Pernah tidak kau rasa dunia ini sekadar permainan takdir yang buat hidup kau sama seperti taruhan? Atau sebenarnya hidup kau adalah sebuah buku cerita yang penamatnya sudah dijangka?
Tapi di hujung setiap taruhan dan jangkaan itu, hidup kau tetap hancur.
| 16 Jun 2005 |
Aku tak sangka aku akan jatuh cinta. Bukan aku tak jangka benda sebegitu akan jadi, cuma untuk jatuh cinta dengan orang seperti dia, aku sendiri tak percaya aku lah orangnya.
Dia biasa. Tak ada yang magis tentang dia. Senyumnya tak mampu terbalikkan dunia. Suara dia sekadar suara yang mungkin sama dengan kebanyakan manusia. Rambut hitam yang biasa. Tak panjang tak pendek. Telinga yang sederhana biasa. Hidung yang biasa, mata yang biasa, bibir yang biasa. Semuanya biasa. Itu yang orang kata bila aku tanya tentang dia.
Tapi mata aku lihat lain. Bila dia senyum, ada bunga bunga indah yang mekar sekelilingnya. Suara dia seperti dadah yang buat aku candu mahu mendengarnya setiap hari. Rambut hitam yang sentiasa terlihat kemas. Kuping telinga comel itu buat aku rasa mahu gigit. Hidung dia kecil senang nak cubit. Mata hitam itu seakan biji guli yang bersinar dalam gelap dan bibir dia tak pernah pucat.
Tuhan cipta dia terlalu sempurna.
| 19 July 2005 |
Buku puisi bertajuk 'The Third Hour of The Night', penulisan Frank Bidart. Aku perhati matanya menelus tiap tiap perkataan dalam buku puisi itu. Air muka dia terlihat ringan membaca lembaran ayat yang berat dari buku itu. Seakan dia berada dalam dunia ciptaannya sendiri.
Aku duduk merapat. Tapi dia tidak sedar jarak kami yang terlalu dekat. Melihat mukanya pada jarak sehampir ini, hati aku semakin menjunam jatuh dalam perasaan cinta.
Tapi aku silap, dia sedar aku duduk sebelahnya. Bila dia tanya,
"Kau tak perlu tunggu aku habiskan buku ni kalau kau mahu pinjam. Cakap saja."
Ironinya, walau tanggapan itu salah tapi aku tidak marah. Malah aku bahagia kerana pada detik itu, dia mulai tahu kewujudan aku.
| 2 August 2005 |
"Manusia akan benar benar hidup bila dia sedar dia sudah mati."
Ucapannya melekat dalam kepalaku. Aku tak faham apa yang cuba dia sampaikan tapi aku tahu, dia cuma mahu berbagi pendapat. Sejak hari itu, kami menjadi teman. Tak ada hari yang cuma ada aku. Kini, hari aku pasti akan ada dia.
| 21 November 2005 |
Kau tahu orang takkan nampak bintang tanpa malam? Bintang dan malam adalah satu. Dan bagi aku, dia adalah malam dan aku adalah bintang. Dalam banyak banyak perkara paling indah dalam dunia ni, bintang yang berkelip pada waktu malam adalah salah satunya.
"Jadi malam aku dan aku akan jadi bintang kau."
Dia sekadar senyum. Senyuman yang aku tak boleh tafsir. Bukan sebab tak ada huruf yang aku boleh baca pada senyuman tu, tapi senyuman itu memang tak berjawapan.
"Kau tengah luahkan perasaan kau ke sekarang ni?"
Dia tahu maksud aku tapi soalan itu dia tanya seolah olah dia tak tahu apa apa. Aku sudah boleh agak apa jawapannya. Tapi kalau dia boleh pura pura, aku juga boleh.
"Aku jatuh cinta dekat kau."
"Sejak bila?"
"Sejak mula mula aku nampak kau bulan lalu?"
Dia senyum lagi. Tapi senyumannya macam sedang ketawakan jenaka yang aku tak pernah buat.
