Prolog

2.5K 300 45
                                        

Langkah lemah diatur perlahan menuju ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari kawasan taman tasik itu. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan empangan air mata yang bila-bila masa sahaja akan pecah.

Tik! Tik!

Setitis demi setitis rintik hujan yang menyapa wajah, membuatkan langkahnya terus terhenti. Perlahan-lahan dia mendongak memandang dada langit yang sudah bertukar gelap sebelum satu senyuman pahit terukir pada bibirnya. Senyuman yang menzahirkan betapa pedihnya rasa yang mencengkam tangkai hati tika ini.

Enam tahun... Ianya bukan masa yang singkat.

Enam tahun dia cuba mempertahankan hubungan yang telah terbina sejak bangku sekolah itu, namun ianya musnah begitu sahaja. Ternyata segala kasih dan sayang yang dicurahkan selama ini tidak memberi apa-apa makna langsung.

Sejak dari dulu, tidak terhitung berapa kali orang di sekelilingnya memberi nasihat tetapi dia lebih memilih untuk membelakangi mereka. Mungkin kerana ketika itu, dia telah dibutakan dengan rasa cinta yang sangat mendalam.

Tetapi... hari ini, dia angkat bendera putih. Dia sudah tidak sanggup untuk terus berada dalam hubungan yang melelahkan ini.

Dia sudah mula sedar, lelaki yang hanya mempergunakannya demi sebuah kemewahan itu tidak layak langsung untuk menerima kasih tulus darinya.

Hujan yang tadi hanya menyapa manja, kini semakin kasar menimpa tubuh. Rambut panjang ikal mayang yang tadi disanggul tinggi, kini sudah terlepas bebas sehingga menutup sebahagian daripada wajahnya.

"Fine. I tak kisah pun kalau you nak putus. Lagipun, you yang beria-ia nak teruskan hubungan kita ni. Kalau ikutkan, I ni dah lama tak ada rasa apa-apa pada you."

Pedih mula menjengah relung hati apabila kata-kata sinis itu kembali terngiang-ngiang di telinga. Dia masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri

"Lepas ni, you jangan terhegeh-hegeh nak cari I semula. I pun dah muak nak melayan perangai you yang asyik nak berkepit 24 jam."

Esakan perlahan mula kedengaran diiringi dentuman guruh di langit yang seakan-akan turut bersimpati dengan nasibnya ketika ini.

"I bertahan dengan you sebab duit je, b. Kalau tak disebabkan kemewahan yang you tabur selama ni, memang dah lama I angkat kaki daripada perempuan psycho macam you ni."

Perlahan-lahan tangan dibawa mencengkam dada sendiri.

Hancur.

Hatinya kini hancur selumat-lumatnya. Dia tidak pernah menyangka selama ini hanya dia yang memberikan sepenuh jiwa dalam hubungan mereka berdua. Ternyata benar telahan semua orang selama ini... Lelaki tak guna itu hanya ingin mengambil kesempatan atas kesenangannya sahaja!

"Cik?"

Panggilan itu membuatkan dia menoleh ke arah datangnya suara garau itu. Susuk tubuh yang sedang berjalan ke arahnya sambil membawa payung itu hanya dipandang kosong. Mata yang dikaburi air mata membuatkan dia tidak dapat melihat raut wajah lelaki itu dengan jelas.

"Kenapa cik berdiri kat tengah-tengah hujan ni?"

Diam.

Dia kembali menunduk apabila figura itu sudah berdiri betul-betul di hadapannya.

"Cik okay tak ni?"

Tidak semena-mena, soalan yang diajukan itu membuatkan tangisan yang ditahan dari tadi, pecah. Apatah lagi apabila dia menyedari tubuhnya kini sudah tidak lagi dihentam hujan lebat yang semakin mengganas.

"Alamak...sorry, cik. Saya tak ada niat nak buat cik menangis." Suara garau itu jelas kedengaran serba salah.

Dia sudah tidak peduli. Tangisan dilepaskan semahu-mahunya di hadapan lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu.

Tenggelam timbul suara tangisannya kedengaran berselang seli dengan bunyi hujan yang semakin lebat.

Perasaan malu ditolak jauh-jauh apabila sakit di dadanya terasa semakin mencengkam kuat. Tersedu-sedu dia menangis.

Dan... dia dapat rasakan, lelaki di hadapannya itu hanya diam memerhati. Tetap setia memayungi tubuh mereka berdua tanpa sepatah bicara pun keluar daripada mulut. Mungkin ingin memberi ruang untuk dia melepaskan rasa.

"Cik dah lega sikit?" Suara garau itu menyoal perlahan apabila tangisannya sudah reda sedikit.

Dia hanya membalas dengan anggukan perlahan tanpa mengangkat wajah. Sempat dia mengerling ke arah bahu kiri lelaki itu. Sudah basah kuyup terkena hujan kerana payung yang dipegang  dihalakan lebih ke arahnya. Bibir digigit perlahan tanda serba salah.

"Cik ada payung?"

Kali ini dia menggeleng dalam keadaan masih tunduk.

"Kalau macam tu, cik ambiklah payung saya ni."

Masih tiada suara yang keluar daripada mulutnya. Serba salah hendak menyambut tangkai payung yang sedang dihulurkan ke arahnya. Kalau dia ambil, macam mana dengan lelaki itu?

"Tak apa, cik ambik je payung ni. Pergilah balik rest kat rumah." Tangkai payung sudah bertukar tangan.

Melihatkan lelaki itu sudah berpaling mahu meninggalkannya, kalut dia membuka beg tangan.

"Encik..."

Apabila lelaki itu kembali berpaling menghadapnya, sekeping not RM 50 dihulurkan tanpa memandang wajah lelaki itu.

"Untuk apa ni, cik?" Wajah lelaki itu berkerut.

"Biar saya beli payung ni."

"Eh, tak apa. Saya ikhlas nak bagi cik." Huluran wang itu dibiar tidak bersambut.

"Tapi..."

"Nanti dah sampai rumah, jangan lupa minum air lemon. Perah madu sikit." Pantas lelaki itu memotong.

"Hah?"

"Umi saya cakap, air tu bagus kalau nak elak daripada demam. Try lah. Petua mak-mak ni biasanya menjadi. Bukan apa, lama jugak cik berdiri dalam hujan tadi."

Diam.

"Saya minta diri dulu, cik. Saya harap cik kuatkan semangat. Cik kena tahu, walau seberat mana pun masalah yang cik sedang hadapi, Allah sentiasa ada untuk ringankan beban tu. Assalamualaikum."

Dia terkedu. Perlahan-lahan wajahnya diangkat. Belum sempat dia membalas, lelaki itu sudah mula melangkah laju meredah hujan lebat. Meninggalkan dia yang masih berpayung di tengah-tengah taman itu.

Belakang tubuh tinggi lampai itu dipandang dengan pandangan yang kembali kabur. Linangan air mata mula membelah pipi yang sudah merah akibat menangis. Entah kenapa, ayat terakhir daripada lelaki itu tadi kembali mengundang sebak.

"Terima kasih, orang baik...Waalaikumussalam." Perlahan sahaja ucapan itu dilafazkan pada bibir. Kata-kata yang tidak sempat diucapkan kepada lelaki yang sudi menjadi tempat dia lepaskan tangisan sebentar tadi.

***************************************

Hi 🎀

Ada yang tunggu ke cerita ni? 🙈

Sis bagi prolog dulu, ya? Tahun depan kita mula Bab 1... Hihi

Jangan lupa vote!

Jangan lupa doakan Palestin 🇵🇸

HANYA DIRIMUHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin