PROLOG

8.4K 351 35
                                        

TUNAK matanya merenung redup pemandangan sawah yang terbentang luas di hadapan rumah. Seharusnya ada ketenangan yang tersalur dalam diri. Namun gemeretak air yang mengguyur membasahi bumi itu mengusir semuanya. Setiap dentuman guruh yang datang bertandang, merenjis kepahitan dalam setiap detak rasanya.

Seksa atmanya. Terkadang langit menggertak, meraung, dan membedal maya tanpa henti. Sedangkan kilauan mata kilat, membelah suasana kelam di sela-sela alam yang dilanda sakit teruk. Siang hari selalu saja bertemankan tangisan semesta. Barangkali memahami apa yang dia rasakan. Mungkin pada saat itu, dunia juga dilanda sakit teruk. Sama seperti raganya.

Merenung itu, terasa separuh jiwanya sudah melayang pergi. Mati. Sejenak direnungnya pepohon yang dipuput angin melayah ke kiri dan kanan. Terlepas pilu pada tarikan nafasnya sejurus itu. Dia meruyupkan mata, ingin mengamati sesuatu di hadapan sana. Pohon yang rebah menyembah tanah.

"Hujan pun tak ada makna bila pokok sudah mati." Mulutnya mencemuh. Lantas mendengus mengutarakan rasa hati yang menanam benci pada takdir.

Begitulah juga atmanya yang terlanjur dihambat perit. Adakah dia terlalu menyanjung tinggi rasa cintanya? Salahkah bila dia membiarkan kesepian yang berpanjangan terus-menerus menekan dahan hatinya? Adakah dia tidak dapat menerima takdir Allah, takdir yang Maha Esa?

'Ketentuan Allah, siapa kita nak menentang? Suka lawannya duka dan sihat lawannya sakit. Begitu juga dengan ajal. Hidup sudah pasti lawannya mati. Dira kena terima hakikat. Biarkan Hilmi tenang dekat sana. Dira tak boleh biarkan Hilmi terseksa.'

Seringkali nasihat sang ibu pada minggu-minggu sebelum ini menjengah ruang ingatannya. Tanpa sedar, tubir matanya kembali dibanjiri mutiara putih panas yang berkilauan. Entah buat ke berapa kalinya tangisan itu pecah.

Adira Khaleeda kembali menatap tajam rintik-rintik hujan yang semakin kasar menjamah bumi ketika itu. Sudah berkali-kali dia mencuba untuk menyeka air mata yang membasahi pipi mulusnya itu. Namun, pangkal hatinya kian memberat menanggung rindu.

Kenapa Hilmi pergi meninggalkannya? Mengenangkan sebaris nama itu, mulutnya terkunci mati. Sebulat suara pun tidak mampu untuk dia keluarkan. Di saat dia benar-benar mendahagakan kasih seorang jejaka yang sentiasa menjadi pujaannya, takdir berkata lain. Hilmi sudah tiada. Bayangannya juga sirna.

Sekarang dia terpuruk. Bersendirian dengan sendu yang berpanjangan. Ada kalanya, jiwanya terhempas pilu dengan perkataan-perkataan kasar yang selalu dia dengar.

'Tunang dia dah mati. Itulah dia asyik pulang ke kampung aje. Dah tak ada sumber kewangan. Sebab selama ni, dia bergantung pada tunang dia saja.'

'Rela nak jual diri dengan Mat Salleh. Kononnya tunang. Tahu-tahu, cuma nak cari jalan supaya cepat kaya.'

'Tak kena dengan keturunan orang kampung. Ada hati nak bersuamikan orang putih. Sekarang, dah meninggal dunia lelaki tu. Meluat!'

Ada banyak lagi persepsi bodoh yang terpaksa dia tadah. Dia malas mahu bertikam lidah. Biarlah mereka dengan tohmahan yang tidak menguntungkan. Dia tahu, dia bukan seorang wanita yang baik. Tetapi setidaknya dia tidak melakukan tuduhan-tuduhan sampah mereka.

Orang-orang hanya mampu menilai. Mereka tidak tahu erti kehilangan. Sekalipun mereka mengalaminya, mungkin hati mereka sudah mati sehingga mereka masih membuka mulut melempar fitnah.

"Saya masih di sini, Hilmi. Masih berharap awak datang," ujarnya. Berbisik halus sehingga tiada siapa yang dengar. Seluruh jiwanya masih menganggap Hilmi akan kembali lagi di dunia. Hilmi tidak pergi. Tidak sama sekali.

Akankah pintu hatinya terbuka untuk jejaka lain? Rasanya tidak. Walaupun secebis. Dia tidak mahu kecewa lagi. Dia tidak mahukan pengganti kepada seorang Hilmi. Cukuplah rasa sayangnya itu dipendam sehingga dia turut sama menutup mata.

𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐆𝐢𝐛𝐫𝐚𝐧 (𝐁𝐚𝐤𝐚𝐥 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐢𝐭)Where stories live. Discover now