"Kau sedar kita bukan bintang dan malam macam yang kau kata? Kita ini dua dua bulan. Dan tiada wujud dua bulan dalam satu bumi yang sama."
Dan itu adalah kali pertama aku ditolak.
| 10 January 2006 |
Aku tak berhenti. Sehingga jawapan dia adalah 'ya', maka butang berhenti tak pernah ada. Dan untuk hari yang kelima puluh selepas aku ditolak waktu kali pertama dulu, jawapan dia masih sama,
"Hatta kalau bulan terbelah dua sekali pun, jawapan aku tetap sama. Aku bukan malam untuk bintang kau."
Aduh, sakitnya!
| 3 Mei 2006 |
Muka dia penuh dengan lebam seperti diconteng langit senja. Antara tompok ungu dan biru yang bersatu. Aku tak daya melihatnya. Lagi aku tak ada daya untuk buat apa apa.
Hati aku memberontak. Mahu lindungi dia dari Raja Syaitan yang bertandang dalam hidupnya. Tapi aku tak ada kuasa, aku cuma lelaki yang mampu cintakan dia, tapi tak mampu lindungi dia.
Aku memang lemah.
| 27 July 2006 |
Aku berjaya bawa dia keluar dari neraka sang Raja Syaitan. Bawa dia bersama ikrar yang aku akan jaga dia. Aku bisikkan ikrar itu di telinganya. Pada bibir yang penuh luka itu, dia masih cuba tersenyum.
"Kau betul Arjuna, aku memang malam. Hidup aku gelap macam malam. Tapi malam tu mula terang sebab kau datang sebagai bintang."
Tangan dia sejuk malam itu. Aku cuba hangatkannya dengan genggaman tanganku. Badan dia terasa kecil dalam pelukan aku. Air mata suamnya membasuh kulit aku. Menitis tak berhenti. Tak ada suaranya seperti dia meraung dalam senyap. Aku tahu rasa risau dalam benaknya perlahan sirna.
"Aku janji aku jaga kau."
Ubun ubunnya aku kucup. Dan malam itu, aku dan dia lena berkongsi selimut. Lena bertilamkan bumi dan berbumbungkan langit malam yang penuh dengan bintang berkelipan.
| 14 November 2006 |
Darah itu warnanya merah. Tapi darah tetap darah, jadi kenapa manusia perlu takut dengan darah? Sebab darah itu boleh jadi petanda bahawa manusia sudah sampai limit.
Aku cuci warna merah pada bajunya. Makin aku sental, warnanya semakin merebak. Itu baju yang dia pakai tadi, sebelum dia tukar dengan baju hijau hospital. Aku tak sangka Tuhan akan secemburu ini pada kami. Padahal aku cuma cintakan dia.
| 31 December 2006 |
Dia tolak muka aku jauh dari dia. Mungkin dia malu aku tenung dia dalam keadaan sebegitu. Dia rasa dia tak sama macam dulu, tapi bagi aku, dia tetap dia. Manusia yang paling aku cinta. Cinta sehidup dan semati aku.
"Bila aku tak ada, mesti kau sunyi? Tapi bintang akan tetap jadi bintang, berkelip walau malam akhirnya pergi."
Aku tahan sedayanya supaya air mata aku tak terburai. Bukan aku tak faham makna dari kata kata yang terkeluar, cuma aku tak mahu mengiyakannya kali ini.
Aku tak sanggup kehilangan dia. Kehilangan satu satunya manusia yang aku cinta dalam dunia ni. Kalau dia pergi, jadi bagaimana aku mahu habiskan penamat cerita kami tanpa dia?
Yang Benar,
Bintang Arjuna.
YOU ARE READING
Semesta Kita (ON GOING)
Fantasy"Aku fikir aku adalah malam untuk bintang kau, tak sangka malam tu akan hilang juga." -Renjana Altar- "Hiduplah aku dekat semesta apa pun, cinta aku cuma untuk kau." -Bintang Arjuna- Walau di berjuta semesta pun, pengakhirannya tetap sama. Cinta A...
