi itu dulu. Sebelum malam durjana pada hari dia melangkah ke alam dewasa, di mana seluruh ahli keluarganya hilang sekelip mata tanpa dikesan meninggalkan dia sendirian dengan sebuah empayar perniagaan misteri dan harta yang melimpah-ruah secara tiba-tiba. Tragedi itu meragut senyumannya.
Amir yang sekarang adalah seorang introvert tegar, dingin, dan lebih banyak berkomunikasi menggunakan isyarat mata berbanding kata-kata.
"Tuan Amir, ini jadual untuk baki minggu ini. Dan... kopi Americano kurang manis, suhu tepat 80 darjah Celsius, seperti yang Tuan nak."
Satu suara yang cukup biasa menyedarkan Amir dari lamunan. Di hadapan mejanya berdiri Ryan, pembantu peribadinya. Ryan berumur setahun lebih muda, berpakaian kemas tetapi sentiasa membawa aura yang berbeza daripada orang lain di pejabat itu.
Amir hanya menjeling sekilas, mencapai cawan kopi tanpa sebarang ucapan terima kasih.
"Dan lagi satu," Ryan berdehem, tidak beranjak. "Cik Melissa, anak pengarah urusan Megah Holding, ada hantar bekal sarapan lagi pagi ni. Dia buat sendiri katanya. Nak saya buang dalam tong sampah atau bagi dekat makcik pengawal kat bawah?"
Amir meletakkan cawannya dengan bunyi yang agak kuat. "Kau tahu kan aku tak suka orang luar sibuk pasal makan minum aku? Uruskan."
"Faham, Tuan Bos yang maha dingin," balas Ryan selamba, langsung tidak gerun dengan jelingan maut Amir. "Saya cuma jalankan tugas. Lagipun, pekerja-pekerja wanita kat luar tu dah mula buat pertaruhan, siapa yang boleh buat Tuan Amir senyum minggu ni. Setakat ni, tabung pertaruhan tu dah mencecah seribu ringgit. Tuan tak teringin nak komisen ke?"
"Ryan." Suara Amir mendatar, satu amaran.
"Ya, saya keluar sekarang." Ryan tersenyum nipis, berpaling untuk keluar.
Amir memandang belakang tubuh Ryan yang kian menjauh. Sejujurnya, masuk usia 26 tahun ini, Amir tidak pernah tahu apa itu erti bercinta. Baginya, semua manusia yang mendekatinya sama ada mahukan duitnya, statusnya, atau rupa parasnya.
Kaum wanita dari anak orang kaya sekufu sehinggalah pekerja bawahannya sendiri dan sentiasa mencari peluang untuk mencuri perhatiannya. Tetapi semua itu hanya membuatkan Amir rasa rimas. Kecuali Ryan. Ryan seorang sahaja yang berani menyindirnya, membebel tentang kesihatannya, dan melayaninya seperti seorang manusia biasa, bukan sebagai "Sang Hartawan".
Walaupun Amir selalu tunjuk muka rimas (dan menyampah dengan mulut lancang Ryan), jauh di sudut hati, hanya Ryan yang dia percaya.
Sesi petang itu berlalu dengan pantas sehinggalah malam menjelang. Amir sepatutnya menghadiri Majlis Makan Malam Gala Korporat, sebuah acara elit yang paling dibencinya kerana dia terpaksa berpura-pura ramah di hadapan kamera dan para pelabur.
Disebabkan pemandu peribadinya cuti kecemasan, Ryan terpaksa mengambil alih tugas memandu malam itu.
Suasana di dalam kereta mewah Maybach itu sunyi sepi. Amir duduk di tempat duduk belakang, memandang ke luar jendela melihat titisan hujan yang mula membasahi cermin. Semakin dekat kereta itu dengan hotel bertaraf lima bintang tersebut, semakin laju degupan jantung Amir.
Memori malam kehilangan keluarganya tiba-tiba datang menerpa bagai kilat. Bunyi bising kilauan lampu kamera media dan bisikan-bisikan orang ramai yang bakal dihadapinya nanti mula terasa seperti jeratan yang mencekik leher.
Tangan Amir mula menggigil. Dia menggenggam erat lututnya sendiri, cuba mengawal nafas yang semakin sesak, namun mukanya bertukar pucat lesi.
Cit!
Bunyi tayar berdecit perlahan apabila Ryan tiba-tiba membelokkan kereta ke bahu jalan yang agak sunyi, beberapa ratus meter sebelum tiba di lobi hotel. Enjin kereta dimatikan.
Amir tersentak, cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran rapuh. "Kenapa berhenti? Kita dah lambat."
Ryan tidak menjawab menggunakan kata-kata. Dia memusingkan badannya ke belakang, memandang tepat ke dalam anak mata Amir yang sedang dilingkari ketakutan. Ryan melihat tangan Amir yang masih menggigil hebat.
Tanpa mempedulikan status mereka sebagai bos dan pekerja, Ryan bersuara dengan nada yang tegas, namun ada kehangatan yang tersembunyi di sebaliknya.
"Kalau Tuan tak sedia nak hadap orang ramai, kita pusing balik sekarang. Saya boleh reka sejuta alasan dekat pihak penganjur. Lantakkan VIP-VIP kat dalam tu. Kesihatan Tuan lagi penting daripada kontrak sejuta ringgit mereka."
Amir tergamam. Kata-kata Ryan itu bagai memukul tepat ke dadanya. Sudah bertahun-tahun lamanya, sejak dia diisytiharkan sebagai antara lelaki terkaya, semua orang hanya bertanyakan tentang keuntungan syarikat, saham, dan projek baharunya. Ini kali pertama... kali pertama ada seorang manusia yang bertanyakan tentang "diri" Amir Nafiz. Yang mementingkan jiwanya yang sedang rapuh, bukan duitnya.
Amir cepat-cepat melarikan pandangannya ke luar tingkap, cuba menyembunyikan rasa hiba dan sesuatu yang mula bergetar dalam hatinya. Dia berdehem kecil, memasang kembali topeng egonya.
"Siapa bagi kau kebenaran untuk pandai-pandai tukar pelan, Ryan? Jalan." Amir bersuara dingin, menjeling tajam melalui cermin pandang belakang.
Namun, Ryan tahu, jelingan itu bukan tanda marah. Itu hanyalah cara Amir untuk mempertahankan benteng egonya yang sudah mula retak. Ryan hanya mengeluh kecil, menghidupkan semula enjin kereta, dan memandu tenang menuju ke arah lobi hotel yang penuh dengan pancaran lampu kamera bersedia untuk terus menjadi pelindung di sebalik bayang-bayang sang hartawan itu.
Dia tidak tahu, malam itu bakal mengubah dinamika hubungan mereka buat selama-lamanya.
KAMU SEDANG MEMBACA
THE EXECUTIVE'S ORDER: KONTRAK MILIK AMIR
Fiksi UmumAmir Nafiz (26 tahun), bilionair dingin yang menerajui Nafiz Group, hidup dalam trauma silam akibat sabotaj korporat yang meragut keluarganya. Dunianya yang sunyi berubah huru-hara dengan kehadiran Ryan Iskandar, pembantu peribadi (Personal Assista...
