Bab 1 : Melarikan Diri

6 2 2
                                        


Malam itu, hujan turun lebat, membasahi jalan-jalan kosong di kota yang hampir tidak berpenghuni. Akmal, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, menggenggam erat tangan adiknya, Arif, yang baru berusia 10 tahun. Wajah Akmal penuh dengan kesungguhan, manakala Arif kelihatan ketakutan, memandang ke belakang dengan rasa cemas. Mereka telah membuat keputusan yang paling besar dalam hidup mereka iaitu melarikan diri dari rumah.

Rumah itu, yang kelihatan seperti tempat perlindungan sempurna, sebenarnya adalah penjara bagi mereka. Ayah mereka, seorang saintis yang taksub, telah lama menggunakan anak-anaknya sebagai bahan ujikaji bagi eksperimen yang tidak berperikemanusiaan. Akmal masih teringat detik dia melihat Arif diikat di meja besi di ruang bawah tanah.

"Ini hanya suntikan kecil, Arif. Jangan takut," suara ayah mereka bergema dalam fikiran Akmal. Ketika itu, Akmal berdiri di balik pintu, menyaksikan tubuh kecil Arif menggigil ketakutan.

"Abang!" suara Arif teresak. Jeritan itu menyedarkan Akmal dari ketakutannya sendiri. Dengan keberanian yang muncul tiba-tiba, Akmal meluru masuk, menolak ayah mereka ke dinding. Dalam keadaan panik, dia membuka ikatan Arif dan menariknya keluar dari bilik itu tanpa menoleh ke belakang.

Kini mereka berada di lorong gelap, dikelilingi oleh dingin malam dan bunyi titisan hujan. "Arif, jangan lepaskan tangan abang," kata Akmal, suaranya tegas. Arif hanya mengangguk, masih terlalu terkejut untuk berkata apa-apa.

Mereka berlari tanpa arah tujuan. Akmal tahu mereka tidak boleh kembali ke rumah. Ibu mereka, walaupun kelihatan lemah lembut, telah menjadi pendukung setia ayah mereka dalam eksperimen ini.

"Abang, kita nak ke mana?" suara kecil Arif memecahkan keheningan.

Akmal menarik nafas panjang. "Kita cari tempat selamat. Jangan risau, abang akan jaga Arif."

Hujan semakin reda ketika mereka menemui sebuah lorong sempit yang terlindung dari pandangan. Akmal mendudukkan Arif di bawah sebuah khemah kecil yang ditinggalkan. Hatinya hancur melihat adiknya yang basah kuyup dan kesejukan.

"Kenapa ayah buat kita macam ni?" Arif bertanya, air matanya mengalir deras.

Akmal terdiam. Dia tahu jawapan kepada soalan itu, tetapi dia tidak mampu mengatakannya. Bagi ayah mereka, mereka bukan lagi anak, tetapi eksperimen atau lebih kepada alat untuk mencapai kejayaan yang gila.

"Abang tak tahu, Arif," jawab Akmal akhirnya. "Tapi abang janji, benda ni takkan jadi lagi."

Arif memeluk Akmal erat, mencari perlindungan. Malam itu, mereka tidur dalam keadaan serba kekurangan, berlindung di bawah langit malam yang dingin. Akmal berjaga sepanjang malam, memastikan tiada bahaya yang mendekati mereka.

Ketika subuh menjelang, Akmal tahu ini baru permulaan perjalanan mereka. Mereka telah meninggalkan satu neraka, tetapi dunia luar tidak semestinya lebih selamat. Namun, dia bertekad untuk melindungi Arif, walau apa pun yang berlaku.

Bayang-bayang Masa Lalu Cerita yang bikin terobses. Temukan sekarang