Naskah 1 : Seri Menggala

121 2 1
                                        



Istana Seri Menggala bermandikan cahaya, seolah-olah seluruh Tira Kirana telah memindahkan matahari dan bulan ke Balairong Seri malam itu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Istana Seri Menggala bermandikan cahaya, seolah-olah seluruh Tira Kirana telah memindahkan matahari dan bulan ke Balairong Seri malam itu. Udara yang dingin dari sungai membawa bau gaharu dan cempaka yang dibakar di setiap ceruk tiang kayu keras. Ini bukan sekadar majlis, tetapi pengisytiharan bahawa warisan Dewaraja Kerajaan Tira Kirana kekal utuh.

Temasya Pemasyhuran Tengku Arjuna sebagai Tengku Mahkota telah menarik ribuan insan. Pembesar-pembesar berbusana sutera dari segenap pelusuk negeri—dari Panglima Darat di hulu sungai hingga ke Laksamana Laut dari gugusan pulau di selatan—memenuhi dewan. Mereka duduk mengikut darjat; lapisan paling hadapan dipenuhi wajah-wajah serius perwakilan asing, Duta Besar dari Empayar Champa dengan pedang permata yang tajam dan pedagang-pedagang dari Dravida yang membawa emas berkilauan sebagai hadiah.

Di atas Singgahsana Naga Kencana, yang diselimuti ukiran bijih besi langka Tira Kirana, duduklah Raja Sang Saka Buana. Baginda tersenyum senang dengan mahkota emasnyaa yang berkilauan. Di sisi baginda, Permaisuri Si Putih Melati bersinar lembut, seumpama dewi dari kayangan. Senyuman tipisnya sentiasa terukir saat berbalas sapaan dengan isteri-isteri pembesar. Namun, matanya tidak pernah lama tertumpu pada wajah tetamu. Pandangannya lebih kerap terarah kepada putera tunggal mereka, mencerminkan gabungan kebanggaan dan kebimbangan yang sukar dijelaskan.

Di tengah keriuhan itu, Tengku Arjuna berdiri. Berusia dua puluh tahun, dengan persalinan songket merah marak dan tanjak yang disemat kemas, Tengku Arjuna tampak menawan. Dia baru sahaja diarak keliling kota dan kini perlu melayani barisan pembesar yang silih berganti tunduk hormat kepadanya. Tangannya berjabat, bahunya ditepuk, telinganya dipenuhi bisikan nasihat dan sanjungan.

"Patik harap, Tengku sentiasa ingat akan tugas di lautan," kata seorang Panglima Laut berjanggut putih, suaranya kasar seperti ombak.

"Ampun Tuanku, tetapi bumi Tira Kirana adalah sumber segala kekayaan. Hutanlah yang patut diutamakan," bantah seorang Pembesar Darat dengan segera.

Arjuna tersenyum, mengangguk, dan melontarkan kata-kata sopan yang telah dilatihnya, tetapi di dalam hatinya, dia merasa tidak keruan. Dia berasa canggung dan sesak di tengah kemewahan Istana Seri Menggala, seperti seekor harimau yang dikurung di dalam sangkar emas. Dia lebih suka berada di Lombong Besi Dinding Tujuh, berlatih silat hingga peluh membasahi tubuh, atau memanah di lapangan atau berburu di hutan.

Matanya meliar, mencari sesuatu yang nyata, sehingga terhenti pada sosok yang berdiri agak jauh dari kerumunan diraja, Bendahara Seri Kertala. Bendahara, dengan tubuhnya yang besar dan mata yang tajam seperti helang, sedang berbual dengan Duta dari Champa. Senyumannya, meskipun ramah, tidak pernah sampai ke matanya. Tangan kanan Bendahara terhenti di atas hulu kerisnya.

Melihat Raja yang semakin uzur, dan kini Tengku Mahkota yang masih "hijau" di hadapan matanya, Tengku Arjuna merasakan bisikan dingin yang berbunyi:

"Di mata Bendahara, Beta hanyalah seorang putera manja yang mudah dipatahkan."

BAYU ARJUNA - REVISED VERSIONStories to obsess over. Discover now