Prolog

8 0 0
                                        

Langit pagi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia cerah dan angin yang bertiup perlahan membawa bersama bau rumput basah yang baru dipotong di padang bola. Suasana kelihatan biasa bagi pelajar-pelajar yang baru sahaja selesai peperiksaan Semesta 1, namun berbeza bagi seorang remaja bernama Harith yang berdiri kaku di hadapan RSAT-klinik tentera UPNM-dengan fail biru di tangan dan jantung berdegup laju. Hari ini ialah hari penilaian fizikalnya, satu proses wajib sebelum seseorang diterima masuk sebagai kadet. Dalam kepalanya bermain segala jenis keraguan, walaupun sejak kecil dia sudah memasang impian untuk menyarung uniform tentera.

Sejak kecil juga Harith dibesarkan dalam suasana yang pelik. Bapanya seorang lelaki yang penuh kasih sayang, namun diselubungi misteri. Selepas kematian bapanya dalam keadaan yang tidak dijelaskan secara terbuka, Harith menyedari bahawa masyarakat sekeliling memandangnya dengan pandangan sinis dan penuh curiga. Mereka menggelar ayahnya kongsi gelap, penjenayah, pengkhianat, walaupun keluarganya tidak pernah tahu apa pekerjaan sebenar bapanya. Selepas ibunya pula meninggal dunia dua tahun kemudian akibat komplikasi kesihatan, Harith menjadi anak yatim piatu yang membesar dengan azam untuk mengubah nasib dan menutup sejarah keluarganya dengan kejayaan.

Dia memasuki Maktab Tentera Diraja (RMC) pada usia enam belas tahun, menempuh dua tahun yang penuh disiplin, darah dan air mata. Dalam dunia di mana setiap kesilapan dibalas dengan hukuman, setiap kejayaan dibayar dengan kepercayaan, dan setiap detik dalam bunk diisi dengan suara master dan buddy yang memahat tradisi yang tidak ditulis dalam buku teks, Harith berdiri sebagai individu yang luar biasa. Di RMC, Harith diberi callsign yang diwarisi daripada master yang disegani, Draken-seorang ahli 'Royal', golongan Underground yang menetapkan piawaian neraka kepada setiap junior yang gagal menunjukkan disiplin. Harith-walaupun dari keturunan Royal-menjadi satu-satunya buddy kepada Draken yang akhirnya dilantik sebagai PRK (Pegawai Rendah Kanan) Company Hotel ketika di tingkatan lima, satu jawatan gah dalam RMC.

Pada tahun terakhir di RMC, Harith terlibat dalam persaingan sengit untuk gelaran Anugerah Menteri Pertahanan yakni bersama-sama Light, pelajar Company Alpha yang tidak kurang hebatnya. Light berasal daripada keluarga berpangkat tinggi dalam tentera udara; bapanya ialah Panglima Tentera Udara. Light juga mewarisi nama masternya, Kiran, seorang pemimpin yang disegani dan licik, dan seperti Harith, Light ialah PRK pada tahun akhir mereka. Persaingan mereka bukan sekadar akademik atau fizikal, tetapi pertembungan dua dunia: satu datang dari latar belakang misteri dan kelam, manakala satu lagi dari garis darah elit ketenteraan.

Selepas tamat pengajian di RMC, Harith menyambung ke UPNM sebagai calon kadet melalui program Asasi selama setahun, sementara menunggu kemasukan penuh ke dalam sistem ketenteraan. Waktu itu dia hanyalah seorang pelajar awam, bukan kadet, dan masih belum menerima uniform atau tugasan company. Hari penilaian fizikal itu menjadi titik permulaan kepada sesuatu yang Harith sendiri tidak jangkakan. Ketika dia duduk di atas bangku menunggu giliran untuk diperiksa oleh pegawai perubatan, Harith bertembung dengan seseorang yang akan mengubah takdir hidupnya-Sofea.

Sofea ialah pelajar perubatan tahun 4 yang ditugaskan membantu di klinik dalam program orientasi lapangan. Seorang gadis tinggi lampai dengan wajah tenang dan suara yang tidak terlalu lembut tetapi cukup meyakinkan, dia mengenakan uniform putih bersih dengan tag nama kecil di dada kiri. Dia menoleh kepada Harith dan tersenyum, "Awak calon kadet?" Harith hanya mampu mengangguk, tidak mampu membalas lebih panjang kerana jiwanya yang diasah dengan disiplin RMC mengajarnya supaya tidak terlalu ramah tanpa sebab. Namun, ada sesuatu pada cara Sofea memandang yang membuatkan dia tidak selesa-bukan kerana takut tetapi kerana rasa dirinya dinilai, seolah-olah perempuan itu tahu sesuatu yang dia tidak tahu.

Tidak lama kemudian, apabila Sofea memeriksa tekanan darahnya dan mencatat beberapa bacaan, dia bertanya dengan senyuman sinis yang manis, "Awak boy ke?" Harith terkedu. Soalan itu seperti panah yang tepat mengena ke dadanya. Di UPNM, ramai bekas pelajar RMC atau 'boy' menyembunyikan identiti mereka kerana budaya di sini yang akan terus memberi tekanan dan tanggungjawab berlebihan kepada mereka. Seolah-olah mereka dilahirkan untuk menjadi pemimpin dalam semua aspek. Harith ingin berbohong, ingin berkata dia bukan boy. Tetapi naluri dan didikan Draken mengajarnya untuk tidak pernah menafikan siapa dirinya. Maka dengan nada perlahan dia menjawab, "Ya."

Sofea hanya mengangguk kecil sambil menulis sesuatu dalam borang, tetapi dia senyum. Senyuman itu tidak hilang dari ingatan Harith sepanjang hari itu, sepanjang malam dan hari-hari berikutnya. Mereka berjumpa lagi beberapa kali-di ReSAT, ketika Harith menjalani rawatan susulan atau sekadar menunggu keputusan. Setiap kali Sofea menyapanya dengan 'boy', Harith mula perasan bahawa dia menanti suara itu, menanti wajah itu. Tidak lama kemudian, selepas dia diterima masuk ke program foundation, mereka sering terserempak di kafe, di perkarangan fakulti dan akhirnya perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim menjadi tempat mereka kerap bertemu selepas kelas. Pada mulanya secara kebetulan, tetapi lama-kelamaan seolah-olah mereka sama-sama sengaja memilih waktu dan tempat yang sama.

Dalam diam, Harith mula membuka sedikit demi sedikit sisi dirinya yang tidak pernah dia kongsi dengan orang lain-tentang impiannya untuk menyertai tentera darat, tentang rasa bersalah yang dia tanggung atas kematian ibu bapanya walaupun dia tahu ia bukan salahnya. Sofea mendengar dengan sabar, kadangkala membalas dengan cerita-cerita kecil tentang hidupnya sebagai pelajar perubatan, tentang kesibukan klinikal dan mimpi-mimpi untuk membantu orang lain. Dalam masa singkat, rasa tenang mula wujud dalam jiwa Harith setiap kali bersama Sofea. Walaupun tiada ucapan rasmi yang menyatakan mereka 'bercinta', Harith tahu hati mereka sedang menuju ke arah itu.

Laskar BayangDonde viven las historias. Descúbrelo ahora