Bunyi klik pada tetikus kedengaran bertalu-talu di dalam bilik yang hanya diterangi cahaya malap daripada skrin monitor bersaiz 32 inci. Muhammad Syarif Asyraf, atau lebih dikenali dengan nama gaming ‘Asy-Z’, sedang tekun menghadap skrin. Mukanya serius. Tangannya lincah menekan papan kekunci mekanikal yang mengeluarkan bunyi clicky yang memuaskan telinganya.
"Sikit lagi... sikit lagi... Yes! Triple kill!" Asyraf menjerit kecil. Headset berjenama mahal yang tersidai di telinganya membuatkan dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia hampir memenangi pusingan kali ini. Rankingnya bakal naik lagi malam ini.
Tiba-tiba, pintu biliknya terkuak luas. Cahaya dari luar menerpa masuk, menyilaukan pandangannya.
"Asyraf! Bertuah punya budak! Dah pukul berapa ni?"
Suara Mommy, Puan Zarina, memecah keheningan bilik. Asyraf tidak menoleh. Fokusnya masih pada musuh di dalam skrin. "Kejap Mommy, lima minit lagi. Tengah war ni!"
KLIK!
Skrin monitor tiba-tiba menjadi gelap. Asyraf tergamam. Jarinya masih di atas tetikus, tetapi dunianya sudah 'mati'. Dia menoleh ke tepi dan melihat Daddy, Encik Zul, berdiri tegak di tepi suis utama dengan wajah yang sangat serius.
"Daddy! Asyraf tengah tournament lah!" Asyraf merintih, suaranya naik satu oktav. Dia meraup rambutnya yang serabai. Perasaan geramnya membuak-buak. Dah lah rank tengah tinggi, kalau disconnect macam ni, memang kena penalti lah jawabnya!
"Tournament, tournament. Daddy tak kira. Sekarang, dengar sini. Esok pagi, kita bertolak balik kampung," ujar Encik Zul tegas. Tiada ruang untuk perbincangan.
Asyraf mengerutkan dahi. "Balik kampung? Esok kan hari Isnin? Mana boleh, Asyraf ada..."
"Esok kita balik rumah nenek. Nenek Senah tak sihat. Mommy dengan Daddy kena uruskan urusan di bandar sekejap, jadi kamu yang kena tinggal sana jaga nenek," potong Puan Zarina. Matanya memandang tepat ke arah anak tunggalnya itu.
Asyraf mendengus kasar. Dia menyandarkan badan ke kerusi gaming kesayangannya. "Alaa Mommy... kenapa Asyraf? Kan ada bibik? Hantarlah bibik pergi sana. Dekat kampung tu dahlah panas, nyamuk banyak, lepas tu internet? Coverage kat sana macam hidup segan mati tak mahu tau tak?"
"Asyraf, listen to me," Encik Zul melangkah setapak ke hadapan. "Nenek tu ibu Daddy. Dia tengah sakit tenat. Dia rindu cucu dia. Takkanlah kamu nak biarkan nenek sorang-sorang dekat sana? Lagipun, sepupu kamu, Qisya, ada sekali kat sana tolong tengokkan. Kamu pergi sana, tolong dia apa yang patut."
Nama 'Qisya' membuatkan bulu roma Asyraf meremang. Nur Qisya Lailatul Hana. Sepupunya yang paling cerewet, paling kuat membebel, dan paling tak sebulu dengannya sejak kecil.
"Lagi la Asyraf tak nak balik! Kalau ada Minah Cerewet tu, memang hari-hari Asyraf kena darah tinggi. Please Mommy, Daddy... bagilah Asyraf tinggal sini. Asyraf janji Asyraf jaga rumah elok-elok," rayu Asyraf dengan muka paling simpati yang dia boleh buat.
Puan Zarina menggeleng. "Keputusan muktamad. Tomorrow, 8.00 a.m. sharp. Kalau kamu tak bangun, Daddy akan angkut semua PC kamu ni masuk dalam stor dan kunci. No more games for a month. Faham?"
Asyraf terdiam. Ugutan itu lebih ngeri daripada kalah dalam perlawanan tadi. Dengan hati yang sebal, dia hanya mampu melihat Mommy dan Daddy keluar dari biliknya.
"Arghhh!" Asyraf menjerit perlahan sambil membenamkan mukanya ke meja.
Keesokan paginya, suasana di dalam kereta Vellfire milik Encik Zul sangat sepi. Hanya kedengaran suara radio yang memainkan lagu-lagu lama kegemaran Daddy. Asyraf hanya memandang ke luar tingkap dengan wajah mencuka. Di telinganya terpasang earbuds, cuba menutup bunyi dunia luar.
YOU ARE READING
Takdir Itu Indah
Romance"Kampung? No! Mommy, Asyraf ada tournament minggu depan!" Bagi Muhammad Syarif Asyraf, hidupnya hanya berputar di dunia maya. Skrin monitor dan keyboard adalah segalanya. Namun, arahan drastik daripada Mommy dan Daddy untuk pulang menjaga Nenek Sena...
