PROLOG
Faiz tergamam. Terkejut. Keliru. Lemah tubuhnya tersandar pada dinding. Dunianya tiba-tiba menjadi gelap. Dia berharap agar semua ini hanya mimpi ngeri yang mengganggu lena namun, malangnya saat ini dia tidak lena. Pandangannya lambat-lambat teralih kepada Adila. Perasaannya? Sungguh dia tidak pasti. Cuma dada berombak laju. Memacu kudrat untuk mendengar sesuatu yang sebegitu ngeri. Adila tertunduk.
"Kenapa?,"dia berbisik lemah. Namun bisikan itu sampai ke telinga Adila memaksa Adila mengangkat muka. Mahu bersuara tetapi tiada suara yang mampu pecah di bibirnya. Mahu meminta ampun? Mampukah sepatah kata maafnya mengubah segala-galanya?
"Kenapa?! Kenapa Dila?!!,"Faiz membentak kuat.
Adila tersentak.
"Hukumlah Dila. Buatlah apa saja pada Dila. Dila tak mahu membela diri. Semua ni memang salah Dila. Dendam Dila bukan saja musnahkan hidup Dila tapi hidup abang juga...,,"
Faiz menggeleng. Bibir matanya panas tiba-tiba. Dia cuba faham penderitaan Adila namun tetap juga dia tidak mampu membendung rasa gerun yang menghantui dirinya sendiri. Teganya Adila. Atau... kasihannya Adila? Perlahan dia pejamkan mata. Membiarkan dirinya melorot jatuh ke lantai. Segala-galanya telah musnah. Benar-benar musnah.
*****
Senyum manis dilemparkan khusus buat seorang lelaki yang sedang memandang ke arahnya. Berbanding beberapa tahun yang lalu, Faiz kini nampak semakin matang. Ringkas sahaja penampilannya. Nampak serba sederhana.
"Lama Dila pergi. Langsung tak ada berita. Dila ke mana?,"
"Tak ke mana. Cuma, kalau balik pun, siapa yang ada lagi di sini?,"
Faiz memandang sekilas wajah manis yang nampak ayu bertudung itu. Kata-kata itu sedikit mengganggu perasaannya. Sukar menerima alasan Adila.
"Dila masih ada Pak Ngah... abang...,"
Adila mengukir senyum. Faiz memang baik. Sentiasa baik dengannya.
"Dila tak nak menyusahkan abang dengan Pak Ngah. Mak dengan ayah dah tak ada, memang patutlah Dila mula berdikari. Betul tak? Takkan Dila nak terus bergantung dengan keluarga abang,"
"Tak betul tu,"
Adila tergelak kecil.
"Balik ni, cuti sekejap atau balik terus ke sini?,"Faiz utarakan soalan.
Adila tidak terus menjawab. Cuma, dia melangkah mendekati Faiz yang santai duduk di atas pangkin usang di halaman rumahnya.
"Dila rindu arwah mak... arwah ayah... Dila nak tinggal di sini. Okay, cukup. Tak mahu cakap pasal Dila lagi. Abang macam-mana? Agak-agak Pak Ngah dah nak dapat menantu ke belum ni?,"Adila mengusik bersama senyum nakal.
Faiz tergelak kecil. Gadis ini tetap sama. Suka mengusik.
"Kalau Dila masih sendiri, bolehlah Pak Ngah dapat menantu,"
Adila ketawa.
"Dila seriuslah,"
"Abang pun,"
Adila menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil.
"Tapi, tak tahulah kalau Dila dah tak sudi dengan abang. Balik kampung dekat dua minggu pun, tak ada nak jengah rumah abang,"
"Dila sibuk kemas-kemas rumah. Tak sempat ke mana-mana pun. Abang jangan cakap macam tu. Tak baik,"
"Jadi, abang boleh anggap Dila belum buang abang lagi, kan?,"
Adila diam. Pandangan dilarikan daripada terus melekat di wajah Faiz. Tidak mahu terkesan dengan kata-kata Faiz.
